Jumaat, 20 November 2020

Phil Munsey Menceritakan Mengenai Diri Joel Osteen Yang Ramai Orang Tidak Tahu


Oleh Phil Munsey:

Ketika berdoa seorang diri di auditorium Gereja Lakewood di Houston baru-baru ini, saya merasakan Tuhan berbicara ke dalam hati saya. Sambil saya memikirkan bagaimana dan kenapa Tuhan telah memakai Joel Osteen untuk memenuhi auditorium amat besar ini dengan orang ramai minggu demi minggu, saya merasakan Tuhan menjawab soalan saya dengan pernyataan ringkas ini, "Joel Osteen adalah sahabat kepada orang-orang berdosa."

Sambil hari itu berlalu, impak daripada kenyataan itu mula mengesani saya. Saya tidak dapat memikirkan seorang pastor lain yang berpengaruh besar di khalayak ramai yang dapat menyandang gelaran itu - tiada seorang pun yang cukup dekat dengannya. 

Daripada semua kecaman yang diterima Kristus, tiada yang lebih berkontroversi - terutamanya daripada golongan yang kuat agama. 

Saya mula merenungkan fenomena pelayanan Joel dan Victoria Osteen ke atas negara kita, bermula dengan tugas mereka sebagai pastor. Sejak 1999, Joel telah menggembalakan Gereja Lakewood, gereja terbesar negara - dan sebenarnya, gereja terbesar dalam sejarah negara kita. 


Ianya adalah gereja di mana 45,000 orang menghadirinya secara mingguan di satu lokasi. Gereja Lakewood giat setiap malam dengan kelas-kelas pemuridan untuk melatih anggota-anggotanya dan hampir 50,000 orang yang menerima buku untuk orang baru percaya di panggilan-panggilan mimbar setiap tahun dalam kebaktian-kebaktian Lakewood. Melatih dan melibatkan lebih 6,000 sukarelawan dalam pelayanan-pelayanan berpusatkan Kristus telah menjadikan Gereja Lakewood yang berusia 53 tahun salah satu gereja paling sihat dalam negara.

Kebaktian hujung minggunya sepanjang 90 minit termasuklah 60 minit pujian dan penyembahan tanpa henti dicampur dengan kata-kata dorongan, doa untuk orang-orang sakit, pemberian persembahan selama 90 saat (tanpa pengumuman) dan kemudian khutbah Joel selama 27 minit. 

Khutbah-khutbah Joel disampaikan dengan purata sedozen atau lebih rujukan Alkitab dengan mahir dan doa. (Joel telah memperhatikan bahawa rujukan secara berkali-kali kepada ayat-ayat dan buku-buku Alkitab akan kelihatan menakutkan bagi peratusan besar orang belum percaya di kalangan penonton televisyen). 


Joel membicarakan mengenai ketagihan-ketagihan, tabiat-tabiat buruk, isu-isu hubungan yang tidak berfungsi dengan baik, rasa bersalah dan malu, imej-imej diri yang tidak mengikut gambaran Tuhan, dan "dosa-dosa" lain yang dialami oleh orang. Jawapannya adalah sentiasa sama: Percaya kepada kebaikan Tuhan yang pemurah. Percaya akan kasih dan kasih kurnia-Nya dalam setiap aspek kehidupan anda. 

Joel menjangkau 40 juta orang setiap bulan melalui televisyen dan media lain. Buku-bukunya telah membawa impak kepada lebih 30 juta orang, termasuklah melalui 5 buku bestseller dalam senarai New York Times.

Namun begitu, ciri terbesarnya adalah hatinya untuk orang-orang belum percaya. Joel adalah sahabat kepada orang-orang berdosa. 

Joel Osteen bukanlah seorang televangelis. Dedikasinya sebagai seorang pastor dicerminkan dengan fakta yang menarik ini. Dalam 14 tahun yang baru berlalu, Joel hanya tidak ada di gereja untuk purata dua kebaktian hujung minggu dalam setahun. Walaupun Joel berkhutbah dalam 38 daripada kebaktian-kebaktian hujung minggu setiap tahun, dia juga akan duduk di baris hadapan (termasuk Rabu malam) apabila tidak berkhutbah, dengan setia melayani sidang gembalaannya dan menjadi contoh dengan kerendahan hati (termasuklah berjabat tangan dengan tetamu dan orang-orang baru percaya untuk sejam di antara kebaktian-kebaktian).

Joel dan Victoria dan Gereja Lakewood adalah duta-duta Injil - pengharapan dalam Kristus. Sejak 2004, Joel dan Victoria telah mengadakan lebih daripada 130 acara secara langsung "Night of Hope" di sekeliling negara dan luar negara. Acara-acara bulanan ini telah membawa lebih sejuta orang secara awam membuat pengakuan dosa dan Kristus sebagai Tuhan!


Setiap bulan, keluarga Joel dan pasukan Lakewood ke bandar demi bandar dengan mesej pengharapan. Hari Jumaat untuk Joel 16 jam tanpa henti bermula dengan pertemuan dengan pastor-pastor tempatan, temuramah-temuramah media, dan kemudian waktu persiapan untuk acara itu. Joel dan Victoria memberi dorongan dan berkhutbah kebanyakan masa dalam acara sepanjang 3 jam itu, yang berakhir dengan 30 hingga 50 peratus daripada kebanyakan para hadirin yang belum percaya dan tidak ke gereja itu bangkit berdiri dan mengaku dosa mereka dan Kristus sebagai Juruselamat. 

