Selasa, 7 Januari 2014

Mahkamah Persekutuan Perlu Segera Selesai Isu Allah, Kata Bekas Peguam Negara

Tan Sri Abu Talib Othman
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman mahu Mahkamah Persekutuan Malaysia mengadakan sidang prosiding berhubung isu Allah pada kadar segera supaya satu keputusan muktamad terhadap perkara itu dapat diambil dan “menghalang ketidakadilan berlalu”.


Beliau berkata, isu itu amat penting kepada masyarakat awam dan mahkamah apex perlu mengambil tindakan segera, dan bukannya melihat kejadian yang berlaku membentuk isu berkenaan.

“Ia agak menghairankan apabila Mahkamah Persekutuan memerhatikan dari sisi isu yang membabitkan kepentingan nasional. Anda tidak boleh membenarkan ketidakadilan berlalu begitu sahaja.

“Jika ia tidak dikendalikan dengan sempurna, ia boleh membawa kepada mengganggu-gugat kestabilan politik dan perpaduan rakyat dalam negara,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Abu Talib, yang menjadi Peguam Negara antara 1980 hingga 1993, berkata kunci kepada masalah semasa itu ialah keputusan daripada Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa siri kejadian yang berlaku sejak Khamis lalu apabila gabungan kumpulan Melayu-Islam mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan berkumpul di sebuah gereja di Klang untuk menyampaikan memorandum bantahan terhadap penganut Kristian yang berkeras untuk menggunakan kalimah Allah.

Pengarang Herald, Father Lawrence Andrew yang terdahulu membuat kenyataan bahawa semua gereja di Selangor akan terus menggunakan perkataan itu, walaupun ia bertentangan dengan keputusan Mahkamah Rayuan dan dekri oleh Sultan Selangor.

Khamis lalu, tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas kira-kira 300 salinan Bible dalam Bahasa Malaysia dan Iban menambah lagi ketegangan antara umat Islam dan penganut Kristian.

Abu Talib berkata, mahkamah apex sepatutnya mempercepat perbicaraan kes itu kerana tiada penangguhan penghakiman di Mahkamah Rayuan yang mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, Gereja Katolik juga memfailkan kebenaran permohonan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

“Jadi mengapa perlu melengah-lengahkan untuk menghakimi isu agama,” katanya.

Pada 12 November, barisan peguam gereja menyerahkan 26 soalan kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang pentadbiran serta kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi itu.

Bagaimanapun, pendaftar Mahkamah Persekutuan menetapkan 24 Februari depan untuk mendengar kebenaran permohonan itu.

Abu Talib, yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkata, isu itu semakin sukar kerana ia dipolitikkan berikutan kurangnya kepimpinan yang tegas.

“Kita ada ahli politik yang kata perkataan itu dilarang di Semenanjung tetapi boleh digunakan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Abu Talib berkata, beliau hairan berhubung isu kerana hanya ada “satu Malaysia, satu Perlembagaan, satu Islam dan satu Al-Quran”.

Beliau berkata, Putrajaya juga perlu menyemak penyelesaian 10-perkara yang dibuat pada 2011 dalam konteks keputusan Mahkamah Persekutuan.

Antara yang utama ialah Bible dalam bahasa Melayu, Indonesia atau pelbagai bahasa kaum di Sabah dan Sarawak yang mengandungi perkataan itu boleh digunakan di semua gereja seluruh negara.

Kemelut kalimah Allah itu bermula pada 2008 apabila Herald dilarang menggunakan perkataan itu oleh Kementerian Dalam Negeri.

Gereja Katolik kemudian mencabar larangan itu dan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 berpihak kepada mereka yang membenarkan mereka menggunakan perkataan itu dalam terbitan mingguannya.

Putrajaya membuat rayuan dan berjaya menterbalikkan semula keputusan itu apabila Mahkamah Rayuan pada Oktober lalu memutuskan bahawa “Allah bukan sebahagian daripada keimanan Kristian”.

Mahkamah Rayuan juga menegaskan bahawa Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tepat melarang penggunaan perkataan itu dalam Herald untuk melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Penganut Kristian membentuk kira-kira 9% daripada populasi rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 2.6 juta orang.

Hampir dua pertiga daripada mereka adalah kaum Bumiputera dan kebanyakannya berada di Sabah dan Sarawak, dan biasanya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa suku masing-masing ketika mengamalkan agama mereka, termasuk merujuk kepada Tuhan sebagai Allah dalam doa serta kitab suci mereka.

Selain Kristian Bumiputera dari Sabah dan Sarawak, sebahagian daripada mereka sudah berpindah ke Semenanjung untuk menetap atau bekerja, penganut Kristian di kalangan Orang Asli di Semenanjung juga lazimnya menggunakan bahasa Malaysia untuk bersembahyang


(Dipetik daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Mahkamah Persekutuan Perlu Segera Selesai Isu Allah, Kata Bekas Peguam Negara" penulisan V. Anbalagan bertarikh 7 Januari 2014)