Selasa, 23 Jun 2015

Mahkamah Rayuan Arah KDN Pulangkan CD Kristian

Lim Heng Seng, peguam mewakili Jill Ireland, di luar Mahkamah Rayuan pagi ini selepas
keputusan mengarahkan Putrajaya memulangkan semula CD Kristian yang dirampas
- Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Jun 2015

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan Kementrian Dalam Negeri (KDN) memulangkan semula rampasan cakera padat (CD) yang mengandungi kalimah Allah milik seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland. 

Bagaimanapun mahkamah enggan membuat keputusan sama ada Ireland, seorang kerani, mempunyai hak menggunakan perkataan Arab itu merujuk kepada "Tuhan" dalam amalan keagamaannya. 

Hakim Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata, semua 8 CD berkenaan perlu dipulangkan kepada Ireland dalam tempoh sebulan bermula hari ini. 

Katanya, rampasan bahan itu tidak dilakukan mengikut Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Hakim juga memerintahkan hak perlembagaan Ireland mengikut Artikel 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan diputuskan hakim lain di Mahkamah Tinggi. 

Artikel 8 adalah berhubung kesaksamaan semua individu dalam undang-undang sementara Artikel 11 ialah kebebasan mengamalkan agama masing-masing. 

Putrajaya merampas CD berkenaan daripada Ireland di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang pada 2008.

Wanita Sarawak itu berkata, CD itu dibawa masuk ke Malaysia untuk kegunaan peribadi.

Tengku Maimun bersama Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Seri Zakaria Sam berkata bahawa panel menolak rayuan kerajaan kerana adalah di luar bidang kuasa Suzanah Muin sebagai kakitangan awam memberitahu Ireland yang KDN menyimpan CD itu.

"Keputusan itu buruk pada pandangan undang-undang kerana itu bukan niat yang sepatutnya ketika undang-undang digubal di Parlimen," katanya.

Berhubung hak perlembagaan Ireland, Tengku Maimun berkata bahawa beliau patut menfailkan tuntutan berasingan mencabar haknya menggunakan kalimah Allah dalam amalan keagamaannya. 

"Bagaimanapun, kami menyerahkan perkara itu kepada hakim lain di Mahkamah Tinggi supaya hak kedua-dua pihak terpelihara," katanya. 

Kes itu akan disebut semula di depan hakim baharu pada 2 Julai. 

(Diambil daripada artikel Tha Malaysian Insider bertajuk "Mahkamah Arah KDN Pulang CD Kristian, Tiada Keputusan Kalimah Allah" penulisan V. Anbalagan bertarikh 23 Jun 2015)