Saya sering bertemu orang yang ingin memulakan saat teduh harian, tetapi tidak pasti bagaimana melakukannya. Ianya tidak sebegitu rumit seperti yang kita fikirkan. Perkara yang paling utama adalah melakukan sesuatu, tetapi seandainya anda adalah salah seorang yang ingin melakukannya tetapi tidak pasti bagaimana...
Berikut adalah 5 langkah mudah untuk memulakan saat teduh harian:
Tempat - Pilih satu tempat yang khusus di mana anda akan pergi setiap hari untuk saat teduh anda. Tentu sekali ini lebih sukar jika anda selalu merantau, tetapi jika anda dapat menjadikan ini satu rutin maka lebih baik lagi. Tempat itu seharusnya paling sunyi dan kurang gangguan, dan akan dengan cepat menjadi sangat selesa bagi anda.
Menjadualkan Waktu - Pilihlah sejumlah masa yang sewajarnya dan masukkanlah itu dalam jadual anda. Jika anda menggunakan diari elektronik seperti saya, anda boleh memasangnya untuk memperingatkan anda akan temujanji ini setiap hari. Mulakan dengan 15 minit, atau mungkin juga 10. Yang paling utama pada peringkat ini adalah melakukannya secara konsisten, oleh itu pastikan anda tidak membebankan diri anda dengan sesuatu yang anda tidak akan lakukan. Mungkin pada mulanya, ianya kelihatan seperti suatu pengorbanan, tetapi terus tumpukan kepada matlamat anda. Anda akan perlukan ini. Sambil anda mempraktikkan disiplin, dalam sedikit waktu anda akan lebih mudah menambahkan masa yang diluangkan.
Format - Buat keputusan secara umum bagaimanakah anda akan menstrukturkan saat teduh anda. Anda boleh tanya pertamanya apakah yang anda ingin capai dan rancangkan format anda berdasarkan itu. Jika keintiman dengan Tuhan melalui doa adalah matlamat anda, anda tentu sekali ingin memilih meluangkan lebih waktu untuk doa. Jika pengetahuan Alkitab adalah matlamat anda, anda mungkin ingin memilih melakukan pengkajian Alkitab. Anda boleh mengubah formatnya dari masa ke masa dan mengadakan kombinasi daripada setiap satu.
Aktiviti - Buat keputusan apakah yang anda akan lakukan secara khusus dengan masa anda. Adakah anda akan mengadakan pengkajian Alkitab atau cuma membaca Alkitab dan berdoa? Jika masa anda sepanjang 15 minit, umpamanya, anda boleh gunakan 6 minit untuk membaca Alkitab; 3 minit bercakap dengan Tuhan; 2 minit berdiam, dan meminta Tuhan berbicara dengan anda; dan 4 minit mencatitkan apa yang ada dalam fikiran anda pada waktu itu.
Jika anda memilih struktur pengkajian Alkitab, anda akan perlu meluangkan lebih banyak waktu, tetapi sekali lagi, kuncinya adalah anda membuat keputusan sebelum anda bermula apakah yang anda akan lakukan dalam masa itu. Matlamatnya di sini bukanlah untuk melakukan secara automatik atau menepati masa, tetapi untuk menyediakan suatu struktur, yang akan membawa keberhasilan dalam membina hubungan anda dengan Tuhan. Jangan khuatir mengenai aktiviti apakah yang anda lakukan pada peringkat ini, yang penting lakukan saja sesuatu.
Disiplin - Buat komitmen melakukan sesuatu secara konsisten selama sekurang-kurangnya 30 hari. Setiap hari... tanpa pengecuaian... lakukannya... samada anda "rasakannya" atau tidak. Jika anda terlepas masa yang tepat, gantikan dengan waktu yang kemudiannya pada hari itu. Sekali lagi ini memerlukan pengorbanan. Amalan baik dan gaya hidup dibentuk dengan cara begini dan anda akan perlukan disiplin ini, sebab sebaik saja anda cuba melakukan ini, berpuluh-puluh halangan akan merintangi jalan anda.
Saya sedar bahawa "mudah" mungkin bukan perkataan paling sesuai untuk artikel ini, tetapi saya ingin juga anda membacanya. Mengamalkan ini dalam jadual harian anda tidaklah mudah. Tidak ada sesuatu pun yang bernilai itu datang dengan mudah. Matlamat utamanya bagi kita, termasuk pastor-pastor, adalah untuk mendisiplinkan diri untuk melakukan sesuatu setiap hari. Selang waktu, ianya menjadi amalan biasa yang mudah diulangi. Tambah baiknya lagi, ianya akan dengan cepat menjadi waktu harian anda yang terbaik dan paling berhasil.
Bantulah pembaca-pembaca yang lain. Apakah tip yang anda boleh berikan? Bilakan anda mengadakan saat teduh harian anda? Apakah format yang anda gunakan?
(Diterjemahkan daripada artikel Bible Study Tools bertajuk, "How To Begin A Daily Quiet Time In 5 Easy Steps" yang ditulis oleh Ron Edmondson)
(Diterjemahkan daripada artikel Bible Study Tools bertajuk, "How To Begin A Daily Quiet Time In 5 Easy Steps" yang ditulis oleh Ron Edmondson)