Rabu, 5 September 2018

11 Cara Khusus Anda Boleh Mendoakan Pastor Anda


Kita semua perlukan doa.

Kita semua perlu berdoa.

Pastor-pastor secara khusus perlukan doa. Musuh kita akan lakukan apa saja untuk memusnahkan pelayanan pastor-pastor anda. Bolehkah anda berdoa untuk pastor-pastor anda dalam perkara-perkara yang khusus ini?

1. Doakan hikmat bagi pastor anda. Pastor-pastor sering berhadapan dengan keadaan dan keputusan yang benar-benar mencabar. Mereka memerlukan hikmat Tuhan untuk menjadi pemimpin gereja sesuai panggilan Tuhan bagi mereka.

2. Doakan untuk perlindungan pastor anda. Pastor anda akan diserang dengan begitu banyak cara. Pastor anda akan menghadapi godaan demi godaan. Musuh kita ingin memusnahkan. Musuh kita ingin pelayanan pastor anda dimusnahkan.

3. Doakan untuk keluarga pastor anda. Mereka juga diserang, dikritik dan kadang-kadang dibuli. Mereka sering rasa terpinggir dan bersendirian. Mereka perlukan dorongan. Mereka perlukan doa. 

4. Doakan agar pastor anda dapat bertahan di tengah pengkritik dan pembuli. Sebilangan daripada pengkritik dan pembuli adalah agresif secara terbuka. Yang lain adalah agresif secara pasif. Semuanya menyakitkan. Dan semua pastor menghadapi ini. 

5. Doakan menentang kekecewaan yang datang dari perbandingan. Sebelum minggu ini berakhir, seorang anggota gereja kemungkinan akan memberitahu pastor anda agar mendengar siaran khutbah daripada pastor lain "untuk belajar bagaimana sebenarnya berkhutbah" (kata-kata sebenar yang telah diucapkan kepada seorang pastor). Pastor-pastor lain akan mendengar komen-komen mengenai gereja lain yang hebat di kawasan itu. Mesejnya jelas dan menyakitkan: Anda tidak cukup bagus, pastor. 

6. Doakan menentang kekecewaan apabila anggota-anggota meninggalkan gereja. Sukar untuk pastor anda tidak merasa bertanggungjawab secara peribadi. Dan benar-benar sukar apabila anggota-anggota yang pergi itu memberitahu pastor anda bahawa dia harus rasa bertanggungjawab secara peribadi. 

7. Doakan menentang kekecewaan apabila gereja mengalami penyusutan. Dua pertiga daripada sidang-sidang gereja di Amerika Utara sedang mengalami penyusustan. Ini adalah realiti yang menyakitkan bagi pastor anda. Ini adalah realiti yang mengecewakan pastor anda. 

8. Doakan menentang kekecewaan daripada ketidaksatuan. "Kalaulah saya boleh dapatkan kembali setiap minit yang saya luangkan untuk menjadi pendamai di kalangan anggota-anggota." Itu adalah kata-kata sebenar seorang pastor dari Church Answers yang saya layani. Musuh kita sangat suka apabila anggota-anggota gereja berkelahi. 

9. Doakan untuk kebolehan membezakan antara "Ya" dan "Tidak." Pastor-pastor ditarik ke banyak arah berbeza. Mereka diharapkan menyertai begitu banyak pertemuan, begitu banyak acara sosial, dan begitu banyak situasi penggembalaan. Mereka dianggao seolah-oleh maha hadir. Doakan agar mereka akan lebih kerap mengatakan "tidak". Doakan keluarga mereka yang seringkali mendapat baki yang sedikit daripada masa mereka.  

10. Doakan mengenai tekanan kewangan. Ramai pastor mendapat gaji yang kurang. Mereka bergelut secara harian dengan cabaran kewangan. Kata-kata sebenar daripada seorang diaken, "Saya suka agar pastor kami dibayar kurang. Itu membuatkannya rendah hati dan bersandar pada Tuhan." Diaken itu pula menikmati hidup senang-lenang daripada kekayaan yang diwarisinya.

11. Doakan untuk kesempatan-kesempatan Injil. Pastor-pastor merasa bersemangat apabila mereka mendapat kesempatan untuk mengongsikan Injil. Malangnya, ramai daripada mereka terlalu sibuk untuk mengambil waktu melakukannya. Tuntutan daripada gereja terlalu besar. Pastor-pastor ini menjalani kehidupan dengan keutamaan yang tunggang terbalik dan melalui hari-hari yang mengecewakan. 

Adakah kita benar-benar mahukan gereja-gereja yang sihat? Adakah kita benar-benar mahu mengalahkan Musuh kita dalam pertarungan-pertarungan ini? 

Doakan untuk pastor anda. 

Mulakan hari ini. Ambillah lima minit setiap hari untuk berdoa bagi pastor anda.

Itu mungkin sumbangan terbesar yang anda boleh berikan kepada gereja anda.

(Diterjemahkan daripada artikel Thom S. Rainer bertajuk, "Eleven Specific Ways To Pray For Your Pastor" bertarikh 22 Januari 2018)