Saya tidak terkejut bahawa seorang lagi nabi hari kiamat meramalkan kesudahan dunia. (Getty Images/iStock/Getty Images Plus/ Kontrec) |
Kita dibanjiri oleh berita buruk kebelakangan ini. Kita (di Amerika Syarikat) telah mengalami pemilihan Presiden yang memecahbelahkan, satu ombak keganasan perkauman, satu gerhana matahari, dan dua ribut taufan yang menghancurkan. Jika itu tidak cukup buruk, pemimpin kuku besi Korea Utara sedang mengancam meleburkan Amerika Syarikat dengan peluru berpandu nuklearnya.
Oleh itu saya tidak terkejut bahawa seorang lagi nabi hari kiamat telah meramalkan kesudahan dunia.
Kali ini ianya adalah seorang "pengkaji" bernama David Meade, pengarang sebuah buku bertajuk Planet X - Ketibaan 2017. Dia telah menandakan 23 September pada kalendarnya, dan dia berkata bahawa itulah harinya dunia akan berakhir.
Meade berkata bahawa sebuah planet tersembunyi bernama Nibiru akan bertembung dengan Bumi pada hari itu. (Tak apalah kalau Nibiru belum lagi dikesan oleh mana-mana teleskop). Meade juga mendakwa bahawa dia mempunyai petikan-petikan Alkitab untuk menyokong teorinya yang aneh itu.
Meade percaya bahawa gerhana matahari pada 21 Ogos telah menandakan kedatangan planet ghaib itu. Dia tidak ada bukti saintifik mengenai pelanggaran yang akan datang itu, tetapi menyebut Yesaya 13:9, "Lihat, hari Tuhan datang dengan bengis, dengan
amarah, dan dengan murka yang menyala-nyala, untuk menjadikan bumi sunyi dan untuk memusnahkan para pendosa dari dalamnya" (AVB).
Pendukung teori konspirasi seperti Meade telah menyebarkan khabar angin mengenai sebuah planet bernama Nibiru selama lebih daripada 40 tahun. Mereka mendakwa ianya didiami oleh sebuah bangsa asing kuno yang telah datang ke Bumi ribuan tahun yang lalu untuk melombong emas. Meade berkata bahawa dunia akan berakhir pada 23 September 2017 kerana tarikh itu telah disimpan secara rahsia dalam kedua-dua Alkitab dan piramid.
Saya merasa malu apabila saya mendengar orang-orang Kristian terpedaya oleh penipuan ini. Saya tidak dapat bersaing dengan kegilaan hari kiamat ini, tetapi saya dapat membuat rayuan untuk berfikiran waras. Berikut adalah tiga sebab anda tidak harus percaya atau menyebarkan ramalan Meade:
1. Ianya adalah nubuatan palsu. Yesus sendiri telah menegaskan bahawa semua penetapan tarikh untuk hari kiamat tidak boleh dilakukan. Dia memberitahu murid-murid-Nya pada hari Dia diangkat, "Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri" (AVB). Matius 24:36 mengatakan bahawa tarikh Yesus kembali lagi hanya diketahui oleh Bapa, Jika ianya bukan untuk kita ketahui, bagaimanakah David Meade dapat mengetahuinya? Hanya bentuk kesombongan rohani yang paling teruk yang membawa orang membuat dakwaan sedemikian.
2. Penetapan tarikh yang tidak menjadi telah menjatuhkan maruah orang-orang Kristian banyak kali sebelum ini. Kenapakah kita tidak belajar dari sejarah? William Miller, pengasas Seventh Day Adventist, begitu yakin bahawa Yesus akan kembali pada 1844. Apabila ramalannya itu terbukti palsu, ramai pengikut-pengikut Miller yang kecewa dan meninggalkan iman mereka.
(Ajaran sesat) Saksi Yehowa, mengajar bahawa Yesus akan memulakan pemerintahan seribu tahunnya pada 1914. Apabila itu tidak berlaku, mereka menunjukkan kepada pemulaan Perang Dunia Pertama dan mula mengajar bahawa itulah "permulaan kesudahan." Beberapa tahun kemudian, mereka mengubah tarikhnya ke 1925. Tiada apa-apa berlaku pada tahun itu, tetapi lebih satu generasi kemudian, mereka menyebarkan satu ramalan bahawa bumi akan berakhir pada 1975. (Mereka juga mengajar bahawa hanya ahli-ahli Saksi Yehowa akan terlepas daripada satu kemusnahan global yang dahsyat itu).
Sejarah kebelakangan ini juga mengandungi lebih lagi ramalan-ramalan yang memalukan seperti itu. Tidak begitu lama dahulu, Edgar Whisenant, seorang Kristian awam, menulis 88 Sebab Pengangkatan Akan Terjadi Pada 1988. Berjuta orang percaya telah membeli buku berkulit nipis itu. Orang-orang Kristian yang lain juga telah membuat ramalan yang serupa - seperti kekhuatiran Y2K pada 1999 atau amaran Harold Camping bahawa dunia akan berakhir pada 21 Mei 2011.
3. Penetapan tarikh hari kiamat menghalang misi Kristus. Adalah salah tafsiran dan tidak bertanggungjawab untuk mana-mana orang Kristian memberitahu orang-orang yang bukan Kristian mengenai bila Yesus akan kembali atau bila dunia akan berakhir. Tarikh dan batas waktu tidak ada kuasa untuk menyelamatkan - hanya Injil yang berkuasa melakukan itu.
Apabila kita berkongsi Kristus dengan orang lain, kita tidak perlu membekalkan tarikh Kedatangan-Nya yang Kedua. Sebaliknya kita harus memberitahu mereka mengenai keajaiban di Bukit Golgota, dan mengingatkan mereka, "Hari ini adalah hari penyelamatan" (2 Korintus 6:2, TB). Beratus ribu orang mati setiap hari tanpa Yesus, tanpa mengira Yesus kembali atau tidak dalam generasi mereka. Itu sudah cukup mendorong kita untuk mengelakkan hal-hal bodoh yang mengalihkan perhatian kita dan nubuatan-nubuatan palsu supaya kita boleh menyibukkan diri dengan tugas penginjilan.
Tugas kita adalah untuk menyampaikan berita baik - bukannya berita buruk!
Semua hujan ribut, kebakaran, gempar bumi, tunjuk perasaan tidak terkawal, ketegangan politik, serangan teroris dan nuklear telah meletakkan ketakutan dan kebimbangan dalam hati manusia hari ini. Tetapi jawapan kepada semua berita buruk ini bukanlah ramalan tarikh hari kiamat; jawapannya adalah Yesus, yang memberi kita damai luar biasa supaya kita dapat hidup dengan rasa terjamin dalam dunia yang kelam-kabut.
(Diterjemah daripada artikel Charisma News bertajuk, "Calm Down! The World Isn't Ending On Sept. 23" yang ditulis oleh J. Lee Grady bertarikh 13 September 2017)