Sabtu, 19 Julai 2014

Umat Kristian Mosul Diancam Bunuh Jika Tidak Masuk Islam Atau Bayar Cukai Jizya

Kumpulan militan Islam Isis telah memberitahu orang-orang Kristian
di Mosul untuk memeluk Islam, membayar cukai jizya atau dibunuh

Umat Kristian Iraq sedang melarikan diri daripada Mosul selepas militan Islam mengancam untuk membunuh mereka sekirannya mereka tidak memeluk Islam atau membayar satu "cukai perlindungan."

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Islamic State in Iraq and Levant (ISIS) telah dibacakan di masjid-masjid kota itu.

Ianya menyuruh orang-orang Kristian mematuhi sebelum tengahari hari Sabtu atau menghadapi maut jika mereka tidak meninggalkan kota bahagian utara itu.

Isis telah menguasai bahagian-bahagian besar Syria dan Iraq dan menyatakan bulan lepas bahawa mereka sedang mendirikan Khalifah Islam.

Kata dua itu menyebut mengenai kontrak bersejarah yang dipanggil "dhimma," di mana orang-orang bukan Islam dalam masyarakat-masyarakat Islam yang enggan bertukar agama ke Islam ditawarkan perlindungan jika mereka membayar suatu yuran yang dipanggil "jizya".

"Kami menawarkan mereka tiga pilihan: Islam, kontrak "dhimma" - melibatkan pembayaran jizya; jika mereka enggan mereka tidak akan dapat apa-apa kecuali pedang," begitu dinyatakan dalam kenyataan Isis. 

"Keluarga-keluarga Kristian dalam perjalanan ke Dohuk dan Irbil," di wilayah bebas Kurdistan yang bersebelahan, pemimpin agama Louis Sako memberitahu agensi berita AFP.




"Untuk kali pertama dalam sejarah Iraq, Mosul sekarang tiada sudah orang Kristian," katanya. 

Pemimpin agama itu, salah seorang paderi paling senior di Iraq, berkata para militan telah dilihat menandakan rumah-rumah orang Kristian dengan huruf N untuk Nasrani, istilah yang digunakan untuk Kristian dalam Al-Quran. 

Iraq adalah tempat kediaman salah satu masyarakat Kristian tertua di dunia tetapi populasinya telah berkurangan di tengah keganasan puak yang semakin meningkat sejak penaklukan yang dipimpin oleh Amerika Syarikat pada 2003.

Sebelum 2003, jumlah Kristian di kota itu setinggi 60,000, tetapi jumlah itu telah jatuh ke lebih kurang 35,000 sebelum Jun tahun ini, kata Encik Sato.

Dia berkata seramai 10,000 orang telah meninggalkan Mosul apabila Isis mengambilalih pada awal Jun dan jumlah orang Kristian telah menurun dengan cepat selepas itu. 

Isis telah mengeluarkan kata dua yang serupa di kota Raqqa, Syria pada bulan Februari menyuruh orang-orang Kristian untuk membayar setengah ounce (14g) emas tulen untuk menjamin keselamatan mereka. 

(Diterjemahkan daripada artikel BBC bertajuk, "Iraqi Christians Flees After Isis Issues Mosul Ultimatum" bertarikh 18 Julai 2014)