Jumaat, 1 April 2022

"Aku Sungguh Mohon Maaf," Kata Brian Houston

Brian dan Bobbie Houston

Pengasas Hillsong, Brian Houston telah memohon maaf kepada anggota-anggota gereja setelah meletakkan jawatan atas dakwaan salah laku.

Dalam satu emel kepada ahli-ahli gereja yang diperolehi dari Eternity, bekas Senior Pastor Global Hillsong itu berkata dia "sungguh mohon maaf" atas kegagalannya dan bahawa "tidak ada orang lain untuk dipersalahkan selain diri saya untuk keadaan yang saya hadapi ini."

"Kepada mereka yang telah secara langsung terkesan oleh tindakan saya, saya mohon maaf atas segala kelukaan yang diakibatkan daripada perbuatan saya," begitu ditulis olehnya. 

Houston telah meletakkan jawatan selepas penyiasatan oleh Lembaga Global Hillsong ke atas dua aduan, yang pertama, dakwaan yang dia telah memasuki bilik hotel seorang wanita yang bukan isterinya ketika di bawah pengaruh alkohol, dan yang kedua, dakwaan mesej-mesej teks yang tidak berpatutan dihantar kepada seorang kakitangan Hillsong. Lembaga Global membuat kesimpulan bahawa Houston telah melanggar Kod Perilaku Pastor. 

Berikutan perletakan jawatannya, tiga gereja di Amerika telah mengumumkan perpisahan mereka dengan Hillsong.

Ditujukan kepada anggota-anggota gereja, Houston berkata bahawa dia telah "mengecewakan kamu dengan teruk dan memohon maaf tidak akan cukup untuk menyatakan kesedihan saya." 

Houston juga mengucapkan kekesalannya atas segala kelukaan yang ditimpakannya ke atas ahli-ahli keluarganya.

"Kepada keluarga saya yang begitu baik, mengasihi dan mengampuni yang saya sayangi lebih dari segalanya, saya merasa sedih kerana melukakan kamu," katanya.

"Bobbie, di mataku engkau adalah insan paling seperti Kristus, cantik, taat dan setia yang wujud hari ini.

"Aku merasa amat sedih melihat hatimu hancur ketika kita mengharungi musim ini, melepaskan begitu banyak yang berharga kepadamu. Aku mengasihi keluargaku dan amat menyakitkan bagiku melihat kamu mengharungi perjalanan ini." 

Houston telah mengasaskan Gereja Hillsong bersama dengan Bobbie di Sydney, Australia hampir 40 tahun yang lalu. Dia berkata perletakan jawatannya bukanlah "dalam cara yang pernah saya sangkakan akan berakhir" dan bahawa dia "bertekad bahawa kegagalan-kegagalan saya tidak akan menjadi penentu siapa diri saya."

Dalam surat permohonan maafnya, Houston juga berkata dia komited menyelesaikan masalahnya dengan alkohol.

"Selama bertahun-tahun secara sentiasa menghadapi tekanan, penentangan, cabaran, dan serangan, disertai dengan penderitaan peribadi atas kejahatan ayah saya, ramai orang telah bertanya - 'Bagaimanakah kamu dapat terus bangkit, mengendalikan, dan meneruskan dalam hidup?' Dan sekarang kita tahu jawapannya. Saya tidak dapat mengendalikannya dengan baik sebenarnya," katanya.

"Saya secara terbuka mengakui bahawa alkohol bukan sahabat yang baik dan saya bertekad untuk meninggalkannya."

Dia meneruskan lagi, "Yakinlah, saya menerima sepenuhnya tanggungjawab atas tindakan saya dan saya tidak ada sesiapa pun untuk dipersalahkan kecuali diri saya untuk keadaan yang saya hadapi ini.

"Mungkin akan mengambil masa agak panjang lagi sebelum melihat cahaya di hujung terowong, tetapi saya tahu bahawa Tuhan belum selesai dengan kami."

(Diterjemahkan daripada artikel Christian Today bertajuk, "I Am Deeply Sorry, Says Brian Houston" bertarikh 31 Mac 2022)