Ahad, 30 April 2017

Jika Anda Pernah Melihat Lukisan Ini, Inilah Kisah Di Sebaliknya Yang Tidak Diketahui Ramai

Lukisan Head of Christ 

Sehingga 1990an, lukisan ini telah dicetak lebih 500 juta kali, dengan salinan saiz besar dicetak untuk kegunaan gereja dan salinan saiz kecil sebesar dompet untuk kegunaan peribadi. Ianya disukai oleh kedua-dua orang-orang Protestan dan Katolik dan dapat dilihat di gereja-gereja dan kediaman-kediaman mereka. 

Anda mungkin tidak akan mengenal namanya, tapi anda mungkin pernah melihat karyanya. Warner Sallman adalah pelukis Kristian paling terkenal pada permulaan abad kedua puluh. Hampir semua orang pernah melihat cetakan lukisannya Head of Christ. Lukisan kuning perang dengan rambut yang panjang beralun itu adalah ikon tahun 1940an dan 1950an. 

Warner E. Sallman (1892-1968) dari Chicago
adalah pelukis potret terkenal Head of Christ 
Dilahirkan pada hari ini, 30 April, 1892, Sallman telah menunjukkan bakat melukis pada usia muda. Ibu bapanya yang berasal dari Sweden melakukan apa yang terdaya untuk mengembangkan bakatnya. Ketika dia pergi ke New York untuk mencari nafkah hidup, dia menghadapi halangan apabila kotaknya hilang. Tanpa portfolio sampel lukisannya dalam kotak itu, tiada studio yang mahu menerimanya. Dia sudah bersedia untuk meninggalkan New York, tetapi membuat satu pemeriksaan terakhir di stesen keretapi, bertegas untuk melihat kawasan stor. Kotaknya telah dijumpai jauh dari pandangan.

Sallman adalah seorang Kristian yang telah menerima Tuhan pada usia enam belas tahun ketika kebaktian penginjilan di Chicago. "Beban dosa dan rasa bersalah saya telah diambil dan saya tak pernah akan melupakan rasa sukacita penuh keterujaan pada detik mengalami kasih karunia Tuhan yang telah menebus saya. Sejak waktu itu, hidup saya adalah berdasarkan pengalaman itu, dan telah tertuju ke arah melayani Tuhan dengan segala cara." Dia juga telah berkahwin dengan seorang gadis Kristian - Ruth Anderson - tetapi setahun kemudian dia telah diberitahu bahawa dia hanya mempunyai tiga bulan untuk hidup. Iman isterinya cukup kuat untuk cabaran itu; dia berkata, "Mari kita berdoa mengenainya dan biarlah Tuhan melakukan dengan cara-Nya dalam perkara ini." Waktu berlalu dan Sallman pulih sepenuhnya dari tuberkulosis (penyakit batuk kering).

Akhirnya dia mencapai kejayaan sebagai pelukis ilustrasi profesional. Pada suatu hari, Sallman perlu menyiapkan satu lukisan untuk kulit depan majalah agama Covenant Companion edisi Februari 1924. Dia ingin melukiskan wajah Kristus, tetapi tidak berpuas hati dengan idea yang ada padanya. Di sebalik pemikirannya adalah kenyataan oleh E. O. Sellers, pengarah malam Moody Bible Institute, "... lukiskan dia lelaki yang sejati, lukiskan dia tahan lasak, bukan bersifat kewanitaan. Lukiskan dia kuat dan kelakian, bukan lemah, supaya orang dapat lihat di wajahnya, dia pernah tidur di bawah bintang di langit, mengusir penukar-penukar wang dari Bait Allah, dan menghadapi Golgota dengan kemenangan." Bukan kerja yang mudah! Tak hairanlah Sallman tidak mendapat idea yang tepat pada mulanya. 

Lukisan di Covenant Companion
Dengan tarikh akhirnya semakin dekat, dia mendapat satu penglihatan pada awal pagi tentang wajah yang harus dilukiskannya. Bertahun kemudian dia mengubah lakaran itu menjadi lukisan - wajah Kristus yang paling dikenali yang telah dilukiskan pada abad kedua puluh.  

Sallman akan  menghasilkan lebih banyak lagi seni keagamaan - dia adalah artis untuk misi New Tribes, sebagai contohnya. Dia telah melakarkannya berulang kali - lebih daripada 500 kali - dalam ceramah umum. Dia akan melakukan lakarannya dan mengundang orang untuk bertemu dengan Kristus yang cuba dipaparkannya. 



Sallman telah menghasilkan banyak lagi lukisan mengenai Kristus, termasuk lukisan-lukisan terkemuka, Jesus, Our Pilot dan Christ Knocking At Heart's Door (di mana cahaya dari Kristus yang memancar pada rumah menunjukkan bentuk hati). 


Tonton video mengenai Warner Sallman dan lukisannya di bawah:


(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christianity.com bertajuk, "Warner Sallman's Famous Head of Christ" yang ditulis oleh Dan Graves, dikemaskinikan pada April 2007)