Isnin, 29 Januari 2018

Kes Tukar Agama Sebelah Pihak: Mahkamah Sivil Ada Kuasa, Kata Hakim


PUTRAJAYA: Dalam penghakiman bersejarah hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa mendengar kes mencabar penukaran agama anak kepada Islam oleh sebelah pihak.

Ini satu daripada pengumuman penting dibuat mahkamah tertinggi yang membenarkan rayuan guru tadika, M Indira Gandhi dalam penukaran agama 3 anaknya oleh bekas suaminya, K Pathamanathan @ Muhammad Riduan Abdullah, pada 2009.

Panel 5 hakim itu diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan dianggotai hakim Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin and Tan Sri Ramly Ali.

Susulan keputusan itu, sijil penukaran agama yang dikeluarkan Pendaftar Muallaf Perak untuk Tevi Darshiny, Karan Dinesh, dan Prasana Diksa, kini tidak sah dan terbatal.

Zainun menyampaikan penghakiman sebulat suara itu.

Zulkefli dalam keputusan tambahannya berkata, hakim tidak dipengaruhi kepercayaan agama mereka.

Zulkefli memetik kenyataan bekas ketua hakim negara, Tun Suffian Mohamed Hashim sebagai berkata, hakim tidak harus dipengaruhi agama dan kaum mereka, terutamanya apabila mempertahankan hak golongan minoriti.

“Kami mengikut undang-undang dan peraturan kes dalam mendukung kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, isu penukaran agama menjadi perbincangan awam kebelakangan ini, dan badan eksekutif serta perundangan yang terlibat dalam meminda undang-undang berkaitan.

Zainun berkata, keputusan hari ini akan membawa kesan prospektif, yang bermaksud prinsip undang-undang diwujudkan dalam kes Indira akan diguna pakai dalam kes lain.

Dalam penghakiman itu, beliau berkata, Indira adalah seorang bukan Islam dan tiada locus standi di Mahkamah Syariah.

“Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa memperluaskan bidang kuasa sendiri bagi memilih untuk mendengar permohonan perayu.”

Katanya, kuasa semakan kehakiman penting bagi peranan perlembagaan mahkamah sivil dan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

“Ia tidak boleh dimansuh atau diubah Parlimen melalui pindaan Perlembagaan. Pemberian fungsi kehakiman kepada badan selain mahkamah adalah campur tangan dalam kuasa kehakiman dalam persekutuan,” katanya.

Zainun berkata, ia adalah bukti tidak boleh dipertikai kanak-kanak itu tidak mengucapkan 2 kalimah syahadah dan tidak hadir di depan pendaftar sebelum sijil penukaran agama dikeluarkan.

“Pengeluaran sijil walaupun tidak memenuhi syarat statutori mandatori adalah perbuatan di mana pendaftar tiada kuasa untuk berbuat demikian di bawah enakmen itu.”

Katanya, ia bertentangan kedaulatan undang-undang dan kuasa kehakiman mahkamah, jika keputusan pendaftar kebal daripada semakan kehakiman memandangkan fakta jelas menunjukkan beliau tiada bidang kuasa itu.

Zainun berkata, membenarkan seorang kanak-kanak menukar agama dengan persetujuan hanya seorang ibu atau bapa akan menimbulkan tanda tanya.

Berikut ialah turutan masa kes Indira dan Riduan berhubung penukaran agama anak mereka.

  1. 10 April 1993 – Berkahwin secara sivil.
  2. 11 Mac 2009 – Riduan memeluk Islam.
  3. 31 Mac 2009 – Meninggalkan rumah keluarga di Ipoh dengan anak perempuan bongsu, Prasana Diksa.
  4. 2 April 2009 – Riduan menukar agama 3 anaknya menggunakan sijil kelahiran mereka tanpa persetujuan dan pengetahuan Indira.
  5. 25 Julai 2013 – Mahkamah Tinggi membatalkan penukaran agama itu kerana Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa.
  6. 30 Disember 2015 – Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mempertahankan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan penukaran agama sebelah pihak kerana ia adalah isu agama, bukannya isu Perlembagaan.
  7. 19 Mei 2016 – Mahkamah Persekutuan membenarkan Indira mencabar kesahihan penukaran agama sebelah pihak anaknya.
  8. 30 November 2016 – Penghakiman ditangguhkan selepas mendengar hujah Indira, Riduan, pihak berkuasa agama Perak dan Putrajaya.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Kes Tukar Agama Sebelah Pihak: Mahkamah Sivil Ada Kuasa, Kata Hakim" yang ditulis oleh V. Anbalagan bertarikh 29 Januari 2018)