Jumaat, 31 Julai 2015

25 Fakta Menarik Mengenai Penemuan Gulungan Kitab Laut Mati

25 Fakta Menarik Mengenai Koleksi
Gulungan Kitab Di Laut Mati
1. Koleksi Gulungan Kitab di Laut Mati telah dijumpai di sebelas gua di tebing barat laut Laut Mati di antara tahun 1947 dan 1956. Kawasan itu adalah 13 batu ke timur Yerusalem dan adalah 1300 kaki di bawah aras laut. Teks-teks yang kebanyakannya dalam kepingan serpihan, diberikan nombor menurut gua di mana mereka ditemui. Penemuan ini telah digelar penemuan paling besar untuk manuskrip di zaman modern. 

2. Cuma di Gua 1 dan 11 telah dijumpai manuskrip yang dalam keadaan hampir lengkap. Dijumpai pada tahun 1952, Gua ke-4 mengandungi penemuan yang paling besar. Lebih kurang 15,000 keping serpihan dari lebih 500 manuskrip telah ditemui. 

3. Kesemuanya, para sarjana telah mengenalpasti serpihan dari 825 ke 875 gulungan yang berbeza. 

4. Gulungan-gulungan itu boleh dibahagi kepada dua kategori - alkitabiah dan bukan alkitabiah. Kepingan serpihan daripada setiap buku dalam kanun kitab suci Ibrani (Perjanjian Lama) telah ditemui kecuali buku Ester. 

5. Kini telah dikenalpasti di kalangan gulungan-gulungan itu, 19 naskah kitab Yesaya, 25 naskah Ulangan dan 30 naskah Mazmur. 

6. Nubuatan oleh Yehezkiel, Yeremia dan Daniel yang tidak terkandung dalam Alkitab ada tertulis dalam Gulungan-gulungan itu. 

7. Gulungan Kitab Yesaya (Isaiah Scroll) yang telah ditemui dalam keadaan hampir lengkap, adalah seribu tahun lebih tua daripada mana-mana naskah Yesaya yang pernah ditemui. 

8. Dalam Gulungan-gulungan itu dijumpai mazmur-mazmur yang belum pernah ditemui yang dikatakan ditulis oleh Raja Daud dan Yoshua.  

9. Terdapat penulisan-penulisan bukan alkitabiah dalam bentuk ulasan mengenai Penjanjian Lama, parafrasa yang menjelaskan mengenai Taurat, buku peraturan untuk masyarakat tersebut, perilaku semasa perang, mazmur kesyukuran, karya lagu ibadah, ucapan berkat, teks aturan ibadah dan penulisan mengenai hikmat.

10. Gulungan-gulungan itu kebanyakannya telah ditulis dalam bahasa Ibrani, tetapi tetapi terdapat banyak juga yang tertulis dalam bahasa Aramaik. Aramaik merupakan bahasa kegunaan biasa orang-orang Yahudi di Palestin untuk dua kurun terakhir Sebelum Masihi dan dua kurun pertama Tahun Masihi. Penemuan Gulungan-gulungan itu telah banyak menambah pengetahuan kita mengenai dua bahasa ini. Tambahan lagi, terdapat beberapa teks yang ditulis dalam bahasa Yunani.


11. Gulungan-gulungan itu kelihatannya adalah dari perpustakaan sebuah kumpulan Yahudi. Perpustakaan itu telah disembunyikan dalam gua-gua semasa bermulanya Pemberontakan Pertama Yahudi (Tahun Masihi 66-70) apabila tentera Rom maju menentang pemberontak-pemberontak Yahudi.

12. Berdekatan dengan gua-gua itu ialah reruntuhan kuno Qumran. Reruntuhan itu telah digali pada awal 1950-an dan kelihatannya berkaitan dengan gulungan-gulungan itu.

13. Gulungan-gulungan Laut Mati ini kemungkinan besar telah ditulis oleh golongan Essenes semasa jangka waktu antara 200 tahun Sebelum Masihi ke 68 Tahun Masihi. Golongan Essenes telah disebut oleh Josephus dan beberapa sumber lain, tetapi tidak dalam Perjanjian Baru. Golongan Essenes adalah kumpulan Yahudi yang berpegang kuat pada Taurat, percaya kepada kedatangan Al-masih, akhir zaman, pembaptisan dan tinggal di padang gurun. Mereka dipimpin oleh seorang imam yang dipanggil "Guru Kebenaran" yang telah ditentang dan kemungkinan dibunuh oleh pihak berkuasa imam di Yerusalem.

14. Musuh-musuh masyarakat Qumran itu telah digelar "Anak-anak Kegelapan"; mereka memanggil diri mereka "Anak-anak Terang," "yang miskin" dan anggota-anggota "Jalan." Mereka memikirkan diri mereka sebagai "orang-orang kudus" yangn tinggal di "rumah kekudusan," kerana "Roh Kudus" tinggal bersama mereka.

