Rabu, 31 Ogos 2016

Juwita Suwito - Anak Malaysia Generasi Pertama

Penyanyi dan penulis lagu, Juwita Suwito

Tidak ramai orang yang dapat mengatakan diri mereka sebagai warga Malaysia generasi pertama, tetapi penyanyi dan penulis lagu yang disanjungi, Juwita Suwito dapat menyatakan demikian. 

Bekas jurulatih vokalis Malaysian Idol, yang telah membimbing peserta-peserta peringkat akhir musim pertama dan kedua rancangan itu, telah mula menyelami dunia muzik professional pada usia lewat remaja sebagai penyanyi vokalis sokongan kepada artis-artis seperti Ning Baizura dan Casey.

Sejak itu, dia telah mengeluarkan tiga album, Brand New World (2004), For Real (2006), dan Take Five with Juwita Suwito at Avanti (recording live, 2008). Brand New World telah menjadi juara untuk Album Bahasa Inggeris Tempatan Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2005, selain telah dicalonkan dalam tiga kategori lain.

Juwita amat prihatin terhadap isu-isu wanita, dan telah membuat persembahan di Persidangan Antarabangsa Wanita di Brisbane, Australia pada 2003, dan sekali lagi di Nairobi, Kenya pada 2007. Dia telah menjadi Setiausaha Kebangsaan YWCA Malaysia sejak 2002, dan menjadi pengerusi bersama Pasukan Petugas Tadbir Urus YWCA Sedunia dari 2004-2007. YWCA adalah pergerakan keahlian sukarelawan global dengan 25 juta wanita dan pemudi di 125 negara.

“Di Lembah Kelang, kerja kami menumpukan kepada pendidikan dan pemberian kuasa sosioekonomi untuk memperbolehkan wanita dan pemudi untuk menghentikan lingkaran keganasan dalam komuniti mereka. Kami juga menyediakan program melatih kepimpinan dan membangkit kesedaran, yang terbuka kepada semua wanita dan pemudi dari semua anutan dan latar belakang,” Juwita memberitahu The Nut Graph dalam satu temuramah melalui emel pada 6 Januari 2010.

The Nut Graph: Di manakah anda dilahirkan dan di manakah anda dibesarkan?

Juwita Suwito: Saya dilahirkan di Kem Terendak, Melaka, dan menghabiskan usia awal saya di antara Tranquerah dan Klebang Besar. Sejurus sebelum usia 10 tahun, keluarga saya berpindah ke Kuala Lumpur, di mana kami tinggal untuk lima tahun. Kemudian saya meneruskan pelajaran sekolah menengah atas di Kelang.

Dapatkah anda mengesan keturunan anda?

Ibu bapa Juwita

Saya adalah anak Malaysia generasi pertama!  Ayah saya warga Indonesia. Dia sering menyebut mengenai Medan dan Palembang, jadi saya agak bahawa dia pastinya membesar di Sumatera sebelum keluarganya berpindah ke Jakarta.

Saya diberitahu bahawa dia telah belayar ke Singapura dalam kapal angkut untuk belajar di Trinity Theological College. Semasa tugasannya kepada jemaat Gereja Methodis Cina Selat Geylang yang berbahasa Melayu-Peranakan, dia telah bertemu dengan emak saya, seorang warga Singapura, yang merupakan salah seorang pemain organ di gereja itu.

Mereka telah berkahwin tidak lama kemudian dan mendapat penempatan tugas pertama mereka ke Melaka pada 1965. Apabila Malaysia dan Singapura berpisah, ibu bapa saya mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia sebagai penduduk tetap.

Pada 1967, untuk mengurangkan pengaruh Komunis China dan untuk menggalakkan orang-orang Cina tempatan untuk mengasilimasikan diri, kerajaan Indonesia di bawah pemerintahan Suharto mengkehendaki semua orang Cina Indonesia untuk menukar nama mereka. Ayah saya memilih nama Elkanah Tulus Suwito – nama keluarga yang ada persamaan dengan nama aslinya, Thé Kim Soei. Dia kemudiannya dikenal mesra sebagai Rev ET Suwito.  

Itu adalah, secara ringkas, bagaimana Tuhan mengizinkan saya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia sebagai Juwita Suwito.


Nenek Juwita sebelah emak

Ibu bapa ayah saya adalah Thé Tiauw Liong, dan Whie Biauw Nio. Datuk saya adalah seorang seorang peniaga yang telah mengharungi masa senang dan susah, dari menjual aiskrim buatan di rumah kepada mengurus sebuah hotel. Ibu bapa emak saya adalah Lim Guan Quee dan Chew Poh Neo. Ayahnya telah datang dari China dengan ibu bapanya dan telah meningkat dari peringkat bawah sehingga menjadi akauntan di Cable & Wireless (sebuah syarikat telekomunikasi British).

Apakah kenangan paling jelas anda mengenai tempat anda dibesarkan?

Ada sebuah padang dengan pokok hujan-hujan di depan rumah kami di Tranquerah. Setiap kali hujan lebat, padang itu akan bertukar menjadi “tasik” cetek dan katak-katak yang tidak kelihatan akan mula berlagu, menarik perhatian saya untuk keluar dan bermain sampan mainan kertas.

Rumah itu biasanya diselubungi muzik atau ketikan berirama pantas mesin taip dari pejabat ayah saya di rumah. Dia telah memainkan peranan utama dalam penterjemahan Alkitab Bahasa Malaysia pertama, oleh itu dia dan emak saya akan secara berterusan menyediakan draf demi draf yang akan dihantar berulang-alik kepada pasukan penterjemah untuk memastikan ketepatannya.

