Sabtu, 1 Jun 2013

Dari Kemiskinan Perit Menjadi Presiden Korea Selatan

Lee Myung Bak
Apabila Lee Myung Bak dilantik secara rasmi sebagai Presiden Korea Selatan yang kesepuluh pada Februari 2008, ianya merupakan perjalanan yang menakjubkan bagi seorang kanak-kanak miskin dari Pohang, yang impian nombor satunya dulu ialah semata-mata mendapat pekerjaan.

Perjalanan Lee adalah benar-benar kisah perjalanan dari miskin menjadi kaya. Dia juga telah menempuh perjalanan secara politik, dari seorang pelajar radikal yang telah dipenjarakan untuk kegiatan memprotes kepada seorang ketua negara yang konservatif.

Di tengah perjalanan itu, tokoh berusia 69 tahun ini telah berperanan penting membantu membina salah satu syarikat terkemuka Korea Selatan. Dalam satu temubual ekslusif dengan NPR di Blue House Presiden di Seoul, dia telah mengatakan tentang persamaan antara apa yang berlaku dalam hidupnya sendiri dan perubahan yang dialami oleh Korea Selatan. 

Diajar Untuk Tidak Mengemis

Anak kelima daripada tujuh anak dalam keluarga seorang petani miskin, Lee mengingati masa kanak-kanaknya sebagai kemiskinan yang "perit dan menyakitkan." Mencari makanan adalah suatu cabaran harian.

Autobiografi Presiden Lee Myung Bak,
Presiden Korea Selatan (2008-2013)
yang berjudul "The Uncharted Path"
(Jalan Yang Tidak Dirancang)
telah diterbitkan pada 2011
"Pada hari-hari tertentu, kami terpaksa menjauhkan rasa lapar dengan meminum banyak air, yang menjadikan keadaan lebih teruk," kata Lee, yang dengan cepat menyatakan bahawa keadaan keluarganya juga sering dialami banyak keluarga lain. "Aku mesti jelaskan bahawa seluruh negara sangat miskin pada waktu itu. Tetapi keluargaku, apabila dibanding dengan keluarga-keluarga lain, adalah tersangat miskin."

Autobiografi Lee, The Uncharted Path (Jalan Yang Tidak Dirancang) telah dilancarkan di Amerika Syarikat baru-baru ini. Dalam buku itu, dia menerangkan bagaimana semasa kanak-kanak, hidangan utamanya seringkali adalah keladak (hampas yang mendak ke bawah) nasi yang dimasak dengan arak, yang menjadikannya mabuk.

Meskipun dalam kemiskinan, ibubapa Lee - terutama ibunya - telah menanam nilai Kristian yang kukuh dalam dirinya, yang mana kemudiannya mempengaruhi falsafah politiknya.

"Satu sahaja perbezaan antara keluarga kami dan keluarga jiranku iaitu ibubapa jiranku akan keluar ke jalan untuk mengemis pertolongan," katanya. "Manakala ibubapaku mahu kami keluar untuk bekerja dan mencari nafkah daripada mencari jalan mudah mendapat sesuatu dengan mengemis pertolongan daripada orang lain."

Lee semasa mudanya
dengan pakaian seragam
Untuk itu, Lee telah bekerja untuk membiaya persekolahannya, menjual mancis buatan sendiri dan nasi yang dibungkus rumpair. Dalam autobiografinya, dia menulis bahawa dia memakai baju seragam sekolahnya pada setiap waktu kerana dia tidak memiliki pakaian lain.

Setiba Darjah 6, Lee menulis bahawa dia telahpun melakukan kebanyakan jenis kerja. Dia membiayai pendidikan universitinya dengan menjadi pemungut sampah, yang dikatakannya, "salah satu pekerjaan yang paling payah dan menjerihkan yang pernah kulakukan dalam hidupku."

Kejayaan Dalam Perniagaan, Kemudian Dalam Politik

Pada 1964, Lee telah membantu mengatur satu demonstrasi besar-besaran pelajar-pelajar yang tercetus dari kemarahan orangramai terhadap tindakan kerajaan memulihkan hubungan dengan Jepun. Kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat, dan Lee telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun, tempoh yang telah ditangguhkan selama tiga tahun.

Lee telah dibebaskan selepas tiga bulan, dan ianya gambaran betapa susahnya kehidupan Lee, bila dia sepertinya menikmati tempoh di penjara, di mana dia boleh membaca dan berfikir, tanpa merasa lapar. Dalam autobiografinya, dia menggambarkannya sebagai "waktu untuk pembaharuan, secara jasmani dan rohani."

