NAMA Juwita Suwito sudah tidak asing lagi dalam
industri muzik. Orangnya penuh dengan santun, tertib seorang wanita berkarisma
sofistikated.
Juwita juga memiliki aura tersendiri yang mampu membuatkan
orang di sekelilingnya selesa walau baru pertama kali bertemu.
Tidak hairanlah ramai yang menyanjungi bakat besar penyanyi
dan penggubah bebas ini serta keperibadiannya yang mulia.
Ditemui media baru-baru ini, sempena sambutan Perayaan
Krismas Kota Kinabalu (KK) di Padang Merdeka, Juwita dengan ikhlas menzahirkan
kegembiraannya kerana dapat berkunjung lagi ke Sabah.
Malah Juwita turut menyatakan rasa kagumnya dengan
masyarakat Sabah yang sentiasa menikmati keharmonian dan keamanan meskipun
rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan berbeza agama.
“Apa yang saya suka tentang Sabah ialah semuanya bersatu…
anda boleh pergi ke kedai kopi dan duduk bersama tanpa sebarang masalah.
Senario sebegini bukanlah sesuatu yang selalu dapat dilihat di Semenanjung,”
katanya tersenyum manis, menyerlahkan lesung pipit di pipi kanannya.
Tutur Juwita lagi, setiap kali berkunjung ke sini bersama
kumpulannya, kesemuanya pasti akan jatuh cinta dengan keharmonian dan keindahan
negeri di bawah bayu ini.
“Kami mengadakan banyak bengkel di Sabah dan setiap kali
saya membawa band saya, atau ahli yang kali pertama datang ke sini, semuanya
pasti jatuh cinta dengan Sabah.
“Senario (kebersamaan) seperti ini adalah Malaysia yang kita
rindukan, yang pernah kita lalui suatu ketika dahulu dan yang kita harapkan
untuk menikmatinya lagi,” katanya.
Krismas dan Harapan
Memandangkan kedatangannya kali ini
sempena sambutan perayaan Krismas KK, soalan mengenai apakah makna Krismas bagi
dirinya, diajukan kepada Juwita.
“Krismas adalah peluang untuk berkongsi kegembiraan dan
cinta serta kemeriahan kerana kita mengalami masa-masa yang sukar dan ini
adalah masa yang baik untuk menyanyikan lagu tentang harapan dan cinta.
“Selain itu bagi saya, Krismas juga banyak kerja… Saya akan
menyambut Krismas di Singapura sambil bekerja,” ujarnya tertawa mesra.
Mengupas lebih lanjut mengenai ‘masa yang sukar’, umum
menyedari isu dunia mengenai permusuhan, pergolakan dan peperangan yang berlaku
secara global.
Namun sambutan Krismas memberi harapan kepada manusia untuk
hidup dalam keadaan yang lebih baik, aman dan harmoni.
“Kita dapat perhatikan masyarakat kini semakin
terpolarisasi, a little bit more fundamental in their beliefs… Tetapi dalam
masa yang sama, saya mempunyai kawan (yang berlainan agama) yang benar-benar
terbuka, mereka akan datang untuk parti Krismas.
“Ini adalah masa yang tepat untuk menjemput kawan-kawan dan
mengeratkan hubungan lagi,” katanya yang menyakini selain dirinya, pasti ramai
lagi yang merindukan suasana penuh kasih dan keamanan.
‘Songs and Stories’
Ditanya mengenai perkembangan
terbarunya, adik kepada Aubrey Suwito ini berkata dia belum lagi menghasilkan
apa-apa material yang baru. Namun dia kerap menghasilkan lagu single dan
memberikan tumpuannya terhadap Song and Stories.
Songs and Stories telah ditubuhkan pada tahun lepas dan
merupakan inisiatif bersama oleh Juwita dan penulis novel Gina Yap Lai Yoong.
Mereka menghasikan video mengenai kehidupan harian masyarakat dan juga
tempat-tempat di seluruh Malaysia yang mampu memberi inspirasi kepada orang
lain.
Tujuan utamanya ialah untuk mengumpulkan dan memperkenalkan
pelbagai cerita dalam semua lapisan masyarakat Malaysia supaya penduduk di
negara ini lebih mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik dan
diperkukuhkan sekaligus bersatu sebagai sebuah negara.
“Kami baru sahaja selesai satu tahun, kami mula secara rasmi
pertengahan tahun lepas dan akhir tahun ini kebanyakan projek yang kami lakukan
di Semenanjung. Tahun depan kami merancang untuk kembali ke Sabah dan Sarawak.
“Bagi saya, projek ini memberi impak yang besar. Orang ramai
yang melihat video itu teruja semula dengan bandar mereka dan kami berharap
dapat melakukan lebih banyak perkara seperti ini,” katanya.
(Diambil daripada artikel New Sabah Times bertajuk, "Juwita Suwito Miliki Aura, Pesona Diri Positif" bertarikh 23 Disember 2017)