Khamis, 3 Julai 2014

Tim Howard Ingin Memashyurkan Tuhan, Bukan Dirinya

Tim Howard menyelamatkan satu lagi cubaan berbahaya oleh Belgium
dalam perlawanan Piala Dunia antara Amerika Syarikat dan Belgium
pada 1 Julai 2014 di Arena Fonte Nova di Salvador, Brazil

Penjaga gol, Tim Howard memberikan permainan terbaik dalam hidupnya, tetapi pada akhirnya Amerika Syarikat tidak dapat mengalahkan Belgium. Belgium menang 2-1 dalam perlawanan Piala Dunia hari ini dan menyingkirkan Amerika Syarikat dari kejohanan. Pemain-pemain Belgium mengasak kubu gol Amerika dengan percubaan demi percubaan sepanjang perlawanan. Keputusan perlawanan mungkin lebih teruk lagi jika bukan Howard yang menjadi penyelamat di gawang gol - mencatat 16 cubaan yang diselamatkan, paling banyak pernah dilakukan oleh seorang penjaga gol di Piala Dunia - ABC News, 1 Julai 2014.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Berikut ini ialah petikan daripada sebuah artikel yang telah ditulis untuk Worldwide Challenge pada 2006. Sejak artikel tersebut ditulis, Tim Howard telah berpindah dari Manchester untuk bermain bagi Everton dan bagi pasukan kebangsaan Amerika Syarikat dalam Piala Dunia 2010 dan 2014. 

Di England, di mana kurang daripada 16% penduduknya beribadah di gereja, penduduknya memberi tumpuan di tempat-tempat lain - seperti di perlawanan-perlawanan bola sepak. 

"Manchester United ialah agama," begitu tertulis pada sebuah kain rentang besar berwarna merah yang tergantung di Old Trafford. Stadium yang besar itu yang memuatkan hampir 70,000 penonton adalah medan di mana bintang-bintang bola sepak seperti George Best dipuja. 

"Tahap fanatiknya," kata Tim, "jauh melebihi apa yang dapat kita bayangkan di Amerika. Penonton-penontonnya sungguh-sungguh hidup dan mati dengan setiap kemenangan dan kekalahan."

Dalam sukan yang disanjung tinggi dari Britain sampai ke Brazil, Tim Howard menggunakan pentasnya sebagai pemain bola sepak untuk membawa kemuliaan kepada Tuhan, bukan dirinya. 

Dengan ketinggian 6 kaki 3 inci, tinggi dan berotot tegap, dengan tangan yang besar, dia boleh dengan mudah menjadi pemain bola keranjang. Dan sebenarnya, Tim boleh saja bermain bola keranjang semasa di kolej, tetapi dia telah pergi terus ke New York / New Jersey Metrostars, sebuah pasukan Major League Soccer (MLS), dan bermain perlawanan pertamanya pada usia 19 tahun. 

Selepas Tim menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa musim, pencari bakat baru dari Man U mula mengambil perhatian. Mereka percaya bahawa Tim adalah jawapan kepada masalah pasukan mereka dalam penjagaan gol dan menandatangan kontrak dengannya pada 15 Julai 2003 - pemain Amerika yang pertama bermain sebagai penjaga gol Man U.

Tidak ramai pemain Amerika yang terpilih untuk bermain di Liga Eropah - tahap pertandingan yang paling tinggi di dunia. Tim dengan cepat mendapat pujian, bermula dengan perlawanan pertamanya menentang pasukan Itali, Juventus, dalam perlawanan di mana dia telah menyelamatkan dengan baik hampir sedozen cubaan gol. 

Dalam satu cubaan gol, seorang pemain Juventus merembat kencang ke arah gol, ianya kelihatan gol yang sudah pasti, namun Tim sempat melompat ke sisi seperti seorang akrobat trapez, dan menepis bola keluar.  

"Oh, Tim Howard menyelamatkan dengan cantik sekali!" begitu jerit pengulas. 

Dalam musim pertama Tim, yang merangkumi 29 permainan, dia telah mencatit 11 shutouts (menghalang pihak lawan daripada membolosi gawangnya) dan memenangi gelaran Penjaga Gol Terbaik 2004.


Tim Howard pernah mewakili Manchester United

Pengalaman Tim selama beberapa tahun di liga bola sepak Amerika telah membantu menyediakannya untuk England, secara profesional dan rohani. "Aku sampai ke persimpangan jalan," kata pemain berusia 27 tahun itu. Sambil dia mengecap kejayaan di padang, dia menyedari bahawa dia mempunyai dua pilihan; berusaha keras menjadi idola sukan, ataupun memberi kemuliaan kepada Tuhan. Tim membuat komitmen untuk memberi kemuliaan kepada Penciptanya. 

Dalam tempoh itu, Tim telah melibatkan diri dengan Athletes In Action, pelayanan sukan di bawah Cru. Melalui AIA, dia telah menjalinkan persahabatan dengan ramai daripada rakan sepasukannya dan juga pastor pasukan, Rob Skead.

Di New Jersey, Tim dan pemain-pemain lain sering bertemu di sebuah kedai buku Barnes and Nobles untuk mengkaji Injil Yohanes. "Tidak ada orang yang mengenali siapa kami," kata Rob, seorang anggota bersekutu AIA. "Lainlah kalau kami dari pasukan Giants atau Yankees."

