Selasa, 8 Julai 2014

Brazil 2014: Kesaksian Syukur 5 Penjaring Gol Di Piala Dunia

Ada orang yang mengatakan bahawa bola sepak dan iman tidak boleh bercampur. Tetapi dalam Piala Dunia 2014 ini, kita dapat melihat bahawa iman itu hidup dalam seseorang peribadi dan ianya dinyatakan dalam seluruh lapangan kehidupan termasuk di padang bola sepak. Berikut lima kesaksian yang paling kusukai dari laporan Christian Today mengenai kesyukuran beberapa penjaring gol di Piala Dunia FIFA 2014;

5. Joel Campbell dan Mazmur 27

Dalam setiap pertandingan Piala Dunia akan muncul seorang bintang baru yang tidak disangka-sangka - seorang wira yang bangkit dari latar belakang kurang dikenali untuk menyemarakkan pentas dunia. Salah satu pemain seperti itu di Piala Dunia 2014 ialah Joel Campbell yang telah menjadi pembawa tuah kejayaan Costa Rica yang tidak disangka-sangka. Campbell mengatakan bahawa Tuhanlah tonggak utama dalam kehidupannya, bahkan melebihi daripada keluarganya, dan dia mengucapkan Mazmur 27 sebelum setiap perlawanan - termasuk perlawanan menentang Uruguay, di mana dia menjaringkan gol.

Joel Campbell

4. Daniel Sturridge memuji Yesus

Itulah detik yang memberi harapan sementara kepada sebuah negara. Gol penyamaan Daniel Sturridge untuk England menentang Itali mengembalikan peluang negaranya dalam pertandingan ini - untuk seketika. Sambil dia berlari dengan sukacita, kamera TV merakamkannya memuji Tuhan dengan kata-kata ini, "I love you Jesus, and I praise you Father."

Daniel Sturridge

3. Lionel Messi bersyukur kepada Tuhan

Seorang Katolik yang saleh, Lionel Messi mempunyai kawan-kawan di kedudukan tinggi - tahun lepas dia telah diberi kesempatan bertemu Paus Francis yang juga warga Argentina. Dengan itu Paus mempunyai dua sebab untuk bersorak kerana Messi telah menyemarakkan Piala Dunia ini dengan kemahirannya yang mengasyikkan dan rembatannya yang menggegarkan - dan belum lagi disebut kebiasaannya yang memuliakan Tuhan selepas menjaringkan gol.

Lionel Messi

2. Pasukan Colombia memberi kemuliaan kepada Tuhan

Diterajui oleh bintang baru James (disebut 'Hamez') Rodriguez, pasukan muda Colombia yang handal ini tidak ragu-ragu siapakah yang pemilik kemenangan secara keseluruhan. Pasukan itu penuh dengan pemain Kristian, dan pemain terbaik mereka, Radamel Falcao, adalah seorang pastor muda-mudi secara sukarela tetapi tidak dapat menyertai pertandingan ini kerana kecederaan. 

Pasukan Colombia

1. Neymar pemain yang memberi 10% - menyerlah dalam pertandingan

Beban di bahunya selaku wira pasukan tuan rumah adalah berat sekali, tetapi dengan empat gol dalam tiga perlawanan, Neymar dari Brazil telah menunjukkan ketenangan yang terpuji untuk seorang anak muda (dia baru berusia 22 tahun), sebahagian daripada sebabnya mungkin kerana imannya yang stabil dalam Tuhan; seorang Kristian yang komited, dia memberi persepuluhan daripada gajinya yang besar di Barcelona kepada gerejanya. 

Neymar

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel Christian Today bertajuk, "Brazil 2014: 10 Amazing God Moments Of The World Cup" penulisan Martin Saunders bertarikh 3 Julai 2014)