Oleh Matt Brown:
Berikut adalah empat sebab penting mengapa kita harus pergi ke gereja setiap minggu, dan kenapa kehadiran di gereja dapat mengubah hidup kita:
1. Tuhan Mengatakannya
Tuhan mengatakan dalam Firman-Nya bahawa "janganlah kita menjauhkan diri dari pertemuan-pertemuan ibadah kita" (Ibrani 10:25)
Alkitab juga memanggil gereja sebagai "mempelai perempuan Kristus." Jika anda mengasihi Yesus, anda juga akan mengasihi apa yang dikasihi-Nya, dan tidak ada yang lebih dikasihi seseorang selain mempelainya. Gereja begitu penting bagi Tuhan, ianya juga harus sangat penting bagi kita.
Tuhan tidak menyuruh kita berhimpun dan beribadah bersama untuk membebankan kita, tetapi untuk memberkati kita. Kehadiran di gereja boleh menjadi salah satu berkat terbesar dalam kehidupan anda dan keluarga.
2. Menyembah Yesus Bersama-Sama Amat Berkuasa
Yesus tinggal di dalam kita oleh Roh Kudus-Nya apabila kita percaya kepada-Nya -- ini adalah kebenaran yang menakjubkan!
Tetapi ada juga sesuatu yang berkuasa secara alkitabiah berkenaan berkumpul bersama orang-orang seiman untuk beribadah. Yesus berkata, "Sebab di mana dua atau tiga orang berkumpul dalam Nama-Ku, di situ Aku ada di tengah-tengah mereka" (Matius 18:20). Oleh itu Dia tidak hanya tinggal dalam kita oleh Roh-Nya, tetapi Dia juga ada di tengah-tengah kita apabila kita berkumpul untuk menyembah-Nya.
3. Kita Perlukan Komuniti Kristian
Kita semua rindukan hidup bermasyarakat dan berhubung dengan orang lain. Tuhan telah memberikan kita pemberian ini untuk berhimpun bersama di gereja, dan dalam kumpulan-kumpulan lebih kecil di rumah satu sama lain. Ianya memenuhi sesuatu di dalam kita dalam menjalani hidup bersama dengan orang lain, mendorong satu sama lain dan secara nyata terlibat dalam kehidupan satu sama lain.
Rancangan televisyen. podcast, buku-buku dan konferensi Kristian adalah penambahan yang bagus untuk hidup rohani kita, tetapi tidak ada apa pun yang boleh menggantikan tempat komuniti Kristian yang konsisten melalui gereja setempat.
4. Kita Lebih Bertumbuh Ketika Bersama-Sama Berbanding Berseorangan
Kadang-kadang keadaan agak bermasalah apabila kita melibatkan diri dalam hidup satu sama lain. Kita semua manusia dan tiada orang yang sempurna. Oleh itu ianya memerlukan usaha dan kegighan dan kasih karunia dari Tuhan untuk menjalankan hidup bersama, sebagai saudara seiman.
Berhimpun secara sering dengan saudara-saudara seiman menjadi suatu proses pemurnian di mana kita menolong satu sama lain, berdoa untuk satu sama lain dan mendorong satu sama lain untuk mengikuti Yesus dengan lebih sepenuh hati. Ianya sesuatu yang indah.
Jangan izinkan sesuatu alasan menghalang anda daripada melakukan apa yang anda tahu Tuhan panggil anda lakukan. Tuhan akan memberi anda kekuatan untuk melakukan apa yang Dia telah panggil anda lakukan. Saya sedang berdoa untuk anda -- jikalau anda pernah mengalami kelukaan daripada pemimpin atau anggota gereja -- agar Tuhan akan memberi anda kesembuhan dan kasih karunia, sambil anda berusaha mengikuti-Nya, dan mengasihi Gereja-Nya.
(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Church Leaders bertajuk, "Why Attending Church Is So Important" yang ditulis oleh Matt Brown bertarikh 2 Mei 2016)