Khamis, 15 November 2018

Saksi Baru Diarah Hadir Untuk Siasatan Ke Atas Kehilangan Pastor Raymond


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memberi arahan untuk hadir kepada seorang saksi yang baru dan terakhir untuk siasatan awam ke atas kehilangan Pastor Raymond Koh apabila prosiding diteruskan pada 7 Disember.

Timbalan setiausaha Kumpulan Aduan dan Pemantauan, Simon Karunagaram berkata saksi itu akan diarah hadir bersama dengan pegawai Cawangan Khas, Awaluddin Jalid yang telah dilaporkan sedang mengambil cuti sakit sehingga hujung bulan. 

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan identiti saksi itu.

Dia berkata bahawa panel siasatan awam itu telah menimbangkan samada untuk memberi arahan sapina kepada saksi terakhir itu selepas satu mesyuarat tertutup hari ini.

"Jika semua berjalan baik, siasatan ke atas kes Koh akan ditutup," dia berkata kepada para wartawan selepas mesyuarat itu.

Simon berkata bahawa panel itu juga telah membuat keputusan menutup siasatan ke atas aktivis Perlis, Amri Che Mat, yang telah berakhir pada 31 Oktober tanpa kesimpulan di mana dia berada. Amri dipercayai telah diculik berdekatan rumahnya di Kangar pada 24 November 2016.

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa kesnya itu boleh dibuka semula jika muncul saksi-saksi yang baru.

Ketika ditanya mengenai Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu, yang juga telah hilang, Simon berkata kes itu juga akan dibincang pada 7 Disember.

"Tetapi mereka belum lagi menetapkan tarikh untuk memulakan siasatan kes," tambahnya.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "New Witness To Be Summoned For Inquiry Into Pastor's Disappearance" yang ditulis oleh Soo Wern Jun bertarikh 15 November 2018)