Jumaat, 3 Mac 2017

Pindaan Agama Boleh Dibuat: JPN

Julitah (tengah) menunjukkan dokumennya kepada Ismail (kiri) dan Amisah (Foto Daily Express)


KOTA KINABALU: Julitah Bahiau, wanita yang menghadapi dilema disebabkan apa yang didakwa butir-butir salah mengenai agamanya dalam MyKadnya, boleh  mendapatkan pindaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebaik dia mendapat perintah mahkamah Syariah.

Pengarah Negerinya Dato Ismail Ahmad memberitahu Daily Express bahawa proses itu boleh dibuat, malah jabatan itu pernah membuat pindaan dalam beberapa kes sebelum ini selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Bagaimanapun, beliau mengulang bahawa setakat peranan jabatan itu, ia tidak mempunyai kuasa untuk meminda agama seseorang.

“Kami akan membuat pindaan apabila ada perintah mahkamah yang menyatakan bahawa agamanya bukan Islam.”

“Ini bukan kali pertama kerana kami pernah menghadapi kes-kes pada masa lalu selepas perintah mahkamah diperolehi,” katanya apabila bertemu dengan Julitah di pejabatnya, Khamis. Pertemuan itu diatur oleh wakil rakyatnya (Julitah) Adun Keranaan Datuk Seri Masidi Manjun dari siapa dia meminta bantuan sebelum ini. Julitah diringi oleh setiausaha politik Masidi. Datuk Amisah Yassin.

Ibu kepada enam anak yang berumur 47 tahun ini menonjolkan kesnya minggu lepas apabila dia membuat rayuan kepada pihak berwajib untuk membenarkan anak lelaki bongsunya, Aryton Verlando, 7, untuk bersekolah walaupun tidak mempunyai sijil kelahiran kerana dia enggan menerimanya disebabkan anaknya itu dikenal pasti sebagai penganut Islam.

Julitah diberitahu bahawa ini berlaku secara “automatik” kerana agama anak akan mengikut agamanya. Julitah juga dikenal pasti sebagai Muslim dalam MyKadnya, yang dia nafikan dengan sekeras-kerasnya.

JPN Sabah, dalam satu kenyataan awal, telah mengarahkannya untuk berurusan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan menghubungi JPN semula selepas menyelesaikan  perkara itu.

Ismail mengulang bahawa disebabkan kesnya membabitkan agama, ia mesti ditangani oleh pihak berkuasa agama berkenaan.

“JPN tidak boleh sewenang-wenang menukar agama seseorang,” katanya.

Julitah dilaporkan menafikan telah memeluk Islam pada 1988 di Ranau seperti yang didakwa oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Dia berkata ketika itu dia berusia 12 tahun. Ibu bapanya menjalani penukaran agama secara besar-besaran di Kundasang yang dijalankan pada zaman Usno namun dia tidak pernah hidup sebagai Muslim.

Dia mempunyai sembilan adik-beradik dan merupakan anak yang ketujuh. Kesemua adik-beradiknya dikenal pasti sebagai Kristian dalam MyKad mereka kecuali dia dan adiknya yang kelapan.

Dia ke JPN pada 2003 pada kali pertama untuk meminta penghapusan Islam daripada MyKadnya namun diminta ke Muis di mana pegawai tidak mendapati sebarang rekod mengenai dia menjadi seorang Muslim dalam sistem mereka dan diberi tarikh untuk membicarakan kesnya.

Selepas beberapa penangguhan, dia akhirnya mendapat perbicaraan namun diberitahu bahawa dia tidak mempunyai kebebasan untuk ‘meninggalkan Islam’.

Kemudian pada 2013, dia mendapati bahawa Muis telah memasukkan butirannya dalam sistem mereka dan merekodkannya sebagai Mualaf.

Dia berkahwin dengan seorang lelaki Katolik dan mereka mempunyai enam orang anak, empat daripadanya tidak mempunyai masalah dengan agama mereka yang didaftarkan.

“Saya dibaptis pada 2002. Saya mempunyai setiap hak untuk membesarkan anak-anak saya berdasarkan kepercayaan  agama saya,” tegasnya.

Sementara itu, Masidi, ketika mengulas kes Julitah dalam majlis lain pada Khamis, mencadangkan agar dia mendapatkan sijil lahir anak lelakinya daripada JPN supaya anaknya boleh mula bersekolah.

“Keutamaannya sekarang ialah agar anaknya dapat mula bersekolah secepat mungkin. Selepas itu dia boleh meneruskannya kesnya dengan JHEAINS. Terdapat prosedur sedia ada untuk mengatasi isu in.” katanya.

Bagaimanapun, Julitah meminta sedikit masa untuk berbincang dengan keluarganya sebelum memutuskan apa yang perlu dilakukan  seterusnya.

Dia juga berkata bahawa walaupun dia faham proses yang diterangkan kepadanya oleh Ismail dan Masidi seperti yang disampaikan oleh Amisah, dia berharap agar dia dan anaknya tidak lagi dikenal pasti sebagai Islam.

"Saya berharap masalah saya boleh diselesaikan secepat muingkin kerana saya sudah letih ulang alik ke JPN dan Muis selama bertahun-tahun," katanya sambil berterima kasih kepada Masidi atas bantuannya. 

(Diambil daripada artikel Harian Ekspres bertajuk "Pindaan Boleh Dibuat: JPN" yang ditulis oleh Leonard Alaza bertarikh 3 Mac 2017)