Sabtu, 5 Januari 2019

Ayahnya Mengidap Kanser, Adrianna Eva Jadi Tutor Sambilan



KUALA LUMPUR: Ketika Adrianna Eva Alfred Tais, 18, menunjukkan kepada ibunya yang kisahnya menjadi tular, wanita itu berfikir anak gadisnya itu mahu meminta derma daripada orang ramai.

Selepas dijelaskan, barulah ibunya yang juga guru faham perkara sebenar yang Eva mahu menjadi tutor sambilan demi meringankan beban keluarga kerana bapanya menghidap barah tahap empat.

Ketika dihubungi, kata Eva, pada mulanya, ibu bapanya kurang bersetuju dengan hasratnya itu.

Selepas memberitahu yang dia enggan membebankan ibunya dengan masalah kewangan selain mahu berusaha mencari wang sendiri untuk persediaan menyambung pengajian selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti, barulah mereka bersetuju.


Eva adalah calon pelajar cemerlang SPM 2018 dan mencuri tumpuan netizen apabila postingnya yang ingin menjadi tutor sambilan tular.

Dia menawarkan diri untuk mengadakan kelas tuisyen peribadi pada kadar serendah RM20 sejam kepada yang berminat.

“Biarlah ibu menggunakan sumber kewangan yang ada bagi merawat penyakit bapa saya,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Ketika ini Eva berada di Sabah kerana bapanya sedang menjalani rawatan di sana.

“Keadaan bapa semakin baik dan saya akan balik ke Kuala Lumpur minggu depan,” katanya.

Mereka sekeluarga menetap di Putra Perdana.


Menurut Eva, dia yang bersekolah di Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Taksiran Tiga (PT3) dan melayakkannya ke aliran sains tetapi dia lebih berminat dengan sastera.

“Orang selalu anggap aliran sastera adalah ‘kelas belakang’ tetapi saya tak kisah. Ketika berada di tingkatan empat dan lima, guru kelas minta saya mengajar rakan-rakan sekelas.

“Daripada situlah saya mendapat idea untuk menjadikan nota pelajaran sebagai pendapatan sampingan selepas mendapat permintaan daripada pelajar junior di sekolah kerana ramai yang tertarik dengan nota pelajaran yang saya buat kerana ia mudah difahami.

“Ada yang minta saya jual, tetapi saya terpaksa tolak kerana saya sendiri memerlukannya. Jadi, selepas habis sekolah, saya terfikir kenapa tidak saya jadikan ia sebagai pendapatan sampingan,” katanya.

Jelas Eva, dia menjual nota itu pada harga RM2 hingga RM5 bagi dua muka surat penuh yang dihantar kepada pelajar menerusi kiriman pos.

“Saya tidak ada komputer peribadi atau komputer riba, jadi saya terpaksa mengeposnya. Nota itu juga di tulis tangan,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi peguam atau wartawan.

Adrianna Eva memenangi juara syarahan peringkat Selangor

Eva berkata, sejak postingnya tular, dia kini dihujani dengan puluhan direct message (DM) daripada pelajar yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Setakat ini, lima pelajar berminat untuk jadi pelajar saya tetapi oleh kerana saya tiada pengangkutan, ibu bapa mereka perlu mencari lokasi yang mudah buat saya datang bagi mengajar anak mereka.

“Saya juga boleh pergi mengajar di kediaman mereka asalkan mereka sanggup menyediakan kenderaan untuk saya kerana saya tidak mampu menaiki teksi atau grab.

“Cara lain, saya boleh mengajar melalui panggilan video,” katanya

Eva yang memperoleh keputusan semua A bagi percubaan SPM yang lalu boleh mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris, Sejarah,Ssains, Geografi, Pendidikan Seni Visual dan teori muzik kepada pelajar tingkatan empat serta lima.

“Jika saya berjaya menyambung pengajian di kolej atau universiti, dan jika ada kelapangan, saya akan menjadi tutor sambilan untuk menampung perbelanjaan,” katanya.

(Diambil daripada artikel Harian Metro bertajuk, "Tutor RM20 Sejam" yang ditulis oleh Nor Akmar Samudin bertarikh 4 Januari 2018)