Khamis, 17 Julai 2014

Uncle Sim Enggan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Wanita

Warga tua Uncle Sim berhadapan dengan pembuli jalanraya

KUALA LUMPUR: Ketika seluruh masyarakat termasuk pemimpin atasan polis mahu supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap wanita yang bertindak membulinya dalam kejadian di parkir kenderaan bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, Isnin lalu.

Namun lelaki warga tua menjadi mangsa bertindak sebaliknya dengan berjanji tidak akan mengambil tindakan undang-undang.

Pesara kerajaan, Sim Siak Heong, 68, memutuskan untuk tidak membuat laporan berhubung kejadian itu sebaliknya memaafkan 'pembulinya' dan sudah berjanji untuk tidak mengambil sebarang tindakan susulan.


Uncle Sim
Walaupun dia dan isterinya masih trauma dengan kejadian itu, keputusannya untuk tidak mengambil tindakan itu adalah berdasarkan kepada ajaran agamanya (Katolik) yang meminta seseorang itu tidak berbalas dendam serta menyusahkan orang lain. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi keterangan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang.


Video: Temubual Astro Awani dengan Uncle Sim


Menceritakan semula kejadian itu, Siak Heong yang memandu kenderaan jenis Toyota Corolla, berkata dia dalam perjalanan pulang selepas berurusan di syarikat insurans berhampiran dan mengambil isterinya di bangunan UTC.

Katanya, ketika itu jalan sesak dan tidak sedar melanggar kenderaan lain sebelum secara tiba-tiba wanita itu terus memarahi termasuk mencaci dengan perkataan kesat.

Kejadian Siak Heong dibuli oleh seorang wanita dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan video berdurasi 2.33 minit yang dimuat naik di laman sosial seperti FB, Twitter dan juga Youtube menjadi ‘viral’ dan ‘trending’.


Video: Uncle Sim dibuli di tempat kejadian kemalangan 



Sementara itu, usaha untuk menghubungi wanita berusia 30 tahun yang terbabit dalam kejadian itu gagal apabila panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab.

Difahamkan, wanita yang mencetuskan kemarahan orang ramai itu akan memberikan keterangannya di IPD Kuantan hari ini kerana berada di Kuala Lumpur.

(Diambil daripada artikel laman Astro Awani bertajuk, "Uncle Sim Enggan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Wanita" bertarikh 16 Julai 2014)