Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
mempertahankan timbalannya Steven Sim yang didakwa terbabit dalam agenda
Kristianisasi oleh Timbalan Menteri PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, Sim ialah seorang yang sangat bepegang kepada
kesederhanaan dan kepelbagai kaum di Malaysia.
“Saya tidak pernah walau sekali merasakan yang dia mahu
‘Kristiankan’ saya atau KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
“Hentikan politik kebencian dan marilah bersama bina lebih
banyak jambatan sebagai sebuah negara yang bersatu," katanya menerusi
ciapan di Twitter semalam.
Semalam Tuan Ibrahim mendakwa DAP mempunyai agenda
Kristianisasi dengan merujuk ucapan Sim di
forum di sebuah gereja di Kota Damansara, minggu lalu.
Dalam kenyataan balasnya, Sim berkata beliau hanya bercakap
tentang nilai-nilai murni yang boleh dipelajari dalam kitab Bible
sebagai panduan untuk penganut Kristian menjadi warga yang baik.
"Saya tidak mengkritik atau menyentuh mana-mana agama,
malah mengajak penganut Kristian di Malaysia untuk menjadi warganegara yang
mengamalkan nilai-nilai tersebut," katanya.
Beliau juga menyeru Tuan Ibrahim agar menghormati kebebasan
beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kit Siang: Saya beragama Buddha, bukan Kristian
Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang turut
mempertahankan Sim dan mendakwa Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang
Kerian menyebarkan berita palsu.
“Boleh Tuan Ibrahim jelaskan apa yang salah dengan Sim
berucap di gereja menasihati penganut Kristian agar menjadi warga yang baik?
“Adakah beliau akan cadangkan agar semua ahli politik
dilarang memberi ucapan di rumah ibadat, tidak kira masjid, gereja atau kuil,
dan bermula dengan pemimpin PAS?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menafikan DAP mempunyai agenda Kristianisasi
dan menggesa Tuan Ibrahim agar tidak menyebarkan kebencian yang boleh
memecahbelahkan rakyat Malaysia.
“DAP tiada agenda Kristianisasi dan mereka patut berhenti
membuat dakwaan tidak berasas terhadap DAP. Saya adalah penganut agama Buddha,
bukan Kristian,” katanya lagi.
(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk "Dakwaan Kristianisasi: Syed Saddiq Pertahan Timbalannya" 19 September 2019)