Jumaat, 1 Julai 2022

Keputusan Roe v. Wade Diterbalikkan - Para Evangelikal Yang Pro-Kehidupan Merayakan Keputusan Yang Telah Lama Dinantikan


Roe v. Wade - keputusan Mahkamah Agung yang telah menggerakkan generasi demi generasi aktivis-aktivis pro-kehidupan dan telah mencorak penglibatan politik para evangelikal untuk separuh abad - kini telah diterbalikkan.

Berjuta-juta orang telah berarak, memprotes, melobi dan berdoa untuk menamatkan keputusan mahkamah dalam kes Roe v. Wade yang memberi hak pengguguran bayi itu. Selepas 49 tahun, dan lebih daripada 63 juta pengguguran bayi, waktunya telah tiba.

Pemimpin-pemimpin Kristian telah menggelar keputusan itu "sesuatu yang dulu tak tersangkakan" dan menandakan hari ini sebagai "hari yang kami semua telah nantikan" dan "salah satu hari terpenting dalam sejarah Amerika."

"Kami berpendirian bahawa kes-kes Roe dan Casey harus diterbalikkan," begitu ditulis hakim Samuel Alito bagi pihak majoriti. "Perlembagaan tidak membuat apa-apa rujukan mengenai pengguguran bayi, dan tidak ada hak yang seperti itu dilindungi secara tersirat dalam peruntukan perlembagaan."

Keputusan kes Dobbs v. Jackson Women's Health adalah 6 terhadap 3, dengan Ketua Hakim, John Roberts bersetuju dengan majoriti. Pandangan mahkamah itu mirip dengan draf Alito yang telah dbocorkan bulan lepas.

Keputusan itu adalah hasil dari tiga hakim konservatif yang telah dilantik sewaktu tempoh pentadbiran Presiden Trump: Neil Gorsuch, Brett Kavanaugh dan Amy Coney Barrett.

Golongan evangelikal adalah kumpulan paling menentang pengguguran bayi dan yang paling ingin melihat Roe diterbalikkan. Walaupun golongan evangelikal bukan hanya mementingkan isu pengguguran bayi sahaja, di peti undi ianya sering diberi pertimbangan lebih berat berbanding hal-hal lain. Sesetengah orang telah mengundi Trump walaupun mempunyai keraguan atas nilai moral Trump, dengan harapan dia akan menunaikan janjinya untuk melantik hakim-hakim yang akan menterbalikkan Roe dan keputusan Mahkamah Agung yang berikutannya yang telah mengesahkan hak-hak pengguguran bayi, Planned Parenthood v. Casey.

Perkiraan politik ini kelihatan telah berhasil. Tiga hakim baharu itu telah menyertai Alito dan Clarence Thomas dalam keputusan berani bahawa keputusan mahkamah dulu adalah salah. 

"Hari ini adalah milik ramai orang yang telah bekerja kuat dan lama untuk menjadikannya nyata - dan juga kepada Presiden Trump, yang berhak mendapat ucapan terima kasih kita kerana menunaikan suatu janji yang saya fikir dia tidak akan tunaikan," kata Matthew Lee Anderson, seorang pakar etika Kristian dan profesor agama Universiti Baylor. 

Keputusan ini tidak menjadikan pengguguran bayi suatu jenayah, tetapi telah menghantarkan soal perundangan kembali kepada negeri-negeri, di mana para pengundi dan ahli-ahli dewan perundangan akan membuat keputusan bila seorang wanita boleh atau tidak boleh untuk menamatkan kehamilan. 

"Kami tidak berpura-pura tahu bagaimana sistem politik dan masyarakat akan respons terhadap keputusan hari ini," Alito menulis, "Kami hanya dapat lakukan tugas kami.... Kami dengan itu berpendirian bahawa Perlembagaan tidak memberikan hak untuk pengguguran bayi."

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel Christianity Today bertajuk, "Goodbye Roe v. Wade: Pro-Life Evangelicals Celebrate the Ruling They've Waited For" yang ditulis oleh Daniel Silliman bertarikh 24 Jun 2022)