Rabu, 24 Ogos 2011

Kesaksian Brani Duyon (Bahagian 1): "Aku Dibawa Ke Syurga!"


Sekitar Bulan Mei Tahun 2006, seorang hamba Tuhan telah dipanggil secara khusus ke Syurga untuk bertemu dengan Tuhan Yesus bagi mendapatkan “Wahyu Khusus” yang mengandungi Enam Pesanan.
Penatua Brani Duyon @ Efendie, 52 , bangsa Dusun, berasal dari Bayayat, Kota Belud, Sabah, Malaysia. Beliau pernah menjadi seorang Gembala Sidang di SIB Melangkap Baru, Kota Belud (Taginambur) beberapa masa. Kemudian menjadi Ketua Sidang di SIB Bayayat pada 2005-2006.
Berikut ini ialah kesaksian Brani Duyon:
Brani Duyon dari Sabah
Pada 21 April 2006, anak kami yang menetap di Semenanjung Malaysia telah memanggil kami dengan tujuan menghadiri majlis hari perkahwinan mereka. Tetapi baru seminggu berada di sana, saya tiba-tiba mengalami “stroke”. Saya terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Malaysia. Doktor memeriksa saya dan mengatakan ada sel-sel darah pada otak saya telah pecah dan perlu dibedah pada masa itu juga.
Saya telah ditempatkan di Bilik Unit Kawalan Rapi selama sebulan. Saya dalam koma tanpa sedarkan diri selama lebih dari 1 minggu. Pada masa itu ramai hamba-hamba Tuhan yang datang melawat, antaranya ialah Mantan Presiden Gereja SIB Sabah, Pastor Taipin Melidoi dan Timbalannya Pastor Datuk Arun Selutan, Bendahari Agung, Pastor Michael dan ramai lagi hamba Tuhan di Semenanjung datang mengunjungi dan mendoakan saya.
Pada suatu masa saya bermimpi ada hujan yang turun datang dengan lebatnya tetapi hairannya hujan itu hanya menuju ke arah saya sahaja. Saya mentafsirkan mimpi saya ini adalah jawapan doa-doa dari hamba-hamba Tuhan yang telah mendoakan kesembuhan saya. Puji Tuhan, dengan kuasa-Nya saya telah disembuhkan lebih cepat daripada yang dijangkakan.
Pada minggu ke-3, bulan Mei 2006, tengah malam, saya merasa hairan kerana saya tidak dapat tidur sedangkan pesakit-pesakit yang lain sudah nyenyak tertidur. Ketika itu, hanyalah Yesus berada dalam fikiran saya dan saya teringat Firman dalam Yesaya 43:26 yang mengatakan “ingatlah akan Tuhan, marilah kita berperkara” dan ayat firman ini bermain-main dalam ingatan saya. Fikiran saya terus tertumpu kepada Tuhan Yesus. Dan saya merasakan bahawa Dia berada di sisi saya ketika itu.
Saya kemudian berdoa dalam roh. Selepas saya selesai berdoa saya mula untuk tidur namun masih tidak dapat juga. Lalu saya bersandar pada katil. Tiba-tiba saya merasakan ada seseorang yang menepuk bahu dan mengusap-usap kepala saya. Keadaan seperti ini berlaku agak lama. Selepas itu saya merasakan ada sesuatu yang mengalir yang luar biasa dalam tubuh kehidupan saya. Saya merasakan hal itu suatu belas kasihan seorang bapa terhadap anaknya.
Dalam hati saya teranya-tanya siapakah orang ini. Lalu saya berdepan dan bersemuka dengan mahkluk itu ternyata dia seorang perwatakan seperti lelaki muda yang kacak, sasa dan tinggi dengan berpakaian putih, rambut panjang mencecah bahu. Lalu saya bertanya kepadanya, “Adakah Kau ini Tuhan yang sentiasa saya fikirkan?” Tetapi dia tidak menjawab cuma mengeleng-gelengkan kepalanya sahaja. Saya berkata lagi, “Jika engkau bukan Tuhan, siapakah engkau?”. Kini dia menjawab, “Akulah utusan dan dari Syurga atas perintah Yesus untuk datang kepadamu malam ini untuk membawa berita baik.”
Lalu saya sedar dia ini adalah Malaikat yang diutuskan oleh Tuhan. “Apakah khabar baik yang kau bawa untuk kau perdengarkan kepada saya?” saya bertanya lagi kepada Malaikat itu. Lalu kata Malaikat itu, “Malam ini saya diutus oleh Tuhan Yesus untuk menjemput engkau naik ke Syurga.” Jiwa saya terus jadi tenang dan damai walaupun dalam keadaan sakit. Saya merasa seolah-olah saya tidak mengalami kesakitan. Pada ketika itu juga saya sembuh apabila malaikat berkata akan membawa saya naik ke syurga. Lalu saya berkata kepada Malaikat itu, “Saya sedia mengikuti engkau pergi ke syurga, sebab saya teringin betul bertemu dengan Tuhan saya.”
'Saya melihat seekor kuda yang luarbiasa besar dan tingginya'
