Sabtu, 22 Ogos 2026

Pelayanan Percuma atau Industri Berbayar? - Pastor Peter de Run


Oleh Pastor Peter de Run:

Membaca hujah-hujah tentang konsert Hillsong di Sabah yang ditulis beberapa pempengaruh Kristian di Malaysia membuat saya tersenyum dan juga gelengkan kepala. Memang banyak lapisan fahaman dan prejudis terkandung dalam setiap posting. Tapi satu hal jelas: Saya mendengar penyataan keresahan yang tinggi dari anda.

"Mengapa konsert penyembahan perlu berbayar?" ialah soalan pertama yang biasa diajukan. Ini mungkin sekali kerana fahaman bahawa Penyembahan dan Injil adalah percuma. Juga keyakinan Hadirat Tuhan tidak boleh dijual beli. Itulah sebabnya kebaktian ibadah selalu diadakan dan anda dialu-alukan. Pintu gereja terbuka. Percuma.

Akan tetapi zaman sekarang sudah ada (khususnya di negara2 Barat dan Indonesia) industri muzik Kristian, dengan artis/penyanyi Kristian, pemuzik Kristian serta album dan sebagainya. Ini adalah karier pilihan sekumpulan orang percaya dan gereja. Idea dan amalan ini belum diterima dengan tangan dan hati terbuka di Malaysia.

Untuk kumpulkan ramai pengikut Yesus secara selamat dalam satu konsert, terdapat kos logistik yang nyata seperti sewaan dewan, permit pihak berkuasa, sistem bunyi, keselamatan, dan kebajikan pasukan teknikal (1 Timotius 5:18).

Bayaran tiket bukan untuk mencari keuntungan atau jual hadirat Tuhan, tetapi untuk menampung kos operasi agar konsert sedemikian dapat berjalan dengan tertib dan lancar.

Bagi yang benar-benar tidak berkemampuan tetapi mahu hadir, saya percaya Allah akan membuka jalan dan komuniti Kristian anda boleh membantu.

(Diambil daripada artikel Facebook Peter Claude de Run bertajuk "Pelayanan Percuma Atau Industri Berbayar?" bertarikh 18 Ogos 2026)