Jumaat, 12 Ogos 2016

Kesaksian Olimpik - Ahli Terjun David Boudia & Steele Johnson

Ahli-ahli terjun David Boudia (kiri) dan Steele Johnson (kanan) dengan pingat perak Olimpik

Ahli-ahli terjun Amerika Syarikat, David Boudia, 27 tahun, dan Steele Johnson, 20 tahun, memenangi pingat perak dalam acara 10m platform seirama lelaki pada Isnin malam.

Selepas kemenangan itu, mereka mengambil waktu itu untuk berkongsi mengenai bagaimana iman mereka membantu mereka berdiri teguh, tanpa mengambil kira kejayaan mereka di Olimpik.

"Kami berdua tahu identiti kami adalah dalam Kristus," Boudia memberitahu para wartawan kemudiannya.

Johnson, yang masih baru kepada Olimpik tahun ini, juga memberi pujian kepada Kristus yang membantunya bertenang sepanjang pertandingan.


David Boudia dan Steele Johnson dalam acara 10m platform seirama lelaki di Olimpik Rio

Boudia dan Johnson, kedua-duanya dari Indiana, telah menggunakan pentas sukan mereka untuk memberi tumpuan kepada iman mereka dalam Kristus.

Steele Johnson
Johnson berkata imannya telah membantunya mengatasi kemalangan terjunan yang hampir membawa kematian untuk meneruskan perjalanan mencapai impian Olimpiknya. Ketika dia berusia 12 tahun, dia terhentak kepalanya pada platform, meretakkan tengkoraknya sebelum jatuh ke dalam air, begitu dilaporkan The Indianapolis Star

"Apabila sesuatu seperti itu terjadi dalam hidup anda, pengalaman hampir mati, anda tidak tahu lagi ke manakah arah hidup anda," Johnson berkata. "Saya boleh saja berhenti sukan terjun. Saya boleh kembali ke sekolah menengah dan menjadi pelajar biasa dan mengambil bahagian dalam sukan yang berbeza seperti American football atau bolasepak. 

"Hakikat bahawa Tuhan telah memberi saya kemampuan untuk meneruskannya dan bertahan dan tidak memiliki ketakutan atau kerisauan untuk membuat terjunan, semuanya berjalan baik akhirnya," dia berkata. 

David Boudia
Dalam autobiografinya yang dikeluarkan baru-baru ini, Greater Than Gold: From Olympic Heartbreak to Ultimate Redemption, Boudia juga menceritakan dengan terperinci bagaimana menjadi seorang Kristian telah mengubah hidupnya dari pemikiran membunuh diri, minuman keras dan dadah. 

Dia juga menjelaskan bagaimana ayat Alkitab, Filipi 4:6 telah memberinya kebebasan dan keyakinan untuk menjadi penerjun yang lebih baik. 

"Janganlah hendaknya kamu kuatir tentang apapun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah  dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur," (Filipi 4:6)

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel CBN bertajuk, "Olympic Winners Boudia, Johnson: Our Identity Is In Christ" bertarikh 9 Ogos 2016)