Sabtu, 14 Julai 2018

Kefasihan Bahasa Inggeris Anggota Pasukan Ini Penting Dalam Membantu Misi Penyelamatan Di Gua Thai


Misi penyelamatan gua Thai telah menarik perhatian dunia dan banyak kisah telah timbul sejak itu dari operasi yang dramatik dan berani ini. Salah satu kisahnya berkisar di sekeliling seorang ahli pasukan Wild Boars berusia 14 tahun, Adul Sam-on kerana dia telah memainkan peranan penting berkomunikasi dengan beberapa ahli selam British yang datang menyelamatkan mereka, oleh kerana kefasihannya dalam Bahasa Inggeris.


Pada hari mereka dijumpai oleh ahli-ahli selam British, Adul dilaporkan sebagai satu-satunya dalam pasukan mereka yang dapat berbahasa Inggeris, dan dia memainkan peranan dengan baik memaklumkan kepada ahli-ahli selam mengenai apa yang mereka perlukan, termasuk maklumat mengenai berapa lama mereka telah terperangkap dalam gua itu. 

Maklumat penting yang dia sampaikan itu sangat membantu pihak berkuasa merancang misi penyelamatan itu. Lebih mengkagumkan lagi, Adul sebenarnya boleh bertutur dalam lima bahasa - Inggeris, Thai, Burma, Mandarin dan Wa, iaitu bahasa yang dipertuturkan berdekatan sempadan Cina dan Myanmar. 


Adalah dilaporkan bahawa Adul telah dilahirkan di wilayah pentadbiran sendiri Wa di Myanmar, yang tidak diperakui oleh mana-mana negara di dunia termasuklah Myanmar sendiri. Itulah sebabnya kebanyakan kanak-kanak di situ tidak mempunyai taraf warga negara dengan sedikit atau tiada pendidikan serta peluang pekerjaan. 

Sebenarnya wilayah itu agak dikenali dengan pengedaran dadah dan perang gerila.


Oleh itu sewaktu dia berusia lapan tahun, ibu bapanya telah menghantarnya ke sebuah gereja Baptis Thai dan meminta pastor dan isteri di situ untuk menjaganya. Didorong oleh keinginannya untuk berjaya, dan hakikat bahawa dia adalah seorang kanak-kanak tanpa kerakyatan, Adul adalah seorang yang menunjukkan pencapaian tinggi dan sangat bersopan-santun. 

"Perkara pertama yang saya perhatikan bila saya bercakap dengannya ialah kelakuannya yang baik. Dia menunjukkan salam "wai" kepada setiap guru yang ditemuinya setiap kali," gurunya di Sekolah Ban Pa Moead memberitahu para wartawan. 

Kefasihan dalam Bahasa Inggerisnya banyak membantu dalam operasi ini, dan kelihatannya sekolah-sekolah di mana ahli-ahli pasukan Wild Boars itu bersekolah telah mengambil keputusan menggunakan iktibar dari kisah ini untuk menggalakkan pelajar-pelajar lain lebih menguasai Bahasa Inggeris mereka. 

Panji-panji yang menyatakan "Anda tidak tahu bila anda akan perlukan Bahasa Inggeris" telah dilihat di sekurang-kurangnya enam sekolah.


Kebolehan Adul bertutur dengan fasih dalam Bahasa Inggeris di sebuah negara yang kurang sepertiga daripada penduduknya memahami bahasa itu boleh dipuji. Kami ucapkan yang terbaik bagi masa depannya dan dia pasti akan maju dalam perjalanannya!

(Diterjemahkan daripada artikel World of Buzz yang bertajuk, "This Team Member's Fluent English Crucially Helped The Cave Rescue Mission" yang ditulis oleh Ling Kwan bertarikh 12 Julai 2018)