Jumaat, 30 November 2018

Agensi Misi Perbetulkan Beberapa Tanggapan Salah Mengenai Pelayanan Misi John Chau


Saya merasa sedih minggu ini oleh jumlah kritikan yang ditujukan terhadap misi John Chau kepada orang-orang Sentinel, bukannya kerana misinya tidak boleh dikritik tetapi kerana pengkritik-pengkritik nampaknya beroperasi berdasarkan tanggapan dan bukan fakta. Soalan saya adalah bagaimana begitu ramai orang merasakan mereka memiliki maklumat yang secukupnya untuk memberikan pandangan mereka secara muktamad mengenai strategi yang digunakan oleh John Chau. Kemungkinannya apa yang telah kita baca dalam laporan akhbar adalah segalanya yang boleh diketahui mengenai strateginya. Atau kemungkinannya ada lebih lagi dalam kisahnya yang kita belum dengar lagi. 

Nampaknya ada banyak lagi yang kita belum dengar. Dalam satu temubual dengan Christianity Today, pengarah agensi misi kepada John Chau, telah memberi agak banyak maklumat yang menunjukkan bahawa ramai daripada pengkritik-pengkritik Chau telah membuat tanggapan terlalu cepat. Mary Ho adalah pemimpin eksekutif antarabangsa kumpulan misionari All Nations yang telah mengutus John Chau kepada orang-orang Sentinel. Di antaranya, dia telah menjelaskan beberapa persoalan yang telah timbul mengenai misi Chau baru-baru ini:

Adakah John Chau seorang peminat pengembaraan yang bertindak tanpa kemahiran dan pengalaman yang diperlukan? Mary Ho berkata bahawa John Chau telah rindu untuk menjangkau orang-orang Sentinel sejak berusia 18 tahun. Setelah menamatkan pengajian kolej pada 2014, dia telah mengarahkan seluruh hidupnya untuk menyiapkan diri untuk misi ini. Ini bukanlah suatu keputusan mendadak tetapi telah diambil selepas banyak perancangan dan persiapan, termasuk diutus oleh kumpulan misionari All Nations. 

Adakah John Chau telah dilatih dan dipersiapkan dengan secukupnya? Ho berkata Chau telah bersiap selama bertahun-tahun untuk menjangkau orang-orang Sentinel, dan telah melakukan persiapan itu lama sebelum menyertai kumpulan All Nations itu. Chau telah menerima latihan daripada SIL dalam kajian budaya masyarakat dan linguistik (SIL diiktiraf mempunyai latihan terbaik untuk misionari linguistik). Ho percaya Chau sudah cukup bersedia, dan penemubual CT memperakui perkara itu. 

Adakah dia mempunyai strategi yang lebih besar selain muncul di pantai dan menjeritkan beberapa frasa kata bahasa Inggeris? Ya. Pertemuan pertama John Chau dengan orang-orang Sentinel adalah dengan harapan membina hubungan jangka panjang dengan mereka supaya dia dapat mempelajari bahasa mereka dan membawa Injil kepada mereka. Seseorang perlu melakukan pertemuan pertama itu, dan Chau telah berdoa untuk menjadi orang yang melakukannya dengan harapan menjalin hubungan yang lebih jangka panjang dengan mereka. Chau bersedia untuk berada di situ di kalangan orang-orang Sentinel selama bertahun-tahun. 

Bagaimana dengan risiko membawa penyakit berjangkit kepada suku kaum yang tidak terdedah ini? John Chau telah menyiapkan diri untuk ini juga. Chau telah menerima tiga belas suntikan imunisasi terlebih awal sebelum kunjungan itu. Dia juga menjalani kawalan kuarantin diri untuk suatu tempoh sebelum membuat kunjungan kepada orang-orang Sentinel. Dia telah lakukan segala yang dia dapat untuk mengurangkan risiko penyakit, walau pun keadaan perubatan yang tepat mengenai orang-orang Sentinel belum lagi diketahui. Chau juga telah menerima latihan perubatan dalam persiapan untuk membuat pertemuan dengan orang-orang Sentinel. 

Kenapakah Chau pergi seorang diri? Chau telah diutus oleh sebuah organisasi misi bernama All Nations, dan bukan di ladang misi atas daya usahanya sendiri. All Nations kebiasaannya tidak menghantar misionari seorang diri, dan Chau juga mempunyai rakan-rakan yang rela pergi bersamanya untuk membuat pertemuan pertama dengan orang-orang Sentinel. Chau menyedari bahaya yang bakal dihadapinya dan tidak ingin membabitkan rakan-rakannya dalam bahaya itu. Untuk sebab itu, pada akhirnya, dia memilih untuk pergi seorang diri. 

Perbualan dengan Mary Ho ini harus didengar oleh sesiapa pun yang ingin membuat penilaian ke atas pelayanan misi John Chau. Saya ingin ulangi sekali lagi bahawa strategi misi haruslah terbuka untuk dibahaskan dan dibincang semula. Yesus sendiri mengajar kita supaya cerdik seperti ular dan tulus seperti merpati di tengah-tengah misi kita (Matius 10:16). Kita harus belajar daripada kesilapan dan menjadi cerdik. Saya tidak ingin menutup perbincangan seperti ini.

Walau bagaimanapun, temubual ini telah menunjukkan banyak kritikan terhadap John Chau adalah terlalu cepat dan tidak tepat. Saya bersetuju dengan Ed Stetzer, yang telah menulis mengenai temubual CT itu lebih awal hari ini di The Washington Post

"Laporan-laporan terbaru ini telah mencabar gambaran ringkas seorang pengembara fanatik yang rela merisikokan nyawa suku kaum di sebuah pulau terpencil.

Tentu sekali semua ini memerlukan lebih banyak siasatan dan analisa. Masih terdapat lagi persoalan perubatan dan perundangan, tetapi maklumat baru ini mengfokuskan perbahasan kita lebih kepada soal matlamat utama penginjilan dan kurang kepada persiapan melakukannya."

Dengarlah sendiri temubual itu di bawah ini:


(Diterjemahkan daripada artikel Denny Burk bertajuk, "Mission Agency Clears Away Some False Assumptions About John Chau's Missionary Work" bertarikh 28 November 2018)