Sambil ribuan orang meninggalkan auditorium, Joel boleh dilihat berjabat tangan dengan mereka yang telah memberi tajaan untuk kanak-kanak menerusi World Vision. Pada kebanyakan waktu, Joel adalah antara yang terakhir meninggalkan bangunan itu, dan bangkit awal keesokan paginya untuk perjalanan pulang untuk berkhutbah di tiga kebaktian di Gereja Lakewood. 

Joel mempunyai pengkritik-pengkritiknya. Mereka memuatkan klip-klip tertentu dari ratusan temuramahnya dengan media sekular. 

Tetapi apa yang digelarkan sesetengah orang sebagai kelemahan sebenarnya adalah kekuatan Joel. Joel berpendirian enggan berkompromi menggunakan penampilannya sebagai tetamu di media sekular untuk menghakimi orang. Kebaikan hatinya telah menyebabkan minda dan hati jutaan orang masih terbuka kepada Injil. Joel adalah sahabat kepada orang-orang berdosa. 


Saya tidak mempertahankan Joel; buahnya yang akan melakukan itu. Saya menulis untuk mereka yang secara ikhlas bimbang bahawa seorang lagi "televangelis selebriti" yang popular akan mempermalukan iman Kristian. Terimalah ini, daripada seorang yang telah terlibat dalam pelayanan sepenuh masa selama 40 tahun, yang telah melihat mereka-mereka yang egonya menjadi tak terkawal, orang-orang mentah yang kurang berpengalaman dan mereka yang memiliki niat yang tercemar: Joel adalah seorang yang ikhlas dan kini merupakan suara yang sudah banyak pengalaman kepada generasi-generasi dan bangsa-bangsa!

Saya dan isteri saya Jeannie telah menjelajah dunia dengan Joel dan keluarganya untuk lebih 10 tahun, menjadi sukarelawan untuk pelayanan yang mengubah kehidupan, yang hormat akan Tuhan, yang memenangkan jiwa-jiwa, dan yang diiringi dengan kerendahan hati. Kami tidak pernah menyaksikan satu pun kata atau perbuatan yang tidak patut. Tingkahlaku Joel secara konsisten di luar kecaman. 

Walaupun jarang disebut, Joel dan Victoria tidak mendapat gaji daripada gereja ataupun pelayanan. Perbelanjaan seperti tiket penerbangan, hotel, dan termasuk juga makanan, dibayar oleh mereka sendiri. Sebenarnya, Joel dan Victoria adalah penyumbang terbesar kepada Gereja Lakewood. 

Joel adalah suami yang setia, ayah yang penyayang dan sahabat yang setia kepada ramai orang - sejak bertahun-tahun. Tiada orang yang sempurna, tetapi selama 14 tahun Joel telah membuktikan diri sebagai seorang yang boleh dipercayai yang membawa kemuliaan kepada Kristus.

Orang-orang yang ikhlas pun bergumul untuk memahami apa ertinya menjadi sahabat kepada orang-orang berdosa. 

Ketika Yesus di rumah orang-orang pelahap dan peminum, Yesus kelihatan selesa, dan begitu juga orang-orang berdosa itu. Saya pasti murid-murid-Nya terasa dikhianati, keliru, marah dan mungkin sedikit cemburu. Mengapakah Yesus meluangkan masa dengan orang-orang itu?

Yesus bersama orang-orang berdosa

Seperti murid-murid itu, kita sebagai Kristian mungkin rasa dikhianati - dan diketepikan. Dan dengan budaya persekitaran yang kelihatan telah menolak iman kita dan seringkalinya menghina dan memperkatakan dengan salah iman kita menerusi media, adalah mudah untuk kita rasa terkilan. Mengapakah Joel dengan senyuman lebarnya bersama dengan orang-orang itu? Mengapa? Sebabnya Joel adalah sahabat juga kepada orang-orang berdosa. 

Joel adalah tamu yang diundang ke rumah jiran kita, kepada orang yang kita berurus niaga, kepada keluarga-keluarga dan kawan-kawan kita - yang semuanya menonton dan dipengaruhi secara positif oleh pelayanannya. Dan, tak sangka, presiden  kita juga menontonnya!

Saya percaya sejarah akan merakamkan 14 tahun yang baru berlalu dalam pelayanan dan pengaruh Joel sebagai salah satu daripada pastor/ penginjil paling berkesan zaman kita. Dan belas kasihannya yang sungguh-sungguh untuk orang lain menunjukkan kepada saya bahawa usaha-usaha yang terbaiknya belum lagi muncul!

Bolehkah saya mendorong anda untuk mempercayai yang terbaik dalam dan untuk satu sama lain? Terutamanya untuk berdoa dan melindungi kurnia-kurnia Joel dan Victoria? Tuhan telah memilih mereka untuk menjadi wakil dan untuk menjangkau bilangan yang kian bertambah orang-orang yang tidak bergereja, yang terhenti bergereja, dan yang belum percaya di dunia kita. Untuk menjadi seorang sahabat kepada orang-orang berdosa tidak harus menjadi gelaran yang membuat kita rasa malu!

Phil Munsey adalah bekas pastor senior Life Church di Irvine, California. Dia berhenti dari jawatan itu untuk mengetuai Champion's Network, satu rangkaian gereja-gereja dan pemimpin-pemimpin yang diasaskan oleh Joel Osteen.

(Diterjemahkan daripada artikel Charisma News bertajuk, "Phil Munsey Speaks Out on the Joel Osteen Most People Don't Know" yang ditulis oleh Phil Munsey bertarikh 11 September 2014)