Sabtu, 3 September 2016

Kim Phuc - "Perempuan Dalam Foto" Yang Mengharukan Dunia

Kim Phuc menyampaikan kesaksiannya di Gereja Baptis Valley Forge (Foto dari Josh Berg)

Hari terburuk dalam hidup Kim Phuc Phan Thi telah dirakam dalam sekeping foto.

“Ada seorang mula menjerit, ‘Terlalu panas! Terlalu panas!” Kim Phuc kini 50 tahun, memberitahu sidang Gereja Baptis Valley Forge pada hari Ahad semasa kebaktian malam.  “Orang itu adalah saya.” Sebuah kapalterbang Vietnam Selatan tersilap menjatuhkan empat bom napalm ke atas Kim Phuc Phan Thi yang berusia 9 tahun dan dan orang-orang awam lain – kebanyakannya kanak-kanak – sambil mereka berlari keluar dari tokong di mana mereka berlindung di Trang Bang.

Imejnya berlari di jalan, dengan pakaiannya habis terbakar, dikelilingi oleh adik-beradiknya dan seorang sepupunya yang menangis, telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada dunia.


Foto yang telah mengharukan dunia: Kim Phuc (tengah) berlari selepas serangan bom napalm 

Walaupun foto yang diambil oleh Nick Ut itu menunjukkan detik-detik ketika hidupnya berubah untuk selamanya, Kim Phuc menerima foto itu. 

“Ianya telah menyentuh hati orang,” katanya mengenai foto tahun 1972 itu yang telah memenangi Hadiah Pulitzer. “Ada orang mengatakan bahawa ianya telah membantu menghentikan perang (Vietnam) itu.”

Kim Phuc mengambil berat mengenai hati orang. Itulah sebabnya dia memberitahu kisahnya, katanya, dan kenapa dia telah datang ke Gereja Baptis Forge Valley pada hujung minggu ini.

“Itulah sebabnya saya berucap,” dia memberitahu The Mercury. “Saya dapat lihat kekacauan yang ada dalam hati mereka… bagaimanakah mungkin saya tidak datang ke sini?”

Kim Phuc
Kim Phuc, yang memakai baju merah dan emas, berbicara di hadapan sidang jemaat dalam dewan gereja yang hampir penuh.

Suara-suara terkejut kedengaran apabila ditayangkan sebuah video beberapa ketika selepas serangan napalm menunjukkan kulit Kim Phuc dan saudara-maranya bergantungan seperti stoking dan sarung tangan longgar dari kaki dan tangan mereka. Dua daripada sepupunya yang masih kecil telah meninggal dunia akibat kecederaan dalam serangan bom itu dan Kim Phuc mengalami parut di lengan dan belakangnya yang masih wujud hari ini.

Suara Kim Phuc lembut tetapi yakin semasa ucapannya. Dia sering tersenyum dan juga bergurau beberapa kali semasa menyampaikan ucapan yang menarik perhatian hadirin. 

Sambil menceritakan mengenai kepanasan suhu napalm, dia memberitahu bagaimana kulitnya boleh saja terbakar habis.

"Tetapi kulit saya, wajah saya, masih cantikkan?" katanya disambut oleh gelak tertawa, sambil dia tersenyum dan meletakkan tangannya ke kedua pipinya.

Jurufoto Nick Ut
Kim Phuc berkata mengenai kecederaannya, yang memerlukan 17 pembedahan, yang kali terakhirnya di Jerman pada 1984. Dia menerangkan bagaimana Nick Ut (jurufoto yang telah mengambil foto itu) telah menyelamatkan nyawanya dengan membawanya ke hospital yang berhampiran. Dia berkata mengenai bagaimana ibu bapanya teah pergi ke hospital tiga hari kemudian, dan mendapatinya berbaring di bilik mayat kerana tidak ada seorangpun yang menyangka dia akan hidup. Dia berkata mengenai seorang kawan ayahnya yang telah mengatur menghantarkannya ke hospital lain, di mana dia dirawat selama 14 bulan. 

Bukan itu sahaja, dia juga bercerita mengenai bagaimana impiannya untuk menjadi doktor telah dihalang oleh kerajaan Vietnam yang ingin menggunakannya sebagai "simbol perang," mengenai dihantar ke Cuba, di mana dia bertemu dengan bakal suaminya, dan kemudiannya hanya dapat berbulan madu di Moscow. Akhirnya dia menceritakan bagaimana dia telah berpaling tadah ke Kanada semasa kapalterbang singgah selama sejam untuk mengisi minyak, dan meninggalkan segala harta benda dan wangnya. 

Di atas segalanya, dia bercerita mengenai pengampunan dan melepaskan semua kesakitan di hatinya akibat dari segala pergelutannya. 

Dia mengatakan bahawa imannya kepada Tuhanlah yang telah membantunya untuk melepaskan dan mengampuni. Sepuluh tahun selepas kecederaan kebakaran itu, dia berkata dia berada di perpustakaan dan terjumpa sebuah Alkitab. Sejak waktu itu dia telah menjadi seorang Kristian yang komited.

Oleh kerana dia tidak dapat melanjutkan pelajarannya, Kim menghabiskan masanya di perpustakaan. Di situlah dia terjumpa sebuah Alkitab. "Saya tidak dapat berhenti membacanya." Rasa ingin tahu telah membawanya ke gereja. di mana "saya mendengar Injil dijelaskan kepada saya untuk pertama kalinya. Kasih Tuhan mengubah hidup saya. Saya tahu bahawa Yesus telah mati di kayu salib untuk menebus dosa saya. Oleh itu saya menanya Tuhan, "Adakah Engkau mengampuni saya?"
Sejak masa itu, seruan hatinya tidak lagi, "Kenapakah perkara buruk ini berlaku padaku?" tetapi, "Tolonglah aku."
Kim berkata, "Hidup saya seperti secawan kopi. Sangat hitam: dengan kebencian, kemarahan, kepahitan, keperitan..." Selepas membaca Alkitab, dia berkata, "Bagaimanakah saya dapat membersihkan hati saya daripada segalanya jika ianya penuh dengan kopi?" Jawapannya, dia menjelaskan, adalah dengan mengizinkan cawannya dituangkan setiap hari, "sehngga ianya menjadi kosong dan Tuhan mengisikan kasih-Nya ke dalam cawan saya."  -  Kim Phuc - A Picture of Peace, Christianity Canada

Dari dulunya penuh kebencian dan kekecewaan, dia berkata Tuhan telah mengisi hatinya dengan perkara-perkara yang baik dalam hidup. 

Pada tahun 1990an, Kim Phuc telah bertemu dengan seorang bekas tentera Amerika Syarikat yang telah mengambil bahagian dalam pengeboman yang tersasar di Trang Bang itu. Kim menunjukkan video di mana bekas tentera itu telah menjejakinya dan Kim telah mengampuninya atas kesilapannya.

"Saya mendapati bahawa pengampunan adalah jauh lebih besar kuasanya daripada apapun senjata  perang," katanya.





(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Pottstown Mercury bertajuk, "Woman In Famous Vietnam War Photo Spreads Message of Forgiveness" yang ditulis oleh Frank Otto bertarikh 12 Nov 2013)