Isnin, 6 Januari 2014

Majlis Perpaduan Mahu Putrajaya Patuhi Penyelesaian 10-Perkara Dengan Kristian

Tan Sri Samsudin Osman,
Pengerusi Majlis Perundingan
Perpaduan Nasional (MPPN)
Mesyuarat pertama Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) membuat pendirian menyesali serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Persatuan Bible Malaysia (PBM) kerana ia melanggar penyelesaian 10-perkara yang dibuat Putrajaya dengan penganut Kristian sebelum ini.

Sehubungan itu, MPPN meminta Putrajaya untuk memastikan semua pihak mematuhi penyelesaian 10-perkara yang dibuat April 2011 lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, Putrajaya juga perlu memberikan tindakan segera terhadap isu perpaduan nasional kerana ia menjadi isu yang sangat penting.

"Kami juga menuntut pemimpin daripada semua parti politik untuk memastikan tindakan sedemikian tidak berulang bagi memastikan tidak ada lagi ketegangan kaum dan agama di negara ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Kuala Lumpur hari ini.

Samsudin merujuk kepada tindakan Jais yang 2 Januari lepas yang menyerbu pejabat PBM dan merampas lebih 300 Bible versi bahasa Melayu dan Iban.

MPPN adalah badan pelbagai pihak yang ditubuhkan oleh kerajaan sebelum ini untuk menjaga kepentingan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

Turut serta adalah pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof yang banyak membuat perhubungan dengan gereja sebelum ini.

Bagaimanapun, Samsudin yang juga pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bekas ketua setiausaha negara, tidak mahu melebelkan tindakan Jais itu "salah" kerana katanya, MPPN mesti mengambil tindakan tidak berpihak dalam isu ini.

"Kita mesti berdiri di atas. Sebagai bapa, anda tidak boleh menyalahkan seorang anak dan mengenepikan yang lain," katanya sebagai contoh.

Untuk tindakan segera, MPPN akan mengadakan sessi dialog tertutup dengan pihak berkuasa agama, pemimpin komuniti dan agama "untuk mencari penyelesaian damai."

"Buat masa ini kita berharap mendapat penyelesaian damai ke atas isu ini," katanya dengan menambah majlis itu tidak akan menyentuh penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

"Kita tidak akan menyentuh isu kalimah Allah. Kita serahkan kepada orang agama untuk menyelesaikannya. Kita bercakap tentang serbuan ke atas rumah ibadat. Kita tidak mahu ia berlaku lagi.

"Tidak ada sesiapun patut campur tangan dalam agama pihak lain," tambah Samsudin.

MPPN, katanya, akan menjadi jambatan perpaduan dengan menganjurkan siri dialog dengan akar umbi di 17 bandar dan pekan seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuantan, Kangar dan Ipoh untuk mendengar pandangan mereka.

Pertemuan pertama akan dibuat di ibu negara pada 22 Februari ini dimana maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.

Katanya, jawatankuasa kerja untuk siri dialog ini akan berbincang dengan Jais bagi mencari penyelesaian bermakna mengenainya.

Ketika ditanya apakah Sultan Selangor yang mengetuai agama di negeri itu juga akan diajak berbincang, Samsudin berkata, isu itu tidak dibincangkan.

"Saya fikir…boleh jadi tidak perlu sampai ke tahap itu kerana Sultan berada di atas semua bangsa," katanya.

Majlis itu juga membuat keputusan untuk  membentuk “blueprint” MPPN dalam masa dua tahun.

"Tetapi MPPN akan membentuk blueprint sementara yang akan siap dalam masa enam bulan, sebagaimana yang diarahkan untuk disiapkan oleh perdana menteri," katanya.

Majlis itu mempunyai 30 ahli termasuk  ahli parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa, bekas timbalan menteri pelajaran  Datuk Saifuddin Abdullah, bekas presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee, aktivis Datin Paduka Marina Mahathir dan timbalan pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

















MPPN ditubuhkan selepas pilihanraya ke-13 di mana isu perpaduan menjadi fokus utama.

Antara isunya termasuklah penggunaan nama Allah oleh bukan Islam dan isu pelajar bukan Islam dipaksa makan di sebelah tandas semasa bulan Ramadan yang menimbukkan kemarahan banyak pihak.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, kabinet akan membincangkan segala penemuan MPPN dan akan membuat keputusan untuk dilaksanakan segala cadangannya atau tidak.

Fokus MPPN adalah untuk membuat promosi perpaduan nasional dan harmoni. Perbincangan tentangnya sepatutnya dibuat di bilik tertutup dan bukan secara terbuka untuk menjaga keamanan dan harmoni. - 6 Januari, 2014.

(Dipetik daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Majlis Perpaduan Mahu Putrajaya Patuhi Penyelesaian 10-Perkara Dengan Kristian" penulisan Elizabeth Zachariah pada 6 Januari 2014)