Jumaat, 23 November 2018

Nota Terakhir John Chau Sebelum Terbunuh Di Pulau Sentinel


Dunia dikejutkan semalam dengan berita seorang mubaligh muda berusia 26 tahun, John Chau yang dibunuh oleh suku kaum terpencil di Pulau Sentinel di Kepulauan Andaman beberapa hari lalu. Berikut adalah beberapa nota terakhir oleh John Chau sebelum kematiannya.

Dalam jurnal-jurnal Encik Chau dari hari-hair terakhirnya di Pulau Sentinel Utara, menurut Washington Post, dia telah menyatakan dengan jelas betapa dia menyedari risiko maut yang dihadapinya untuk mengunjungi orang-orang Sentinel. 

"Saya tidak ingin mati!" begitu ditulisnya. "Adakah lebih bijak untuk meninggalkan mereka dan membiarkan orang lain meneruskannya? Tidak, saya tidak fikir begitu. Saya masih boleh balik ke Amerika Syarikat sebab ianya hampir pasti maut untuk terus tinggal di sini.

"Mengapakah tempat yang indah ini perlu ada begitu banyak kematian di sini?" dia menulis di tempat lain. "Saya berharap ini bukan antara nota terakhir saya tetapi jika ianya begitu, 'segala kemuliaan bagi Tuhan'."


Suratnya kepada ibu bapanya bermula demikian: "Anda semua mungkin fikir bahawa saya gila dalam semua ini tetapi saya fikir ianya berbaloi untuk mengkhabarkan Yesus kepada orang-orang ini.

"Tolong jangan marah terhadap mereka atau terhadap Tuhan jika saya terbunuh." Dia mengakhiri surat itu dengan "Soli Deo gloria" - "kemuliaan hanya bagi Tuhan".

Encik Chau telah ingin sejak sekolah menengah lagi untuk berkongsi mengenai Yesus dengan orang-orang pribumi itu, kata Matt Staver, pengasas dan pengerusi Covenant Journey, sebuah pertubuhan yang membawa pelajar-pelajar kolej mengikuti jelajah di Israel untuk mengukuhkan iman mereka. Encik Chau telah mengikuti program itu pada 2015. 

Staver memberitahu Associated Press: "Dia tidak pergi ke situ untuk kembara. Saya tiada keraguan langsung dia pergi untuk membawa Injil Yesus kepada mereka."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Independent bertarikh 22 Nov 2018)

------------------

Mungkin ramai yang terkejut dan tertanya-tanya mengapakah anak muda ini harus pergi dan terkorban dalam usahanya membawa Injil kepada suku kaum itu. Ada yang menganggap tindakannya kurang bijak, ada pula yang menganggapnya berani. Walau apa pun  pandangan anda mengenainya, yang pasti ialah anak muda ini telah didorong oleh kasih Tuhan yang besar untuk suku kaum terpencil di Pulau Sentinel Utara itu.

"Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal." (Yohanes 3:16)