Lee Myung Bak |
Semasa bekas Presiden Korea, Lee Myung Bak berkhidmat dalam jawatannya, beliau menampilkan dirinya sebagai "bulldozer" (jentolak) yang kuat dan berupaya. Sebagai contoh, rakan-rakan sekerjanya takjub bagaimana dia boleh tidur hanya empat jam pada waktu malam dan masih dapat bangkit awal untuk mesyuarat keesokan paginya.
Lee menulis dalam bukunya bertajuk "Mother", "Sebab kenapa tubuhku secara automatik bangun pada 5 pagi ialah kerana keluarga kami mempunyai kebiasaan doa pagi bersama-sama sewaktu aku masih kanak-kanak. Doa pagi bersama merupakan peraturan keluarga yang telah diletakkan oleh ibuku, seorang Kristian yang komited.
"Suara-suara doa itu seperti suara yang mendodoikan bagiku, terutama bila kurasa mengantuk. Tetapi, setiap kali aku mendengar namaku disebut dalam doa, aku menjadi sedar semula dan menikmati rasa enak didoakan.
"Aku sering memikirkan betapa besar kuasanya doa ibuku untukku selama dua puluh tahun yang lepas, 365 kali dalam setahun, 3,650 kali dalam sepuluh tahun, lebih 7,000 kali dalam 20 tahun, semuanya pada waktu yang sama setiap hari."
"Kini, sekali-sekala, waktu aku sendirian dengan mata terbuka, aku rasa seperti aku masih boleh mendengar doa ibuku bergema di telingaku. Mengesat mataku yang mengantuk, dan mendengar doa-doa telah menjadi sekolahku yang kedua, di samping menjadi bukti cinta ibuku."
Lee Myung Bak telah dilahirkan dalam keluarga Kristian yang komited dan pernah melayani sebagai penatua di Korea Hope Church. Pelayanannya yang rendah hati dan penuh kecintaan telah menambat hati saudara-saudara seiman. Lee Myung Bak juga pernah menjadi Datuk Bandar Seoul, di mana pada waktu itu, dia telah mengisytiharkan secara umum untuk membenarkan Tuhan berkuasa atas bandaraya Seoul.
Sebagai Presiden, Lee Myung Bak dan isterinya, Kim Yoon-Ok menghadiri kebaktian Doa Kebangsaan 2011, dan atas permintaan pengacara, telah berlutut dengan para hadirin lain untuk berdoa.
(Diterjemah daripada artikel Gospel Herald bertajuk "Former Korea President Lee Myung Bak Remembers Mother's Incessant Prayers" penulisan Zoe Chan bertarikh 25 Mei 2013)