Isnin, 9 Februari 2015

Isu Pelajar Peluk Islam: Jilius Bimbang Hilang Anak Terus

Jilius Yapoo, ayah kepada pelajar yang masuk Islam tanpa pengetahuan ibubapa
(Foto The Rakyat Post)

PAPAR, 9 Febuari - Walaupun sedikit rasa terkilan dengan cara pihak sekolah menolak tanggungjawab atas dakwaan menukar agama anak perempuannya yang masih di bawah umur, sebagai seorang bapa, Jilius Yapoo merasa lega terdapat sedikit perkembangan.

Jilius juga diberi kesempatan untuk berbincang dengan anak perempuannya yang berusia 16 tahun, iaitu anak sulung daripada lapan beradik, bersama pengetua sekolah Datin Joharah Abdullah, guru sekolah, pegawai daripada Pejabat Daerah Pendidikan dan polis, secara tertutup.

“Saya tanyakan pendiriannya tetapi mungkin kerana dia gementar dan memberitahu saya, dia belum membuat apa-apa keputusan lagi.

“Oleh kerana pihak sekolah berkata ini merupakan masalah keluarga, kami akan membawanya pulang esok supaya kami dapat berbincang satu keluarga,” katanya selepas perbincangan dua jam selesai.

Sebelum perbincangan hari ini, Jilius meminta untuk bertemu anak perempuannya, tetapi permintaannya ditolak.

Jilius yang berpendapatan RM350 sebulan sebagai penoreh getah, namun hatinya tetap pada satu perkara – “Saya tidak akan benarkan anak saya mengubah agama. Dia masih di bawah umur dan masih lagi di bawah penjagaan saya. Dia tidak akan mendapat restu saya dan kita perlu tunggu dua tahun sehingga dia boleh membuat keputusannya sendiri. Buat masa ini, saya mahu dia mengamalkan agama yang dianuti sebelum ini.”

Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berkata “agama seseorang di bawah usia lapan belas tahun adalah ditentukan oleh ibu bapa atau penjaga.”

Jilius turut meluahkan rasa bimbang mengenai kejanggalan ketika bersama ahli keluarga yang lain, juga kebimbangannya mengenai masa hadapan.

“Apabila dia hadir untuk acara hari jadi adik-adiknya nanti, dia tidak dapat menikmati makanan yang kami sediakan.

“Kami juga pasti akan ada masalah untuk pembahagian harta pusaka dan urusan pengebumian. Kami bukan saja kehilangan anak perempuan kami tetapi sebahagian besar dari keluarga,” katanya cuba menahan air mata sebaik saja melihat anak perempuannya itu bertudung.

Jilius, penduduk di Kampung Kaiduan di Kawang berkata, dia menerima bantuan daripada Paderi James Mojikon untuk mengeluarkan empat anaknya yang lain dari sekolah itu.

“Saya mahu mereka ditukarkan ke sekolah lain. Ketiga-tiga anak saya yang lain bimbang mereka juga dipengaruhi untuk menukar agama sedangkan mereka tidak mahu dan bimbang akan diejek oleh rakan-rakan mereka,” kata Jilius, 46.

Sementara itu adik perempuannya melahirkan rasa berbelah bahagi apabila melihat kakak yang rapat dengannya, bertudung.

“Kali terakhir kami bertemu, sebulan yang lalu sebelum sekolah bermula. Hari ini saya melihat dia bertudung dan ini membuatkan saya terperanjat dan sedih. Saya tak mampu berkata apa, saya tidak tahu hendak buat apa.

“Seperti ahli keluarga yang lain, saya turut bersetuju bahawa dia tidak sepatutnya menukar agama tetapi saya hanya adiknya saja, saya tak boleh menahannya.

“Bagi saya, walaupun saya mahu dia kembali ke agama asalnya, tetapi sekiranya dia sudah menukar agama, maka itu adalah keputusannya kerana dia berhak menentukan masa hadapannya,” kata remaja itu.

Namun, dia tetap berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin kerana sekiranya dibiarkan berpanjangan, ia akan memberi kesan kepada pengajian kakaknya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Michael Frederick mahu sekolah menyiasat bagaimana penukaran agama itu boleh berlaku.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Tidak di sekolah ini atau di mana-mana. Tidak sepatutnya seseorang itu ditukar agama tanpa pengetahuan ibu bapanya.

“Saya turut berharap warden sekolah yang bertanggungjawab dalam perkara ini ditahan untuk disiasat. Ini semua bermula daripada warden itu.

“Warden sekolah perlu dipertanggungjawabkan, bukan dibiarkan saja,” kata Michael.

Minggu lalu, seorang remaja berusia 16 tahun didakwa menukar agama ke Islam oleh warden sekolah dan dikatakan bahawa remaja itu berbuat demikian dan mengucap syahadah tanpa paksaan.

Jilius yang mendapat tahu perkara berkenaan terus membuat laporan polis, dan meminta siasatan dibuat atas dakwaan ‘mengislamkan’ anak perempuannya.

Dipercayai bahawa bekas warden hostel sekolah berkenaan yang memulakan pengislaman dengan membacakan syahadah, memaksa remaja berkenaan memeluk agama Islam walaupun masih di bawah umur dan tanpa restu ibu bapa.

Buat masa ini terdapat ramai pengislaman dibuat di kalangan penduduk Sabah yang pada asalnya beragama Kristian.

Pada Januari tahun lalu, sekumpulan penduduk kampung Orang Asli di pedalaman Pitas di Sabah dilaporkan diislamkan dengan bayaran RM100 oleh kumpulan kebajikan Islam.

Majlis Gereja Sabah dan juga Majlis Gereja Roman Katolik Sabah turut membuat aduan rasmi kepada Kementerian Pendidikan tahun lalu mengenai pengislaman pelajar Kristian bawah umur di residen Kolej Matrikulasi Labuan.

(Diambil daripada artikel The Rakyat Post bertajuk, "Isu Pelajar Peluk Islam: Jilius Bimbang Hilang Anak Terus" penulisan Sandra Sokial bertarikh 9 Februari 2015)