Khamis, 20 September 2018

Hillsong Akan Bentuk Denominasi Sendiri

Pastor Brian Houston dan Hillsong Church

Hillsong telah mengundur diri daripada denominasinya untuk membentuk denominasinya sendiri. Dalam surat kepada Australian Christian Churches (ACC), Pastor Brian Houston merujuk kepada "jejak langkah" Hillsong yang semakin global sebagai sebab gereja multi-nasional itu ingin meninggalkan denominasi itu.

"Sambil Hillsong Church terus bertumbuh, kami tidak lagi melihat diri kami sebagai sebuah gereja Australia dengan jejak global, tetapi sebaliknya sebagai sebuah gereja Global dengan asas di Australia," begitu ditulis oleh Houston dalam surat itu.

Sejak permulaannya pada 1983, Hillsong telah berada di bawah naungan ACC, iaitu cawangan Australia untuk denominasi Assemblies of God. Houston sendiri telah memegang kelayakan sebagai pastor melalui ACC selama hampir 40 tahun sekarang. 

Keputusan untuk meninggalkan denominasi itu diambil selepas "perbincangan yang disertai doa" selama dua tahun oleh majlis-majlis lembaga Hillsong Australia dan global.

Sebab Hillsong Church Meninggalkan ACC

Dalam surat kepada ACC, Houston menjelaskan sebab-sebab mengapa Hillsong ingin meninggalkan denominasi itu.

Pertamanya, dia menyenaraikan jangkauan global Hillsong, dengan menyebut fakta-fakta berikut:

Dua pertiga orang yang menghadiri gereja-gereja Hillsong tinggal di negara-negara di luar Australia;
Gereja itu mempunyai staf di 24 negara;
123 kampus dan lokasi;
263 kebaktian gereja yang berbeza pada setiap hujung minggu.

Houston menggambarkan Hillsong sebagai "Satu Rumah, dengan banyak bilik."

Dengan jangkauan global seperti itu, yang masih terus bertumbuh, Houston menulis:

"Telah menjadi jelas kepada kami bahawa kami perlu dapat memberikan kelayakan kepada pastor-pastor kami sendiri dan menstruktur semula gereja kami dengan cara yang memperbolehkan kami memberi perhatian rapi dan munasabah kepada pentadbiran, risiko, kesihatan gereja, keselamatan gereja dan banyak lagi dasar yang penting untuk kemajuan masa hadapan Hillsong, secara global."

Houston menulis bahawa gereja itu telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mendaftarkan Hillsong dengan Jabatan Kelahiran, Kematian dan Perkahwinan Australia supaya mereka kini boleh memberikan kelayakan kepada pastor-pastor "dengan kuasa kami sendiri."

Houston menjelaskan sebab mengapa dia ingin Hillsong memiliki kebolehan untuk melayakkan pastor-pastor melalui satu situasi andaian.

"Pemberian kuasa ini akan meredakan isu-isu yang mungkin timbul jika, sebagai contohnya, suatu persoalan timbul mengenai kelayakan seseorang pastor muda-mudi di salah satu daripada kampus kami di Eropah. ACC Australia tidak boleh diandaikan mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menangani isu itu atau pun mengenal siapa orang itu, apalagi mempunyai sumber-sumber untuk menangani isu itu dengan tepat secara peribadi atau pastoral."

Memandang ke hadapan, Houston ingin agar Hillsong terus menjadi sebahagian daripada ACC, tetapi dalam peranan yang berbeza. Dia memberitahu bahawa gereja itu sedang berbincang dengan Exco Kebangsaan ACC untuk mendefinisikan peranan ini sebagai "gereja bersekutu" (associate church). Houston ingin Hillsong "terus menyandar kepada ACC" dan menyokong inisiatif seperti konferensi dan misi denominasi itu, serta Alphacrucis, sebuah sekolah Alkitab di Sydney, Australia yang bersekutu dengan denominasi itu.

Kebaktian Hillsong Church di Belasco Theatre, Los Angeles

Wayne Alcorn, presiden ACC bersetuju bahawa "perubahan dalam hubungan" ini di antara ACC dan Hillsong bukanlah disebabkan ketidaksepakatan. "Biarlah saya tekankan bahawa perhubungan di antara Hillsong Church dan ACC adalah kuat. Perubahan dalam hubungan adalah disebabkan oleh pertumbuhan global Hillsong, dan bukan kerana sebarang ketidaksepakatan," katanya. Tambahan lagi, dia menyifatkan perubahan dalam hubungan itu "sebagai seorang anak kecil yang telah menjadi dewasa dan kini mempunyai kehidupan yang lebih besar di luar kediaman keluarga."

Hillsong juga mempunyai beberapa gereja di Amerika Syarikat. Antara lokasinya termasuk Los Angeles, San Francisco, New York City dan Phoenix.

(Diterjemah daripada artikel Church Leaders yang bertajuk, "Hillsong Church Has Outgrown Its Denomination" yang ditulis oleh Megan Briggs bertarikh 19 September 2018)