Sekali dalam setahun atau dua, keluarga saya akan pergi bercuti dengan saudara-mara saya dari Singapura. Semasa salah satu percutian itu, satu perdebatan tercetus. Saya bertegas bahawa Singapuralah yang telah meninggalkan Malaysia, semata-mata kerana buku teks sejarah saya menyatakan begitu. Sepupu-sepupu saya yang ternyata telah membaca buku teks yang berbeza, menegaskan bahawa Malaysialah yang telah memaksa mereka keluar dari Persekutuan itu.


Ayah dan datuk Juwita

Saya kira bahawa mengalami perbincangan seperti ini semasa masih muda membantu saya menyedari bahawa apa yang kita “tahu” tidak selalunya betul atau benar. Ianya juga menolong saya untuk memahami perbezaan kita. Saya belajar bahawa kita boleh mengakui dengan berterus-terang kekurangan kita namun tetap berbangga sebagai rakyat Malaysia.

Apakah kisah-kisah keluarga yang anda paling kenangi dan apakah hubungannya dengan anda?

Ayah saya pernah mengatakan bahawa jika datuknya masih hidup, dia tidak akan pernah percaya bahawa keluli yang bertan-tan dapat terbang. Dia sedang berkata mengenai kapalterbang. Penerbangan adalah sesuatu yang mewah semasa saya membesar, tetapi saya masih tidak dapat membayangkan bahawa satu ketika dahulu orang perlu menghabiskan berminggu-minggu atau berbulan-bulan di laut untuk sampai ke sesuatu tempat, ke mana kita boleh terbang dengan mudah hari ini.

Ayah saya meninggal dunia ketika saya berumur 18 tahun. Kini saya semakin kerap menaiki pesawat untuk kerja dan acara persembahan, dan seringkali mengingati ulasannya yang bersahaja itu, terutamanya apabila saya dalam perjalanan seorang diri. Ianya masih memberi saya perasaan nyaman yang sukar dijelaskan.    

Saya sudah menyebut tadi bahawa emak saya adalah pemain organ di gereja, dia juga bermain piano. Ketika dia kecil, ibu bapanya hanya mampu menghantar seorang daripada adik-beradiknya untuk kelas muzik. Abangnya, satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, diberi peluang itu. Mujurlah, abangnya mempelajari dengan rajin.  Sambil dia berlatih, emak saya memperhatikan dan belajar.

Kedua-dua kisah ini mengajar saya agar tidak mengambil ringan apa yang kita miliki – samada hak kita, sumber kita, ataupun orang-orang di sekeliling kita.

Apakah aspek identiti anda yang anda paling bergelut dengan sebagai seorang rakyat Malaysia?


Juwita semasa kecil

Itu soalan yang susah. Saya percaya saya tidak pernah bergelut mengenai identiti saya sebagai rakyat Malaysia. Ramai orang yang ingin tahu mengenai asal-usul bangsa saya oleh kerana nama saya. Jika saya mempunyai cukup masa, saya akan menerangkan bahawa ayah saya seorang Cina Indonesia dan emak saya seorang Peranakan Singapura. Jika saya terpaksa memberi jawapan dalam satu perkataan, saya akan katakan saja Cina. Tetapi saya merasa jauh lebih selesa untuk memperkenalkan diri sebagai orang Malaysia kepada kawan-kawan dari negara asing.

Pergelutan yang saya alami adalah perasaan yang kadang-kala timbul bahawa saya umpama Cinderella di tanah air sendiri. Itu melukakan perasaan sebab, seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, saya benar-benar mencintai negara saya. Bagi saya ianya satu paradoks bahawa konsep 1Malaysia disampaikan berulang-ulang kepada rakyat yang sudahpun menghargai semangat sebagai sebuah negara.

Alangkah baiknya jika kerajaan sebaliknya mula mengikut rentak yang sering dilaungkan itu! Salah satu langkah yang boleh diambil kerajaan adalah untuk mengesahkan Persetiaan Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman.

Jelaskan Malaysia yang anda inginkan untuk diri anda dan generasi masa hadapan.

Buat permulaannya, ada beberapa identiti Malaysia yang saya harap akan bertahan dan berkembang selamanya seperti kesenian rakyat kita – dikir barat, kuda kepang, sumazau dan lain-lain, budaya kita yang mementingkan makanan – minum teh tarik di gerai mamak di bawah pokok, rumah terbuka semasa musim perayaan… senarainya berterusan.


Juwita bersama dengan keluarganya

Namun masih ada banyak ruang untuk kemajuan dalam arena sosio-politik. Saya benar-benar menginginkan Malaysia di mana semua rakyatnya akan bebas untuk mencapai potensi penuh mereka tanpa dibatasi oleh siling kaca; Malaysia yang tidak lagi hidup di bawah bayangan warisan sindrom pecah dan perintah, tetapi yang memperbolehkan rakyatnya untuk benar-benar menjadi satu; Malaysia di mana wujud kebebasan beragama bagi setiap orang; Malaysia yang memiliki etika kecemerlangan dan sifar toleransi terhadap apa pun yang kurang dari integriti dalam diri kita dan para pemimpin kita.

Tetapi untuk masa yang terdekat, amat baiknya juga, jika saya tidak perlu berfikir dua tiga kali samada tandas awamnya bersih apabila ada keperluan menggunakannya secara tiba-tiba.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Nut Graph bertajuk, "A First-Generation Malaysian" yang ditulis oleh Nick Choo bertarikh 4 Februari 2010)