Jumaat, 11 Oktober 2013

Menjelang Kes Rayuan Kalimah Allah, Gereja-Gereja Borneo Menyifatkan Larangan Melanggar Perjanjian Malaysia

Seorang penjual ubatan tradisi menunggu pelanggan di Pasar
Donggongon di Penampang, Sabah (Foto Malay Mail Online)


KUALA LUMPUR 10 Okt - Dengan pihak Mahkamah cuma beberapa hari dari membuat keputusan dalam kes rayuan kalimah Allah, gereja-gereja Sabah dan Sarawak telah bergabung hari ini untuk menegaskan bahawa melarang orang Kristian daripada memanggil Tuhan mereka "Allah" melanggar Perjanjian Malaysia 1963 yang menjadi asas penubuhan negara ini. 

Mendahului kata putus Isnin depan oleh Mahkamah Rayuan mengenai samada Gereja Kristian boleh menggunakan perkataan Arab itu, gereja-gereja Malaysia Timur itu menekankan bahawa "ianya sama sekali tidak dapat diterima" tindakan untuk menyekat penggunaan tersebut yang telah menjadi amalan biasa mereka selama berkurun-kurun.

"Ini sungguh menjelekkan, langsung tidak dapat diterima, dan pengkhianatan jelas Perjanjian Malaysia yang menjamin hak-hak yang tidak boleh dipisahkan untuk orang-orang bukan Muslim di Sarawak dan Sabah berkenaan kebebasan beragama," begitu diungkapkan dalam satu kenyataan oleh Datuk Bolly Lapok, pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak hari ini. 

"Gereja Bumiputera akan terus menggunakan Alkitab Bahasa Malaysia, bersama dengan perkataan 'Allah', yang mana kedua-duanya adalah penting dalam semua aspek pengucapan dan pengamalan keimanan Kristian," katanya lagi. 

Uskup Datuk Dr. Thomas Tsen, presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, menjelaskan dalam kenyataan yang disertakan bahawa dua pertiga daripada orang-orang Kristian di Malaysia adalah Bumiputera Sabah dan Sarawak, berjumlah seramai 1.6 juta orang, yang menggunakan Bahasa Malaysia dan bahasa-bahasa suku tempatan dalam acara ibadah mereka.

"Dengan penghormatan tertinggi kepada pihak berkuasa yang memerintah, samada mereka adalah cabang pemerintahan dalam perundangan, eksekutif atau kehakiman, kami meminta agar prasangka keagamaan, perkauman dan tindakan pelampau tidak harus diteruskan dan tidak diizinkan bertambah teruk dan meracuni negara kita Malaysia," kata Tsen.

"Secara khusus mengenai penggunaan kata "Allah", melarang penggunaan kata 'Allah' akan serta-merta menjadikan penduduk-penduduk tempatan Bumiputera ini pelanggar undang-undang di tanah di mana mereka adalah pribumi," tambahnya. 

Mahkamah Rayuan pada bulan Ogos telah membuat keputusan mengizinkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 2009, yang menjadi isu utama dalam hubungan antara agama yang dingin di negara ini dalam masa tiga tahun yang lepas. 

Keputusan Mahkamah Tinggi 2009, yang menegakkan hak berpelembagaan Gereja Katolik untuk menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah mingguan The Herald, telah mengejutkan orang-orang Muslim Malaysia yang menganggap perkataan itu eksklusif untuk Islam.

Ianya juga telah membawa kepada serentetan serangan ke atas rumah-rumah ibadah, termasuk pengeboman sebuah gereja, sebab orang-orang Muslim Malaysia umumnya menganggap perkataan "Allah" merujuk secara khusus kepada Tuhan mereka. 

Kedua-dua Lapok dan Tsen menjelaskan hari ini bahawa Kertas Kerajaan "Malaysia dan Sarawak", bertarikh 4 Januari 1962 dan juga dicerminkan dalam Kertas Kerajaan Borneo Utara yang berkaitan, menyatakan: "Walaupun Malaysia akan menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang telah diperbesarkan, tidak akan ada halangan yang diletakkan ke atas amalan agama-agama lain. Kebebasan agama yang sepenuhnya dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan."

Pemimpin-pemimpin gereja itu juga menegaskan bahawa Penyelesaian 10 Perkara yang dikeluarkan oleh pentadbiran Najib pada 2011 mengizinkan percetakan, pengimportan dan pengedaran Alkitab Bahasa Malaysia yang mengandungi perkataan "Allah".

"Kami ingin mengulangi bahawa Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk Malaysia pada 1963 dengan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dengan syarat jelas bahawa akan ada kebebasan beragama yang sepenuhnya tanpa apa-apa halangan dikenakan ke atas agama-agama lain," kata mereka.

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel laman Malay Mail Online bertajuk "As 'Allah' Appeal Nears, Borneo Churches Says Ban Violates Malaysia Agreement" bertarikh 10 Oktober 2013 penulisan Boo Su-Lyn)