Jumaat, 3 Januari 2014

Serbuan Ke Atas Persatuan Alkitab Melanggar Penyelesaian 10 Perkara, Kata Bekas Menteri Bernard Dompok

Tan Sri Bernard Dompok,
Presiden Parti Upko,
Parti Upko, parti komponen Barisan Nasional dari Sabah hari ini memperingatkan Putrajaya bahawa serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Bible Society of Malaysia (BSM) semalam adalah bertentangan tujuan Penyelesaian 10 Perkara yang telah dicapai di antara kerajaan dan kumpulan-kumpulan Kristian.

"Jelas sekali, tindakan ini adalah bertentangan dengan apa yang tersurat dan tersirat dalam Penyelesaian 10 Perkara yang telah disahkan oleh kabinet pada April 2011. Belum disebut, ianya juga melampaui kuasa Perlembagaan Persekutuan," kata Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok.

Dompok berkata bahawa Perdana Menteri seharusnya menunaikan apa yang telah dijanjikannya, sesuatu yang mampu dilakukannya.

Menurut Penyelesaian 10 Perkara yang diumumkan pada 2011 oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala, Putrajaya akan mengizinkan pengimportan Alkitab dalam semua bahasa, termasuk terjemahan Bahasa Malaysia/Indonesia. 

Persetujuan itu juga menyatakan bahawa Alkitab boleh dicetak secara tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Sambil mengecam tindakan daripada Jais, Dompok mengingatkan bahawa Lembah Kelang didiami oleh lebih 30,000 orang Sabah dan Sarawak, ramai di antara mereka mengikuti ibadah di gereja dalam Bahasa Malaysia di mana kata "Allah" merupakan sebahagian daripada ibadah mereka. 

"Lebih merumitkan lagi, kes ini masih menantikan penghakiman daripada Mahkamah Persekutuan," katanya sambil merujuk kepada rayuan Gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lepas, yang membenarkan larangan oleh Kementrian Dalam Negeri ke atas majalah mingguan Herald milik Katolik daripada menggunakan kata "Allah."

"Saya telah merasakan selama ini, bahawa Putrajaya tiada pilihan lain tetapi untuk mempertahankan aspirasi yang menjadi dasar para pemimpin pengasas negara semasa mendirikan negara ini. Ianya bukan secara kebetulan bahawa prinsip pertama dalam Rukunegara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan," kata Dompok.

Sambil mengatakan bahawa "dia sangat berdukacita dan terkilan" oleh sikap pihak berkuasa yang hanya mengucapkan tetapi tidak melaksanakan kebebasan beragama di negara ini, Dompok menjelaskan bahawa perkembangan terbaru ini adalah bercanggahan dengan para pemimpin pengasas negara. 

Dia menyeru kepada pemimpin-pemimpin negara, termasuk pihak pembangkang, untuk memastikan prinsip-prinsip pengasasan Malaysia tidak akan dilanggar untuk kepentingan politik.

"Para pemimpin perlu membawa negara ini ke arah yang sewajarnya. Kita mesti mempelajari daripada tragedi yang telah terjadi di negara-negara di sekeliling dunia apabila para pemimpin mereka mengambil tindakan untuk mencabar asas yang telah membawa kewujudan negara mereka," tambahnya lagi.

Dompok, seorang menteri persekutuan selama 14 tahun sehingga Mei tahun lepas, menyeru kepada masyarakat Kristian dan rakyat Malaysia yang lain agar berdoa supaya keadaan negara bertambah baik. 

"Mungkin lebih lagi untuk pemimpin-pemimpin kita daripada semua sektor kehidupan, berganding tangan untuk hidup mengikut Perlembagaan. Marilah kita bergerak maju bersama dan menjadikan negara ini lebih berjaya lagi."

Semalam, sepasukan pegawai penguatkuasa Jais dan dua anggota polis telah menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, tanpa menunjukkan waran kebenaran menggeledah atau surat kuasa. 

Mereka juga telah merampas lebih kurang 300 naskah Alkitab versi Bahasa Malaysia dan Iban, dan menahan pengerusi BSM, Lee Min Choon dan pengurus pejabat Sinclair Wong, yang kemudiannya dilepaskan dengan ikat jamin. Mereka berdua telah diberitahu untuk hadir di ibu pejabat Jais pada 10 Januari. 

(Diterjemahkan daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Raid on Bible Centre Violates 10-Point Solution, Says Former Minister Bernard Dompok" penulisan Eileen Ng bertarikh 3 Januari 2014)