Ketika kami memulakan perjalanan saya terlihat tubuh saya yang terbaring di katil. Kami keluar dan sampai di luar Hospital saya melihat seekor Kuda yang luarbiasa besar dan tingginya. “Kuda inilah yang kita akan naiki,” kata Malaikat itu. Saya dibantu oleh Malaikat menaiki kuda itu kerana kuda itu sangat tinggi. Saya bertanya kepada Malaikat itu “Bolehkah kita sampai ke Syurga dengan menaiki kuda ini?” lalu Malaikat itu menjawab, “Tentu sekali, jangan takut dan jangan bimbang. Adakah kamu membaca Firman Allah ketika Nabi Elia diangkat oleh Tuhan?” tanya Malaikat itu. “Ya, saya ada membacanya, kereta yang datang menjemputnya ialah Kereta Berapi dan Kuda Berapi,” jawab saya. “Benar, inilah kuda itu” kata Malaikat itu.
Pada mula kami bertolak kuda itu hanya berjalan dengan perlahan-lahan, namun selepas kira-kira seratus meter kami berjalan, tiba-tiba kuda itu meluru laju dan dan bergerak dengan pantas sekali seolah-olah seperti disambar badai dan kuda itu tidak lagi menyentuh tanah tetapi terbang. Kami melintasi pergunungan namun semua gunung itu kelihatan rata kerana kami bergerak dengan kuasa Tuhan.
Selepas itu kami sampai ke satu padang yang sangat luas, subur, rumputnya hijau dan tidak ada yang kering (Mazmur 23:2 Raja Daud berkata “Dia membaringkan aku dipadang yang berumput hijau”). Lalu Malaikat itu memberhentikan kuda dan kami berjalan.
Kelihatan di hadapan kami sebuah Kerajaan Tuhan. Ketika kami berjalan di tengah padang ini saya mendengar loceng berbunyi. Saya bertanya kepada Malaikat itu “Apakah tujuan Bunyi Loceng itu?”. Malaikat menjawab, “Itulah loceng memanggil, menandakan seseorang telah datang”
Kami terus berjalan dan loceng terus berbunyi sehingga kami sampai di hujung padang dan kelihatan sebuah rumah yang sangat cantik dimana di atasnya terdapat lampu berkelip-kelip berwarna merah seperti lampu Trafik. Di tengah lampu itu terdapat angka ‘51’. Saya bertanya kepada Malaikat itu apakah ertinya. Malakat berkata, “Berapa umur kau sekarang?” ketika kejadian ini umur saya ialah 51 tahun “Itu adalah umur kau sekaligus nombor rumah kau” kata Malaikat itu. Saya sungguh merasa sukacita dan damai apabila mendengar penjelasan Malaikat itu dan melihat rumah yang Tuhan sediakan untuk saya.
Kelihatan di situ banyak rumah yang telah disediakan oleh Yesus bagi anak-anak Tuhan yang percaya dan mengikuti-Nya. Kami terus berjalan lagi dan sampai ke satu Pintu Gerbang yang dibuat dari Emas.
Kami teruskan perjalanan dan sampai ke sebuah rumah yang sangat besar. Ketika kami sampai di situ terdapat ramai orang berada dalam rumah itu. Saya percaya mereka ini adalah orang-orang kudus yang telah Tuhan pilih. Mereka sedang memuji Tuhan ketika itu. Kelihatan Yesus sedang duduk di atas tahktanya sambil orang-orang memuji dan menyembah Dia. Mereka semua memuji dengan segenap hati dan menari, mengangkat tangan dan bersujud dan melutut. Dalam hati saya berkata, ‘kalau beginilah cara ibadat orang-orang Kristian di Dunia tentu sangat senang sekali hati Tuhan.’
Kelihatan ramai yang menangis memuji Tuhan ketika itu. Saya lihat Yesus tersenyum melihat mereka khusyuk menyembah Tuhan. Yesus menaikan tangan mereka. Tangan mereka naikkan ke arah Yesus, dan Yesus juga mengangkat tangan memberkati mereka semua. Di akhir ibadah itu kelihatan Yesus berjalan- di tengah-tengah mereka dan Dia mengelap air mata mereka-mereka yang menangis. Lalu saya teringat seperti dalam Kitab Wahyu, ‘Apabila kamu berada di sana (syurga) nanti semua air mata akan dihapuskan’.
Kemudian Malaikat itu membawa saya masuk ke dalam berjumpa dengan Yesus. Dan Malaikat itu berkata kepada Yesus “Tuhan, inilah anak-Mu yang engkau pilih untuk dibawa ke sini”. Yesus berkata “Syabas! Anak-Ku engkau telah datang hari ini.” Kemudian Yesus memeluk saya dan saya menangis gembira dan damai kerana dapat bertemu Yesus. Jiwa saya bersukacita kerana dipeluk Yesus ketika itu.

(Transkripsi dan Terjemahan dari VCD kesaksian oleh Alfred Chia dan Ryan LG)

Baca juga Kesaksian Brani Duyon (Bahagian 2): "Enam Pesanan Tuhan"