Sultan Muhamad V, Yang di-Pertuan Agong ke-15 |
PETALING JAYA: Istana Negara mengumumkan Sultan Kelantan,
Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, berkuat
kuasa hari ini.
Peletakan jawatan itu pertama kali berlaku dalam sejarah
negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab
Aziz berkata peletakan jawatan itu selaras Perkara 32(3) Perlembagaan
Persekutuan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memaklumkan sebab Sultan
Muhammad V melepaskan jawatan berkenaan.
“Baginda telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada
raja-raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada setiausaha Majlis Raja-raja,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong,
baginda telah berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku ketua negara,
berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan
payung penyatuan di kalangan rakyat.”
Katanya, baginda bersedia pulang ke Kelantan untuk bersama
kerajaan negeri dan rakyatnya terus membangunkan negeri itu.
Beliau berkata, Sultan Muhammad V mengucapkan terima kasih
kepada raja-raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15,
selain perdana menteri dan kerajaan yang memberi kerjasama dalam mentadbir
negara.
“Kepada rakyat Malaysia, baginda bertitah supaya rakyat
Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat
dalam memikul tanggungjawab terhadap negara berdaulat ini supaya Malaysia terus
dalam keadaan aman dan harmoni.”
Baru-baru ini, Sultan Muhammad V yang ditabalkan sebagai
Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017, dilaporkan mengambil cuti
selama 2 bulan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang merupakan Timbalan
Yang di-Pertuan Agong, menjalankan tugas sebagai Agong sepanjang ketiadaan
Sultan Muhammad V, sebelum menamatkan tugas itu pada 31 Disember lalu.
Pemilihan Agong dilakukan secara bergilir
setiap 5 tahun.
Sultan Muhammad V menggantikan Almarhum
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang
di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember 2016.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Sultan Kelantan Letak Jawatan Sebagai Agong" bertarikh 6 Januari 2019)