Selasa, 26 Mei 2020

Kesaksian Ravi Zacharias - Dari Cubaan Membunuh Diri Ke Pengenalan Akan Yesus Yang Memberi Kehidupan


Oleh Ravi Zacharias:

Pada usia 17 tahun, saya sedang berbaring di sebuah katil hospital, tahukah anda kenapa? Sebab saya mahu meninggalkan kehidupan. Hidup saya tiada makna. Saya ingin menjadi pemain kriket, saya ingin bermain tenis, saya bermain dengan bagus, tetapi saya tidak akan pernah mencapai tahap pemain-pemain terbaik. Jadi saya tidak akan berjaya di situ. Saya menceburinya dan bermain di peringkat universiti dan setakat itu saja. 

Dan sambil saya berbaring di katil hospital itu setelah mencuba mengambil nyawa saya sendiri, seorang lelaki memasuki bilik itu dengan sebuah Perjanjian Baru kecil berwarna merah. Saya tidak dapat mengambilnya kerana tubuh saya telah kehilangan terlalu banyak air. Seorang pembantu rumah yang telah membawa saya dengan cepat ke hospital. Dan ibu saya mengambil Alkitab yang diberikan lelaki itu dan berkata. "Kamu tak boleh lama di sini, anak saya dalam keadaan yang kritikal."

Lelaki itu berkata, "Puan, anak puan perlukan ini lebih dari apa pun di dunia." Dan dia membuka ke Yohanes 14, di mana Yesus sedang berkata dengan Thomas, "Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorangpun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku." 

Dan kemudian dia membaca ayat kesembilan belas, "Sebab Aku hidup, dan kamupun akan hidup." Inilah kuasa Firman Tuhan untuk membuka hati yang keras seorang pemuda ini yang tidak pernah mempunyai hikmat untuk membukanya sebelum itu. Dan saya mulai berdoa, dan saya berkata, "Tuhan, jika Engkau adalah Tuhan kehidupan, bawalah saya keluar dari bilik hospital ini, dan saya akan melakukan segalanya untuk mencari kebenaran."



Hari itu begitu jelas dalam fikiran saya, setiap kali saya ke Delhi, kampung halaman saya di India, saya selalu menaiki teksi dan saya akan minta teksi diparkir di luar bilik hospital itu, Saya berhenti di bangunan hospital itu, dan saya hanya duduk di sana selama 10 atau 15 minit, dan mengingati semula apa yang terjadi di situ sewaktu saya berusia 17 tahun.

Ianya terjadi kerana Firman Tuhan. Dan sambil saya berjalan keluar dari situ, lima hari kemudian, doktor itu memandang saya dan dia berkata, "Anak muda, kami telah bawa balik nyawa kamu tapi kami tak dapat beri kamu kemahuan untuk hidup." 

Saya hanya mengatakan, "Doktor, anda tak perlu risaukan itu." Saya mempunyai sebuah Perjanjian Baru kecil berwarna merah dan saya berjalan keluar dari bilik itu.

Lelaki yang telah membawakan Perjanjian Baru itu ke dalam bilik saya, meninggal dunia tahun lepas. Saya bercakap dengannya beberapa hari sebelum kematiannya dari rumah kami di Atlanta, dia tinggal di Los Angeles. Saya ingin pergi melawatnya, dia berkara, "Ravi, jangan, jangan, jangan, engkau punya banyak hal lain untuk dilakukan." 

Inilah apa yang dia katakan kepada saya, "Saya hanya ingin katakan padamu, saya duduk dan kadang-kadang saya menonton kamu di YouTube, dan air mata mengalir turun pipi saya. dan saya berfikir, 'Tujuan utama Tuhan membawa saya ke dalam dunia adalah untuk membawa sebuah Alkitab kepadamu."

Saya berkata, "Fred, Tuhan telah bawa engkau ke dalam dunia untuk jauh lebih dari itu."

Dia berkata, "Tidak kawan. Saya hanya ingin engkau tahu, saya tidak dapat cukup mengatakannya mengenai apa ertinya bahawa engkau adalah salah satu daripada anakku dalam iman. Dan ianya telah memberiku sukacita yang paling besar." 

Firman-Mu adalah kehidupan. Firman-Mu adalah kehidupan.

(Diterjemahkan daripada transkrip video EBC yang bertajuk, "Ravi Zacharias Testimony, Tribute and Thank You" bertarikh 16 Mei 2020)