Isnin, 2 Mac 2015

Bukan Anti Islam, Bapa Pelajar Anggap Agama Anak Hak Ibu Bapa

Ahli Parlimen Penampang Darrel Leing mewakili penoreh getah, Jilius Yapoo, seorang
bapa yang tidak berpuas hati apabila anaknya berusia 16 tahun memeluk Islam
di sekolahnya, tanpa pengetahuan ibu bapa. – Gambar fail Malaysian Insider. 

Sekolah berasrama anak perempuan penoreh getah Jilius Yapoo sejauh 11km saja di Kinarut, Sabah, tetapi jalan raya yang rosak menjadikannya jauh dan menyukarkan perjalanan, jadi dia mengamanahkan sekolah dengan keselamatan anaknya.

Dia tidak sangka yang 4 tahun kemudian akan melihat anaknya memakai tudung dan mengatakan dia memeluk Islam.

Bercakap bagi pihak bapa kepada 8 anak itu, Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking daripada PKR sebagai penasihatnya memberitahu The Malaysian Insider Yapoo, 46, bukannya menentang anak-anaknya meninggalkan agama keluarganya, tetapi hanya sehingga mereka berumur 18 tahun dan apabila dia pasti mereka dapat menentukan agama sendiri tanpa pengaruh luar.

Leiking berkata, Yapoo "sangat terkejut" apabila mendapati anak perempuannya bertukar agama dan perkara ini disembunyikan daripadanya.

Dia juga tidak berpuas hati kerana sekolah itu dan rumahnya di Kampung Kaiduan tidak begitu jauh, tetapi infrastruktur di perkampungan Sabah menjauhkan lagi jarak tersebut dan membuatkannya rasa terasing daripada anaknya.

"Bayangkan, hanya 11km jaraknya tetapi dia tidak mampu berulang alik ke sekolah; mana-mana ibu bapa dari Petaling Jaya, contohnya, mampu menghantar anak mereka ke sekolah dan balik dengan senang dengan jarak tersebut.

"Tetapi bagi penoreh getah ini, tiada jalan raya yang baik ke rumahnya, 11km merupakan jalan jauh, jadi dia amanahkan anak perempuannya kepada sekolah dan lihatlah apa terjadi," kata Leiking.

Leiking berkata, Yapoo mengatakan dengan jelas apabila anaknya 18 tahun, dia akan serahkan kepadanya untuk menentukan agama mana satu ingin diikutinya, tetapi bukan sebelum itu dan sementara di bawah penjagaan ibu bapanya yang beragama Kristian.

"Bapanya amat konsisten dari awal lagi, apabila anaknya berumur 18 tahun, dia boleh memilih agamanya sendiri.

"Ini bukan tentang menentang Islam, tetapi tentang hak ibu bapa terhadap anak-anak mereka," kata Leiking.

Menurut Leiking, pelajar itu memberitahu ibu bapanya dia kini beragama Islam, dan sudah pun mengucap dua kalimah syahadah – kesaksian yang perlu seseorang lafazkan sebelum memeluk Islam.

"Jadi kami percaya kata-katanya, tetapi kita masih perlu mendengar secara rasmi daripada sekolahnya, mereka bertanggungjawab memberi respons melainkan mereka dinasihati supaya jangan," katanya.

Leiking yang juga seorang peguam menulis kepada sekolah itu pada Rabu, meminta penjelasan tentang apa yang berlaku sehingga menyebabkan seorang gadis bawah umur menukar agama, dan memberi tempoh 7 hari untuk membalas.

Leiking juga meminta sekolah supaya mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pertukaran agama tersebut.

Katanya, Yapoo bercadang mendapatkan kenyataan mahkamah - menyatakan pelajar 16 tahun itu bukan seorang Islam, selepas sekolah tersebut memberi fakta tentang apa yang berlaku.

Peguam itu berkata, dipercayai banyak lagi penukaran agama sebegitu sedang berlaku secara tersembunyi tanpa pengetahuan ibu bapa, termasuk orang dewasa di kawasan terpencil negeri Sabah.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan dan menghentikan pihak seperti ini daripada menukar agama mereka yang bawah umur.

"Dan jika mereka sudah dewasa, mereka perlu sedar sepenuhnya tentang faktanya apabila diminta untuk menukar agama," katanya dan menambah terdapat kes di mana penukaran agama secara besar-besaran dijalankan di Sabah.

Leiking juga menimbulkan tentang seminar anti-Kristian yang diadakan di Universiti Teknologi Mara pada Mei tahun lepas, mengatakan sudah membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat tetapi diberikan jawapan seminar tersebut hanya mempunyai tujuan akademik.

"Tetapi soalan saya ialah, bagaimana jika Bumiputera Kristian mengadakan seminar tentang agama Kristian dan mengatakan ia untuk tujuan akademik, adakah ia akan diterima?

"Kami tahu kami tidak boleh mengembangkan agama lain kepada umat Islam, tetapi tidak boleh ada dua jenis peraturan mengenainya terhadap pelajar kalau alasannya ialah seminar anti-Kristian itu bersifat akademik semata-mata," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kaiduan Michael Frederick, yang mengunjungi Yapoo pada Sabtu, memberitahu The Malaysian Insider mereka berdepan masalah baru selepas remaja berusia 16 tahun itu mengambil bahagian dalam perkhemahan sekolah beberapa hari sebelumnya.

Ia berlaku selepas gadis bawah umur itu pulang ke rumah selepas memeluk Islam, dan bersetuju dengan cadangan ayahnya supaya berpindah sekolah.

Dia kemudiannya disuruh pihak sekolah menyertai perkhemahan, tanpa kebenaran ibu bapa.

Yapoo tidak mahu menafikan anaknya menyertai program tersebut, lalu membenarkannya dengan syarat dia akan terus pulang ke rumah selepas perkhemahan itu.

Tetapi menurut Frederick, sejurus perkhemahan itu, gadis tersebut bukan saja gagal pulang ke rumah seperti yang dijanjikan, malah menghubungi ayahnya dari asrama untuk memberitahu tidak mahu berpindah sekolah.

"Bila ditanya ayahnya mengapa, katanya kerana ia sebuah sekolah Kristian, jadi kami tidak tahu apa berlaku di perkhemahan itu kerana dia pada mulanya bersetuju ke sekolah baharu," kata Frederick, sambil menambah gadis itu pulang ke rumah ibu bapa pada petang Sabtu.

"Buat masa ini, kami menunggu jawapan rasmi sekolah mengenai insiden itu dan akan membuat tindakan susulan dari situ,” katanya. – 2 Mac, 2015.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Bukan Anti Islam, Bapa Pelajar Anggap Agama Anak Hak Ibu Bapa" penulisan Jennifer Gomez bertarikh 2 Mac 2015)