Selasa, 7 April 2020

Persidangan Gereja, Majlis Kahwin Antara Kluster Covid-19 Di Malaysia

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah


Persidangan gereja di Kuching, Sarawak dan majlis perkahwinan di Bangi, Selangor adalah antara beberapa kluster Covid-19 di negara ini.

Dua kluster itu merupakan antara kluster jangkitan yang melibatkan program keagamaan selain perhimpunan tabligh di masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur, hujung Feb lalu.

Persidangan gereja selama tiga hari yang digelar sebagai Good News Fellowshi di Kuching, Sarawak, yang berlangsung dari 26 Feb dan 28 Feb, telah membawa kepada 83 kes yang disahkan dengan dua kematian dan lima dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, majlis perkahwinan di Bangi yang berlangsung pada 6 hingga 7 Mac telah membawa kepada 88 jangkitan Covid-19 dengan seorang pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata penyebaran Covid-19 pada majlis perkahwinan itu dipercayai telah bermula dari tetamu yang turut menghadiri perhimpunan Sri Petaling seminggu sebelumnya.

Majlis perkahwinan antara doktor dan jururawat itu dihadiri ramai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya membawa kepada kluster kecil di hospital Teluk Intan, Perak dengan 44 kes baru dikesan.

Noor Hisham berkata kejadian itu menunjukkan kesan perhimpunan besar-besaran.

"Perhimpunan besar-besaran mempunyai kesan drastik terhadap peningkatan kes Covid-19 di Malaysia," katanya.

Beliau berkata kluster persidangan gereja dan majlis perkahwinan itu menyebabkan jangkitan sehingga generasi kelima.

Penyebaran generasi kelima bermakna virus itu telah menjangkiti seseorang sebelum menjangkiti empat orang lain.

Kluster persidangan gereja turut menjangkiti Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Jerip Susil dan pembantunya, yang turut menghadiri acara itu.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata beliau percaya bahawa kedua-dua kluster telah berjaya dibendung.

Beliau berkata perhimpunan Sri Petaling kekal sebagai kluster jangkitan terbesar, yang melibatkan 42.8 peratus daripada jumlah jangkitan Covid-19 keseluruhan, diikuti oleh persidangan gereja dan majlis perkahwinan di Bangi.

Menurut Noor Hisham, setakat ini KKM telah mengambil sejumlah 18,310 sampel daripada individu yang berhubung dengan kumpulan perhimpunan tabligh Sri Petaling.

Daripada jumlah itu, 1,624 telah diuji positif, manakala 11,708 yang lain adalah negatif.

Beliau berkata satu lagi kluster yang dikesan di Sarawak, yang dikaitkan dengan Kes 1,580 yang kembali dari Itali pada bulan lepas, kekal dengan 37 kes positif setakat ini.

Kluster berkenaan telah membawa kepada lima kematian daripada satu keluarga, selepas rakan sekerja salah seorang daripada mereka gagal melakukan kuarantin diri selepas kembali ke Malaysia.

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Persidangan Gereja, Majlis Kahwin Antara Kluster Covid-19 Di Malaysia" yang ditulis oleh Hariz Mohd bertarikh 6 April 2020)