15. Kata-kata akhir Yusuf, Yehuda, Lewi, Naftali, dan Amram (ayah Musa) juga tertulis dalam Gulungan-gulungan itu. 

16. Salah satu gulungan yang menghairankan ialah Gulungan Tembaga (Copper Scroll). Dijumpai di Gua 3, gulungan ini merekodkan satu senarai 64 tempat persembunyian bawah tanah di seluruh Israel. Tempat-tempat simpanan itu dikatakan mengandungi jumlah tertentu emas, perak, bahan haruman, dan manuskrip. Ini dipercayai harta daripada Bait Allah di Yerusalem, yang telah disembunyikan demi keselamatan.

17. Gulungan Bait Allah (Temple Scroll), yang dijumpai di Gua 11, adalah gulungan terpanjang. Panjangnya kini ialah 26.7 kaki (8.148 meter). Panjang keseluruhan gulungan itu seharusnya melebihi 28 kaki (8.75 meter).

18. Gulungan-gulungan itu mengandungi kisah-kisah yang sebelumnya tidak diketahui mengenai tokoh-tokoh Alkitab seperti Enokh, Abraham dan Nuh. Kisah Abraham termasuk satu penjelasan mengapa Allah meminta Abraham mengorbankan anaknya yang tunggal Ishak.

19. Gulungan-gulungan itu biasanya diperbuat daripada kulit binatang, tetapi juga oleh papirus dan satu daripada tembaga. Mereka ditulis dengan sejenis dakwat yang menggunakan karbon, dari kanan ke kiri, tidak menggunakan tanda-tanda noktah, kecuali kadangkala satu tanda penghujung perenggan. Sebenarnya, dalam beberapa kes, tidak ada ruang kosong di antara perkataan-perkataan.

20. Gulungan-gulungan ini telah membawa pembaharuan kepada kritikan teks (textual criticism) untuk Perjanjian Lama. Adalah menarik sekali kini dengan manuskrip yang lebih awal (1,000 tahun) daripada zaman pertengahan, kita mendapati bahawa teks-teks ini dalam tahap persamaan yang tinggi dengan teks Masoretik dan juga salinan-salinan variasi yang lain.

21. Beberapa daripada Gulungan-gulungan Laut Mati itu sebenarnya muncul untuk dijual pada 1 Jun 1954 di Wall Street Journal. Iklan itu berbunyi - "Empat Gulungan Laut Mati: Manuskrip Alkitabiah yang diberi tarikh seawal 2,000 tahun Sebelum Masihi untuk dijual. Ini merupakan hadiah yang terbaik untuk sesebuah institusi pendidikan atau keagamaan dari seorang individu atau kelompok. Peti surat F206."

22. Walaupun masyarakat Qumran itu wujud semasa jangka masa pelayanan Yesus, tidak satu pun Gulungan-gulungan itu merujuk kepada-Nya, atau mana-mana pengikut-Nya seperti yang diceritakan dalam Perjanjian Baru.

23.Teks-teks hampir lengkap yang utama, dari Gua 1 dan 11, telah diterbitkan pada akhir lima puluhan, dan sekarang ditempatkan di muzium Shrine of the Book di Yerusalem.

24. Sejak akhir lima puluhan, lebih kurang 40% daripada Gulungan-gulungan itu, terutamanya kepingan serpihan daripada Gua 4, masih belum diterbitkan dan tidak dapat dilihat pihak awam. Sehinggalah pada 1991, iaitu 44 tahun selepas penemuan Gulungan yang pertama, selepas tekanan memuncak agar diterbitkan, pihak umum diberi akses melihat foto-foto Gulungan yang disediakan. Pada November 1991 foto-foto itu telah diterbitkan oleh Biblical Archaelogical Society dalam edisi tidak rasmi; suatu pembinaan semula menggunakan komputer, berdasarkan sebuah konkordansi, telah diumumkan; Huntington Library berikrar untuk membukakan fail mikro filem mereka untuk semua foto gulungan.

25. Gulungan-gulungan Laut Mati telah menambah pengetahuan kita mengenai kedua-dua agama Yahudi dan Kristianiti. Mereka mewakili bentuk agama Yahudi bukan berdasarkan tradisi rabbi dan membekalkan banyak bahan bandingan kepada sarjana-sarjana Perjanjian Lama, termasuk banyak umpama selari dengan gerakan Yesus. Mereka menunjukkan bahawa Kristianiti adalah berakarkan agama Yahudi dan telah digelar sebagai penghubung kepada kedua-duanya.

[Nota: Informasi tambahan mengenai tokoh-tokoh Alkitab dan sebagainya yang terdapat dalam sebilangan Gulungan-gulungan itu adalah bacaan sampingan atau tambahan tetapi tidak dianggap sebahagian daripada kanun Kitab Perjanjian Lama yang sah]

Kawasan Qumran yang berbukit-bukau

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Century One bertajuk, "25 Fascinating Facts About The Dead Sea Scrolls")