Tim Howards bergambar dengan Alex Ferguson
selepas menandatangan kontrak untuk menyertai
pasukan Manchester United pada tahun 2003
Sebagai seorang pemain bola sepak di England, Tim tidak lagi dapat kekal sebagai orang yang tidak dikenali. Walaupun alamatnya tidak disenaraikan, kanak-kanak sejiran sering menekan loceng pintunya atau mengintip melalui pagar. Dia sentiasa dalam perhatian umum.

Pemain-pemain Man U pastinya akan menjadi selebriti; itu adalah warisan.

Bekas pemain tengah David Beckham, yang kini bermain untuk pasukan lain, adalah simbol seks antarabangsa. Terkenal dengan tendangan percumanya yang melencong dan untuk fesyennya, Beckham telah menjadi sumber inspirasi sebuah filem dan juga dihormati dengan sebuah patung lilin menyerupainya. "Ada orang yang suka disanjungi," kata Tim. "Bagiku, itu adalah bebanan."

Apabila Tim berpindah ke England, dia tidak lagi dikelilingi oleh semua kawan-kawan Kristiannya. Dia merasa kecewa semasa mencari gereja. Dia terpaksa melalui masa yang sunyi dan sepi dan mendapatkan kawan-kawan baru. Tim sedar bahawa dia perlu terbuka mengenai imannya.

Di sebuah negara di mana orang mungkin tidak mahu mendengar mengenai Kekristianan, Tim adalah seorang yang lantang mengenai imannya.

Tim berusaha menyatakan imannya dalam kehidupan seharian, melalui perbuatannya dan kadangkala melalui perbualannya. Selepas pengeboman 2005 di London, seorang rakan sepasukan menanya Tim, "Jika Tuhan begitu baik, kenapakah Dia mengizinkan pengganas untuk mencederakan orang-orang yang tidak bersalah?" Soalan itu telah membawa kepada suatu perbincangan rohani yang menarik.

Apabila dia tidak pergi untuk perlawanan bersama pasukannya, Tim menjadi sukarelawan dengan L8r Club, persekutuan muda-mudi Bramhall Baptist Church. Pada hari Selasa, Tim bermain bola sepak dengan anak-anak muda sebelum dan selepas perbincangan Alkitab di tempat meletak kereta di kawasan gereja - walaupun dia mempunyai perlawanan pada keesokan harinya.

Kebanyakan muda-mudi itu bukan orang percaya. "Waktu yang paling indah bagiku," kata Tim, "ialah sewaktu aku melihat terjadi perubahan pada mereka. Untuk melihat mereka mula mengerti siapa sebenarnya Allah dan Kristus."

"Tempoh masa mengkagumi bertahan lebih kurang dua minggu," kata pastor Bramhall, Steve Rowley, "dan kemudiannya muda-mudi ini mula menerimanya cuma sebagai Tim."




Jika Tim adalah idola sukan, musim keduanya dengan cepat menyedarkannya. Tim memberikan persembahan di bawah paras biasa dalam beberapa perlawanan, termasuk terlepas sebuah gol yang penting, yang menyingkirkan Man U daripada persaingan merebut kejohanan pada tahun itu.

Jurulatih menggantikan Tim dengan penjaga gol, Roy Caroll - suatu contoh jelas betapa kerasnya dunia bola sepak Eropah. Pada tahun ini, penjaga gol Belanda Edwin van de Sar menjadi pilihan utama.

Tetapi Tim menerimanya dengan tenang. "Ada lagi 11 orang rakan-rakan dalam pasukan ini yang tidak bermain pada ketika ini," katanya, "jadi anda tidak akan mendengarku mengeluh, 'Kesiannya aku." Kontrak Tim dengan Man U adalah sehingga 2009 - menandakan nilainya kepada kelabnya.

Apapun masa depannya, Tim telah membuktikan bahawa dia boleh bermain dengan mereka yang terhandal. Selain Man U, Tim juga bermain untuk pasukan kebangsaan Amerika Syarikat. Seluruh dunia akan memerhatikan perlawanan-perlawanan Piala Dunia 2006, yang akan berakhir dengan perlawanan akhir pada bulan Julai.

Pada satu sesi L8r Club, anak-anak muda itu menanya Tim soalan yang berterus-terang - perkara-perkara yang mungkin orang dewasa segan menanyakan: "Bagaimanakah anda terlepas gol itu?" "Apakah rasanya tidak menjadi penjaga gol utama?"

Salah satu respons daripada Tim cukup menjelaskan. "Perkara yang paling penting dalam hidupku," Tim memberitahu mereka, "ialah Kristus. Dia lebih penting bagiku daripada menang atau kalah ataupun samada aku bermain atau tidak. Segala perkara lain adalah bonus."

Dia mengatakannya dengan penuh erti, seperti dia tahu kepada siapakah dia harus memberi penghargaan. "Segala pujian bagi Tuhan," katanya.

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel laman Cru bertajuk "Tim Howard: The Goalkeeper" penulisan Chris Lawrence bertarikh 1 Mei 2006)