Jumaat, 10 April 2020

Isteri Pastor Kata Mendiang Suami Bukanlah Sumber Covid-19 Di Kluster Gereja Kuching

Sim (kanan) dan Cheng dalam foto dari 2017

KUCHING: Isteri kepada pastor yang telah menjadi kes kematian pertama Covid-19 di Sarawak berkata hari ini bahawa suaminya bukanlah penyebar utama virus itu tetapi adalah salah seorang daripada mangsa dalam kluster satu persidangan gereja. 

Sim Lee Na berkata dia sedih untuk mendengar bahawa mendiang suaminya, Pastor David Cheng, dari Emmanuel Baptist Church, masih dikaitkan dengan semua kes-kes di Good News Fellowship, dan merasa perlu untuk menjelaskan perkara itu.

Dia memberitahu Borneo Post ketika dihubungi bahawa dia rasa virus itu mungkin telah berasal dari persidangan kepimpinan di Good News Fellowship yang telah diadakan di situ dari 26 hingga 28 Februari. 

"Hanya selepas kematiannya, saya mengetahui bahawa ada tiga orang lain yang hadir dalam jamuan makan tengahari yang diadakan di Good News Fellowship juga telah diuji positif dengan Covid-19. Dia tidak menyebarkan kepada kluster itu tetapi sebenarnya telah menjadi mangsa bersama dengan tiga orang yang lain itu.

"Mereka semuanya telah disahkan positif pada jangka masa yang lebih kurang sama. Jadi kesimpulan saya adalah dia bukanlah penyebarnya tetapi seorang mangsa. Yang dia sebarkan adalah kepada saya dan anak perempuan kami," katanya. 

Sim berkata salah seorang daripada tiga orang itu dari Kuala Lumpur, sebab persidangan itu melibatkan satu pasukan dari bandaraya itu dan disertai oleh pemimpin-pemimpin gereja-gereja tempatan di Kuching. 

Dia menambah lagi bahawa semua anggota Emmanuel Baptist Church yang telah bertemu dengan suaminya dari 28 Februari ke 8 Mac semuanya diuji negatif untuk Covid-19.

"Jika dia adalah sumber penyakit itu sejak akhir Februari, semua anggota Emmanuel Baptist Church juga akan diuji positif," kata Sim.

Berkenaan dengan suatu majlis perkahwinan yang mereka hadiri pada 7 Mac, Sim berkata mereka tiba lewat dan balik lebih awal, dan mereka duduk di bahagian belakang dewan.

Dia berkata bahawa suaminya hanya berhubung dengan enam hingga lapan orang yang duduk di meja yang sama dengan mereka tetapi selepas dia meninggal dunia, dia dikatakan telah berhubung dengan 193 orang di situ.

"Kami kemudiannya menghubungi enam hingga lapan orang itu untuk pergi diuji ketika suami saya disyaki kena Covid-19," katanya.

Sim berkata juga terdapat suatu laporan bahawa suaminya telah menghadiri satu acara di sebuah sekolah dengan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii yang menyebabkan pandangan awam bahawa suaminya yang telah menjangkitkan virus itu kepada Yii.

"Dengan semua laporan dan maklumat salah dari media, ianya seperti menambahkan luka di hati kami yang sedang berduka," katanya.

Yii, yang baru-baru ini pulih daripada penyakit itu, telah berkata dia telah dijangkiti Covid-19 setelah berhubung rapat dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu, yang masih lagi sedang menjalani rawatan.

Sim berkata suaminya telah jatuh sakit selepas persidangan itu pada 6 Mac, dan telah mendapatkan rawatan perubatan, dan telah menyerahkan sampel-sampel untuk diuji di sebuah poliklinik kerajaan.

Dia berkata suaminya mengalami kesulitan bernafas pada 13 Mac dan telah dimasukkan ke Hospital Sarawak, di mana dia meninggal dunia akibat penyakit itu pada 17 Mac.

"Ketika dia dimasukkan ke hospital, ujian pertama Covid-19 pada 13 Mac adalah negatif, kemudian ujian kedua pada 14 Mac adalah positif. Saya fikir orang ramai tidak menyedari simptom-simptomnya pada waktu itu, jadi dia tidak cukup awal dikenal pasti penyakitnya."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Borneo Post bertajuk, "Pastor's Wife Says Late Husband Is Not Source of Covid-19 Kuching Church Cluster" yang ditulis oleh Irene C bertarikh 9 April 2020)