Rabu, 15 Mac 2017

Kes Pastor Koh: Pemandu Uber Didakwa Peras Ugut


PETALING JAYA: Seorang pemandu sambilan Uber telah didakwa di mahkamah majistret di sini atas tuduhan memeras ugut anak Pastor Raymond Koh Keng Joo yang hilang.

Lam Chang Nam, 31, telah didakwa memeras ugut Jonathan Koh Szu Hao, 33, untuk jumlah RM30,000 bagi tujuan membebaskan ayahnya.

Lam didakwa melakukan kesalahan itu di Paradigm Mall pada 8.46 malam pada 6 Mac dan didakwa di bawah Seksyen 385 Akta Keseksaan.

Peguambela tertuduh, Datin Raj Preet Kaur, membuat permohonan ikat jamin, tetapi mahkamah menolak permohonan itu.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menetapkan 26 April untuk sebutan kes.

Koh telah diculik dari keretanya oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10 Petaling Jaya pada 13 Februari.

Satu rakaman CCTV, yang dipercayai mengandungi rakaman berkenaan penculikan itu, menunjukkan tiga kereta SUV hitam berhenti di tengah jalan. 

Tidak lama kemudian, dua daripada SUV itu telah dipandu pergi diikuti oleh kereta berwarna cerah yang dipercayai kereta Honda Accord milik Koh dan SUV yang satu lagi. 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Star Online bertajuk, "Pastor Koh Case: Uber Driver Charged With Extortion" yang ditulis oleh Maizatul Nazlina bertarikh 15 Mac 2016)