Jumaat, 3 November 2017

Suhakam Akan Lawat Tempat Kejadian Pastor Koh Diculik


PANEL Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyiasat kehilangan Pastor Koh akan melawat tempat kejadian di mana dia diculik petang ini, selepas panel itu tidak mendapat maklumat yang diperlukan daripada seorang saksi polis dalam prosiding awal hari ini.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata tiada apa yang akan menghalang mereka ke tempat kejadian untuk lebih memahami bagaimana penculikan itu dijalankan.

"Saya akan ke tempat kejadian bersama rakan-rakan sejawat. Ia di Jalan SS4B/10 (Petaling Jaya). Saya mahu tengok kawasan di mana ia berlaku.

"Kami akan pergi dan lihat rumah-rumah dan jalan raya kerana kami tidak ada lakaran kawasan itu. Jika perlu, saya juga akan bawa pita pengukur. Ini tak masuk akal, tapi ia perlu dilakukan," kata Mah.

Mah yang merupakan pengerusi panel siasatan jelas terkejut dengan keterangan saksi iaitu ASP Supari Muhammad yang berkata panel itu perlu mendapatkan persetujuan dari Jabatan Peguam Negara sekiranya mahukan lakaran tempat kejadian.

Peguam-peguam yang mewakili keluarga Koh sebelum ini meminta Supari jika mereka boleh melihat lakaran dan foto-foto tempat kejadian. Supari berkata panel perlu mendapatkan persetujuan dari Jabatan Peguam Negara (JPN).

Pemerhati polis memberitahu panel supaya menghantar seorang pegawai untuk membuat permohonan rasmi kepada JPN dan menjelaskan bahawa lakaran dan foto diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Siasatan ini diadakan untuk mencari jawapan. Saya ingat polis sudah berunding dengan ACG sebelum datang,” kata Mah.

Mah juga memberitahu polis untuk menjemput wakil dari JPN untuk menghadiri pendengaran di masa akan datang supaya sebarang masalah berkaitan penyerahan dokumen rahsia dapat diselesaikan.

"Ini akan bantu cepatkan prosiding. Kalau tidak, ia tak akan selesai."

Siasatan ini adalah untuk menentukan sama ada kes Koh, Pator Joshua hilmy dan isterinya Ruth, dan aktivis sosial Amri Che Mat, adalah kes "enforced disappearance" melibatkan pihak berkuasa.

Mah dibantu oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya Suhakam Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Nik Saleh. – 3 November, 2017. 

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Suhakam Akan Lawat Tempat Kejadian Pastor Koh Diculik" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 3 November 2017)