Jumaat, 8 Julai 2022

Uskup Memaafkan Pesalah Laku Pecah Masuk Gereja Keningau

Dari kiri: Nancy Nelly Joneh, Uskup Cornelius Piong
dan Fr David Gasikol di sidang media

KENINGAU – Uskup Cornelius Piong berkata Gereja Katolik Keuskupan Keningau memaafkan si pesalah laku yang memecah masuk gereja pada awal pagi Khamis lalu kira-kira jam 7.30am sehingga merosakkan beberapa patung dan relik kudus di Katedral St Francis Xavier Keningau (KSFX).

Hasil siasatan lanjut, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan bersabit kes tersebut. Pesalah laku dipercayai kurang siuman sejak tahun lalu namun tidak pernah menjalani pemeriksaan mental.  

Uskup Piong berkata gereja tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah susulan kejadian tersebut.

Katanya kes ini sudah pun berada di bawah seliaan Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau maka gereja menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Semua (hal ini) sudah di tangan pihak polis dan kita sudah tahu apa yang terjadi.

“Adakah kita memaafkan dia? Ya sebagai umat Katolik, kita memaafkan.

“Kita perlu mengampuni, mendoakan saudara kita ini. Lebih-lebih lagi kita tahu dia itu bukan normal (secara mental).

“Kita serahkan kepada pihak polis, apa tindakan mereka terhadap dia, terpulang,” ujar Uskup Piong.

Dia berkata ini semasa Sidang Media Khas Keuskupan Keningau berhubung kes tersebut di laman Facebook Diocese of Keningau pada hari ini jam 9.00 pagi.

Di dalam Sidang Media, Uskup Piong disertai oleh Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, Nancy Nelly Joneh dan Paderi Pembantu Gereja KSFX, Fr David Gasikol.

(Dipetik daripada artikel Catholic Sabah bertajuk, "Uskup Memaafkan Pesalah Laku Pecah Masuk Gereja Keningau" yang ditulis oleh Linda Edward bertarikh 8 Julai 2022)