Sabtu, 25 Ogos 2018

Membina Masa Depan Lebih Cerah Untuk Pelajar-Pelajar Tadika Di Pedalaman Sabah

Nelvianna sedang mengajar di Tadika Tabung Harapan di Kampung Ungkup, Pitas

NELVIANNA Masandul sedang dalam misi membawa pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti ke kawasan pedalaman Sabah bermula dengan kampung halamannya.

Benda-benda seperti kipas, alatulis dan buku merupakan perkara biasa bagi penduduk-penduduk kota, tetapi di tadika tempatnya mengajar, mereka menghadapi kesulitan membekalkan benda-benda itu untuk pelajar-pelajar mereka.

"Kami bergantung kepada kemurahan hati orang untuk menyediakan makanan di meja untuk kanak-kanak itu," kata Nelvianna dari Tadika Tabung Harapan yang terletak di Kampung Ungkup, Pitas, Sabah. 

Ianya adalah salah satu daripada 200 tadika yang diselenggarakan oleh Sidang Injil Borneo (SIB). Nelvianna berkata banyak daripada tadika-tadika itu telah terpaksa ditutup kerana kekurangan dana. 

Dia telah dipilih secara khusus pada 2017 untuk mengambil bahagian dalam Projek Transformasi Komuniti Sabah, satu usahasama di antara SIB Sabah dan Gereja Full Gospel Assembly untuk membantu menambah baik taraf pendidikan awal kanak-kanak di Sabah.

Nelvianna Masandul

"Peranan saya adalah untuk membantu mengetuai pembaharuan pendidikan awal kanak-kanak," kata Nelvianna, sambil menambah bahawa Tadika Tabung Harapan adalah tapak ujian dan apa yang berkesan akan diguna pakai di tadika-tadika SIB yang lain.

Mengajar di kawasan yang terpencil disertai dengan banyak cabaran. Pengangkutan sentiasa merupakan satu isu. Kanak-kanak itu tinggal sejauh 5 km dari tadika.

Mereka diambil dengan sebuah kereta yang ditaja oleh gereja, dan sebanyak tiga kali perjalanan diperlukan untuk membawa mereka ke tadika.

"Apabila kereta itu rosak, sekolah tidak diadakan pada hari itu," kata Nelvianna yang berasal dari suku bangsa Tombonuo dan datang dari daerah Pitas yang terletak di bahagian Kudat.

Nelvianna mengisah kembali mengenai seorang kanak-kanak yang telah berhenti datang ke tadika. Ketika dia pergi mengunjungi ke rumah kanak-kanak itu untuk mengetahui keadaannya, Nelvianna mendapati bahawa dia adalah seorang anak yatim dan bahawa kakaknya tidak mampu membayar yuran bulanan sekolah sebanyak RM25.

Tadika Tabung Harapan di Kampung Ungkup, Pitas

"Saya menghubungi kawan-kawan saya di Kota Kinabalu yang rela menajanya sehingga dia menamatkan pendidikan tadikanya," katanya sambil menambah bahawa kanak-kanak itu sekarang sudah di Tahun 1.

Tadika Tabung Harapan dibuka kepada kanak-kanak dari Kampung Bongkol, Kampung Ungkup dan Kampung Gumpa.

Walaupun terdapat tadika-tadika kerajaan di kawasan persekitarannya, bilangannya adalah tidak mencukupi untuk kanak-kanak di kawasan itu.

Nelvianna berkongsi bahawa masih ada kekurangan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.

"Kami mula melihat lebih banyak kesedaran, tetapi kami juga bimbang mengenai keupayaan memenuhi keperluan kerana kita hanya dapat menampung maksima 25 kanak-kanak," tambahnya.

Nelvianna, yang adalah pemegang diploma pendidikan awal kanak-kanak dari Dika College di Puchong, tidak pernah menyesal kembali ke kampung halaman.

"Saya tahu betapa susahnya untuk memperolehi pendidikan, dan saya akan melakukan sedaya upaya saya untuk membantu kanak-kanak ini mencapai hidup yang lebih baik," kata Nelvianna yang mengongsikan perjalanan peribadinya sebagai seorang pendidik di Simposium Pendidikan Awal Kanak-Kanak 2018 di Shah Alam.

(Diterjemahkan daripada artikel The Star bertajuk, "Building A Brighter Future For Rural Preschoolers" bertarikh 22 Ogos 2018)