Christopher Leong, Presiden Majlis Peguam |
Majlis Peguam membidas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
susulan serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) semalam, yang
disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Presidennya, Christopher Leong berkata serbuan
agensi agama tersebut melangkaui kuasa yang diperuntukkan kepada mereka.
"Ia sangat membimbangkan apabila badan agama atau
agensi penguatkuasaan sesebuah agama mempunyai kuasa ke atas agama-agama lain.
"Ini tidak seperti yang dicerminkan dalam Perlembagaan
Persekutuan," kata Leong dalam satu kenyataan hari ini.
Leong turut menegaskan asas tindakan yang diambil
Jais, Enakmen No.1 Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan
Orang Islam) 1988 khususnya seksyen 9 hingga 13, bertentangan dengan
perlembagaan.
Seksyen tersebut menggariskan seseorang bukan Muslim telah
melakukan kesalahan sekiranya menggunakan kalimah Allah yang dilarang
penggunaannya oleh penganut agama lain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam
Enakmen 1988 tersebut.
"Peruntukan yang diragukan tersebut juga bertentangan
dengan perlembagaan kerana ia tidak disokong oleh Perkara 11 (4) Perlembagaan
Persekutuan," tegas Leong.
Menurut Leong lagi, Artikel 11 (3) Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan mana-mana agama untuk dikawal selia sendiri yang bertujuan bagi
memelihara keharmonian beragama.
"Maka itu, ia adalah bertentangan untuk Jais sebuah
badan agama Islam atau agensi penguatkuasa untuk mempunyai bidang kuasa, kuasa
dan naungan ke atas agama lain atau individu yang mengamalkan agama lain.
"Tindakan ini nyata sama sekali bertentangan dengan
semangat Perlembagaan Persekutuan," kata Leong lagi semasa menjelaskan
mengenai batas kuasa yang dimiliki oleh Jais.
Leong juga berkata rampasan dan tangkapan dua individu di
premis PBM adalah salah di sisi undang-undang dan perlembagaan.
"Tindakan Jais tersebut adalah provokasi yang tidak
wajar dan tidak munasabah," terang beliau lagi.
Tengahari semalam, Jais menyerbu pejabat Persatuan Bible
Malaysia (BSM) di Damansara Kim dan merampas kira-kira 320 Bible berbahasa
Melayu dan Iban.
Dua pegawai BSM iaitu pengerusinya Lee Min Choon dan
Sinclair Wong diarahkan ke Balai Polis Damansara untuk diambil keterangan
mereka dan hanya dilepaskan dua jam kemudian. – 4 Januari 2014.
(Dipetik daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Perlembagaan Tidak Beri Jais Kuasa Ke Atas Penganut Agama Lain, Kata Majlis Peguam" penulisan Md Izwan bertarikh 4 Januari 2014)