Sabtu, 7 Julai 2018

Usaha Upko Sediakan Buku Teks Pengetahuan Alkitab Berhasil

Madius (empat kanan) merakam kenangan bersama tetamu kehormat dan para pelajar

KOTA KINABALU: Usaha Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dalam menyediakan buku teks mata pelajaran Bible Knowledge (Pengetahuan Alkitab) telah menghidupkan semula subjek berkenaan yang dulunya kurang mendapat perhatian di Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, usaha itu adalah sebahagian dari pendekatan parti untuk membantu pelajar dan menggalakkan lebih ramai pelajar Kristian mengambil subjek itu.

“Kini, seramai 1,000 pelajar (Tingakatan Satu hingga Tingkatan Lima) mengambil subjek Pengetahuan Alkitab di 30 buah sekolah di Sabah.

“Empat daripada sekolahsekolah berkenaan telah menjadikan Pengetahuan Alkitab sebagai subjek wajib untuk pelajar Kristian,” katanya ketika merasmikan Bible Knowledge Quiz 2018 peringkat negeri ke-4, di Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk, pada Sabtu.

Beliau berkata, antara sekolah yang menjadikan Pengetahuan Alkitab sebagai subjek wajib adalah SM St Mary, Sandakan; SM St Peter, Telipok; SM St James, Tenghilan dan SM St Michael, Penampang.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berharap lebih banyak sekolah akan mengikuti jejak keempat-empat sekolah berkenaan.

“Saya tahu terdapat banyak cabaran dalam mempromosikan pengajaran Pengetahuan Alkitab di sekolah.

“Subjek ini diajar selepas waktu sekolah dan tidak ada elaun bagi guru yang terlibat. Mereka (guru-guru) melakukannya secara sukarela. Saya berharap pada masa akan datang isu ini juga dapat diselesaikan,” katanya.

Madius yang juga merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, mempromosikan subjek itu telah menjadi keutamaan Upko sejak bekas presiden parti itu, Tan Sri Bernard Dompok membuat permintaan agar ianya dijadikan pelajaran elektif (yang boleh dipilih) untuk SPM semasa tempohnya menjadi ahli Kabinet Persekutuan pada 2011.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa Upko akan terus berusaha supaya lebih banyak sekolah dan pelajar mengambil subjek Pengetahuan Alkitab kerana dia menganggapnya sebagai subjek yang penting.

“Di sekolah, pelajar Islam akan ke kelas Agama manakala yang lain akan belajar Pendidikan Moral. Saya percaya bahawa pengajaran Pengetahuan Alkitab di sekolah sangat penting terutama untuk pelajar Kristian,” katanya.

Hadir sama ialah Pengetua SM Lok Yuk (CF) Norah Marcus serta tetamu kehormat lain.

Madius (kiri) menerima cendera kenangan daripada Norah (tengah)

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo (Sabah) di Press Reader bertajuk, "Usaha Upko Menyediakan Buku Teks Pengetahuan Alkitab Berhasil" yang ditulis oleh Yap Siong Han bertarikh 1 Julai 2018)