Sabtu, 17 November 2018

Komitmen Sohyang Pada Imannya Dalam Industri Hiburan


Dunia penyanyi tegar lagu Injil, Sohyang dulunya hanya berkisar di sekeliling dua perkara: Yesus dan gereja.

Kemunculannya di TV adalah loncatan besar bagi penyanyi itu, yang telah memulakan karir muziknya dalam sebuah band kecil Injil yang dikendalikan keluarga pada usia awal dua puluhannya.  

Lebih kurang dua puluh tahun kemudiannya, dia menjadi tajuk berita untuk persembahan-persembahan yang cemerlang dalam pertandingan muzik mingguan di rangkaian MBC, "King of Masked Singer," di mana dia menyembunyikan identitinya dengan topeng dan memenangi enam kali berturut-turut sehinggalah dia kalah kepada seorang peserta lain pada Ahad lalu. Dia telah mencatit rekod dengan bilangan tertinggi kemenangan berturut-turut oleh seorang penyanyi wanita dalam program itu. 

Sohyang bergambar ketika ditemubual oleh The Korea Herald

Bagaimanapun, dengan asal-usul Kristiannya, penyanyi itu mengakui ketika mengalami industri hiburan Korea dan diberi tumpuan media telah membuatnya memikirkan samada semua kemashyuran dan reputasi itu adalah apa yang dia benar-benar inginkan. 

"Secara jujur, setiap kali pertandingan "King of Masked Singer" begitu membawa stres dan membebankan sehingga saya selalu menangis setiap waktu," kata Sohyang dalam temubual baru-baru ini dengan The Korea Herald di Incheon.

"Satu perkara yang saya sedari daripada pengalaman itu adalah saya tidak ingin berkompromi iman keagamaan saya untuk mengejar kemashyuran atau reputasi, yang sangat dinilai dalam industri hiburan. Saya hanya berharap muzik saya dapat memberi penghiburan kepada orang dan menyembuhkan hati mereka yang terluka, dan itulah juga yang Yesus ingin saya lakukan.

Lagu yang telah dipersembahkannya Ahad lalu juga sejajar dengan nilai-nilainya. Walaupun menyanyikan lagu hip hop rapper BewhY "Day Day" adalah cabaran besar kepada vokalis penuh perasaan ini, Sohyang berkata dia telah memilih lagu itu kerana dia berfikir bahawa lirik lagu itu mengandungi mesej-mesej keagamaan. Dia tidak menyesal, walaupun lagu itu tidak memenuhi cita rasa peminat-peminat suara lima oktafnya, yang membawa kepadanya disingkirkan daripada tempat teratas program itu.

Sohyang mengambil bahagian dalam "King of Masked Singer"

Perjalanannya sulit, tetapi Sohyang mengingat kembali bagaimana dia jauh lebih yakin dan komited kepada Tuhan semasa membuat persembahan dalam "King of Masked Singer" berbanding dengan ketika dia bertanding dalam "I Am A Singer" dan dalam musim kedua "Immortal Songs."

"Seorang daripada anggota jemputan 'King of Masked Singer' memberitahu saya ianya seakan-akan saya sedang menyanyi dengan suatu peribadi yang berkuasa yang tidak kelihatan sewaktu saya membuat persembahan," kata Sohyang.

Manakala Sohyang telah menjadi seorang penyanyi Injil yang terkenal dalam komuniti Kristian sejak kemunculan sulungnya pada 1996, ianya hanyalah sewaktu dia muncul dalam program MBC "I Am A Singer" pada 2012, namanya baru dikenali oleh masyarakat umum yang lebih luas. Rancangan itu menjadikannya mashyur dan memberikannya julukan "Maria Carey Korea."

Tetapi sebagai seorang penyanyi yang menguruskan diri sendiri yang tidak berasal daripada agensi hiburan, dia mula memiliki kebiasaan membandingkan diri dengan penyanyi-penyanyi nama besar dalam program itu. Sebagai seorang Kristian, dia juga lebih berhati-hati dengan perkataannya, kelakuannya dan pakaiannya, dan semuanya itu membuatnya lebih merasa rendah diri lagi.

Bagaimanapun, menerusi program itu, dia juga belajar menerima orang-orang lain dan tidak menghakimi mereka mengikut standard yang dipegangnya.


"Sebelum mengambil bahagian dalam 'I Am A Singer,' saya seorang Kristian yang konservatif dan degil yang enggan melangkah keluar daripada komuniti saya. Misalnya, saya tidak pernah memahami orang-orang yang meminum alkohol kerana itu adalah bertentangan dengan pegangan saya," kata Sohyang.

"Pada suatu hari, ketika membuat persembahan dalam suatu rancangan, saya ternampak seorang wanita di kalangan penonton sedang menangis. Itulah detiknya saya menyedari sebab sebenar saya menyanyi, untuk membawa penghiburan kepada orang tanpa mengira latar belakang mereka."

Begitupun, pengalaman "I Am A Singer" itu telah membuatnya terbenam dalam perasaan kurang yakin diri. Dia telah berkunjung ke New York selama sebulan dengan harapan menguasai semula hidupnya dan itulah waktunya dia menerima mesej daripada suatu suara syurgawi yang memberitahunya untuk mengambil langkah yang seterusnya. Sohyang berkata suara itu mengarahkannya untuk mengambil bahagian dalam "King of Masked Singer," di mana dia ingin mencabar dirinya dan berhubung kembali dengan orang ramai melalui muziknya.



Ditanya mengenai rancangan masa hadapannya, Sohyang mengakui bahawa dia mungkin bercuti rehat daripada kemunculan di rancangan-rancangan TV, menguatkan diri, atau mungkin pergi lawatan misi. Manakala dia ingin meneruskan karir muziknya, penyanyi itu berkata dia akan mengfokus kepada membawa penghiburan kepada orang melalui suaranya, bukannya untuk mendapat kemashyuran dan tumpuan awam melaluinya seperti yang pernah dilakukannya dahulu.

"Setelah segala yang saya alami, saya tidak fikir saya begitu cocok dengan industri hiburan Korea. Saya akan teruskan dengan apa yang saya dapat lakukan, iaitu membawa kebahagiaan kepada orang melalui muzik saya," katanya.

"Saya juga merancang untuk membuat album solo saya. Tetapi kali ini saya lebih suka tidak gunakan suara nada tinggi saya. Orang harus tahu, menjerit dengan kuat juga membosankan bagi saya," katanya.

(Diterjemahkan daripada artikel The Korea Herald bertajuk, "Gospel Singer Sohyang of 'King of Masked Singer' Breaks Out of Shell" yang ditulis oleh Hong Dam-young bertarikh 3 Julai 2017)