Selasa, 7 April 2020

Siapakah Orang-Orang Farisi, Saduki dan Essenes?


Tiga falsafah utama yang mencirikan agama Yehuda pada zaman Perjanjian Baru dan sebelumnya adalah golongan-golongan Farisi, Saduki dan Essenes, 

Jadi apakah bezanya di antara tiga kumpulan ini?

Walaupun kita mungkin pada mulanya terkejut dengan apa yang kelihatan seperti pepecahan kerana iman Yahudi memiliki tiga kumpulan berbeza ini, adalah penting untuk kita mengingati dua perkara:

Pertamanya, "cabang-cabang pemikiran" yang berbeza ini seperti yang dikatakan oleh Josephus adalah tidak besar. Walaupun mereka tentunya berpengaruh dan mungkin muncul dalam Perjanjian Baru dan dalam penulisan lain zaman itu, pengaruh itu tidaklah selaras dengan jumlah pengikut-pengikut mereka. Sebab utama untuk ini adalah bagaimana setiap kumpulan berurusan dengan pihak yang berkuasa, yang akan dibincangkan kemudian.

Yang keduanya, ketiga-tiga kumpulan memiliki persamaan dalam banyak perkara. Mereka adalah monoteis yang tegas, menumpukan pada hubungan perjanjian dengan Allah, dan sangat gigih dalam mengikuti dengan betul Taurat Allah.

Walaupun terdapat beberapa ketidaksefahaman teologi dan sosial di antara mereka, pandangan-pandangan yang berbeza mengenai bagaimana dengan betul mentafsir dan mengamalkan Taurat merupakan bahagian yang paling membezakan mereka. 

Siapakah Orang-Orang Farisi?

Pada zaman Perjanjian Baru, orang-orang Farisi adalah kumpulan terbesar di antara tiga kumpulan ini dan paling memiliki kuasa. Mereka telah disebut beberapa kali dalam Injil ditegur oleh Yesus (Mat 3:7; 23:15; Luk 13:39; Yoh 9:39-41). Mereka juga adalah kumpulan yang dikaitkan dengan menghasut penangkapan, pembicaraan dan penyaliban Yesus. 

Sebagai sebuah kumpulan, mereka berbeza kerana menentang pemerintah politik Israel, menumpukan kepada upacara pembersihan, dan terutamanya kepada kepatuhan pada hukum lisan atau tradisi para tua mereka. Kepercayaan teologi mereka termasuklah unsur-unsur luar biasa seperti kekekalan jiwa, kewujudan malaikat, dan kepercayaan pada kebangkitan orang mati.

Kepercayaan-kepercayaan ini amat berbeza dengan orang-orang Saduki.

Siapakah Orang-Orang Saduki?

Seperti disebut di atas dan seperti diceritakan dalam KPR 23:8, orang-orang Saduki tidak percaya pada aspek-aspek luar biasa aspek agama Yehuda. Berbeza dengan orang-orang Farisi, mereka bilangannya sedikit dan menolak perlunya mengikut hukum lisan. Kepercayaan mereka adalah Allah secara asasinya terpisah daripada penglibatan dalam hal ehwal manusia, dan penolakan mereka terhadap hidup selepas kematian menjadikan teologi mereka berbeza.

Walaupun bilangan mereka kecil, orang-orang Saduki telah dapat melibatkan diri mereka secara politik dalam kedudukan berkuasa dalam Sanhedrin (Mahkamah Tinggi Agama) dan bersahabat dengan pihak Rum. 

Meskipun mereka pandai mencari kesempatan, kumpulan ini tidak dapat bertahan dalam waktu-waktu kesukaran besar kemudiannya. Orang-orang Saduki amat berkait rapat dengan institusi agama Yehuda khususnya Bait Suci. Apabila Bait Suci dan negara Yahudi dihancurkan pada Tahun Masihi 70, orang-orang Saduki juga lenyap bersamanya. 

Siapakah Orang-Orang Essenes?

Orang-orang Essense tidak disebut dalam Perjanjian Baru dan kemungkinan adalah satu cabang dari Farisi, oleh kerana teologi mereka kelihatan serupa. Mereka terutamanya menentang apa yang mereka percaya adalah imamat yang dikuasai rasuah. Kepercayaan ini menghalang mereka dari membawa korban ke Bait Suci, yang membezakan mereka daripada dua kumpulan agama Yehuda yang telah disebut di atas.

Orang-orang Essense juga dipercayai adalah penghuni-penghuni masyarakat Qumran yang terpencil yang telah menghasilkan Gulungan-Gulungan Laut Mati. Walaupun masih banyak yang tidak diketahui mengenai kumpulan ini, mereka kelihatan berbeza dengan penghormatan yang lebih besar untuk Musa, pentafsiran yang ketat mengenai Taurat, dan kerana mengikuti sistem korban mereka sendiri.

Kesimpulan

Walaupun perbezaan-perbezaan ini kelihatan menunjukkan pepecahan besar dalam agama Yehuda, adalah penting untuk membandingkan pelbagai kumpulan ini dengan Kristian zaman modern. Kita dengan mudah dapat melihat suatu persamaan dalam perbahasan antara pegangan iman, gerakan-gerakan reformasi, dan pelbagai denominasi yang menandakan iman Kristian.

Menyedari hakikat ini akan membantu kita memahami keadaan yang dialami oleh orang-orang Yahudi pada zaman itu dan memperbolehkan kita lebih memahami latar belakang peristiwa-peristiwa yang telah dicatit dalam Perjanjian Baru.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Reasonable Theology bertajuk, "Who Are The Pharisees, Sadducees and Essenes?" yang ditulis oleh Clayton Kraby)