"Apabila aku muda, harapan nombor satuku ialah untuk mendapat pekerjaan. Aku menyertai sebuah syarikat yang kecil bernama Hyundai - pada waktu itu ianya sebuah syarikat yang sangat kecil. Dan aku tahu bahawa memiliki pekerjaan bukanlah semata-mata untuk mencari kewangan, tetapi untuk memenuhi tanggungjawab yang mulia sebagai seorang manusia, dan untuk mencari kebahagiaan," katanya.


Lee Myung Bak sebagai akauntan di pejabat Hyundai di negara Thai (awal tahun1960an)

Lee bekerja 27 tahun di syarikat itu, di mana pada umur 35 tahun, dia telah menjadi CEO (Ketua Eksekutif) termuda Hyundai Construction. Di situ dia telah berperanan memenangi kontrak luar negara Korea yang pertama, untuk membina jalan di negara Thai. Itu penting secara simbolik: langkah pertama untuk membina Hyundai menjadi syarikat konglomerat antarabangsa yang amat besar hari ini.

Syarikat-syarikat lain mengikut langkah Hyundai, menjadi syarikat-syarikat konglomerat gagah yang memacu ekonomi Korea hari ini.

Di Hyundai, dia telah digelar "The Bulldozer" (Jentolak) kerana kecekalannya dan fokusnya yang kuat, sifat-sifat yang banyak membantunya ketika dia memasuki politik pada 2002, menjadi Datuk Bandar Seoul.

Kejayaan terbesarnya sebagai Datuk Bandar adalah projek pembaharuan perbandaran Cheoggyecheon yang amat diberi sanjungan, yang melibatkan pemulihan sungai Cheonggye yang telah ditutup dengan konkrit. Bagaimanapun, sebagai presiden, dasar-dasar yang diambilnya telah membuatnya tidak popular secara politik.

Babak Yang Seterusnya?

Begitupun, kisah kejayaan peribadinya mengatasi kesukaran mencerminkan kisah Korea Selatan, sebuah negara membangun yang telah bangkit menjadi negara maju dengan usaha kuat, yang mana telah disebut oleh Presiden Obama semasa lawatan rasmi Lee ke Amerika Syarikat Oktober lalu. 

"Kisah hidupmu, dari kemiskinan yang perit menjadi presiden, sangat menginspirasikan," Obama memberitahu Lee semasa jamuan makan malam rasmi. "Kejayaanmu - Kejayaan Korea - membuktikan kebenaran bahawa dengan pendidikan dan kerja kuat, apa sahaja boleh dicapai."


Lee Myung Bak dalam rumah tradisi Korea yang dipanggil "hanok"

Lee menyedari terdapat persamaan dalam kisah peribadinya dan kejayaan negaranya.

"Aku dulunya seorang kanak-kanak yang terpaksa berbaris ketika seorang mubaligh Amerika datang melawat kampungku untuk memberikan pakaian yang terpakai," dia memberitahu NPR. "Dan kanak-kanak yang kecil itu kini adalah presiden sebuah negara yang dulunya menerima bantuan daripada negara lain (dan) sekarang berupaya untuk memberi bantuan kepada negara-negara lain."

Lee hanya mempunyai lebih dari setahun dalam tempoh jawatannya sebagai presiden. Mengenai apa yang akan dilakukannya selepas itu, dia telah mendapat nasihat daripada Bill Gates. Lee berkata dia telahpun menderma kebanyakan daripada hartanya kepada yayasan kebajikannya dan telah meluangkan masa melakukan kerja-kerja sukarelawan di Ethiopia untuk memahami lebih jelas keperluan negara-negara Afrika yang lebih miskin. Selepas tamat tempohnya sebagai presiden, langkahnya yang seterusnya mungkin sebagai penderma. Nampaknya jalan yang tidak dirancang "seorang kanak-kanak miskin dari Pohang" belum selesai lagi. 

(Mengikut pindaan Perlembagaan Korea Selatan 1987, Presiden hanya boleh memegang jawatan untuk satu penggal sahaja sepanjang lima tahun)

(Diterjemah daripada artikel laman NPR berjudul "From Crushing Poverty to South Korea's Presidency" penulisan Louisa Lim bertarikh 15 November 2011)