Khamis, 30 Julai 2015

Orang British Berjiwa Dusun

Keratan akhbar New Sabah Times bertarikh 24 Julai 2015

RANAU: Ramai orang tempatan dan generasi muda pada masa kini yang tidak mengenali sejarah kampung yang telah dimajukan pada 60-an oleh individu bukan warga tempatan yang terletak di Kampung Bongkud, di sini. 

John Trevor White, yang dipanggil nama Asang Ating diberi oleh penduduk Kampung Taginambur, yang bermaksud 'cerah' kerana banyak memberi sumbangan dan harapan tinggi kepada penduduk kampung yang telah beliau naik tarafkan. 

Tujuan utama Asang datang di kawasan Ranau adalah untuk berdakwah menyebarkan agama Kristian Sidang Injil Borneo (SIB) kerana beliau merupakan penginjil. SIB merupakan kedatangan Kristian yang pertama di daerah itu.

Sebelum beliau meneroka kawasan ini pada April 1966, kampung ini hanya ada enam keluarga sahaja dan keadaan kawasan masih lagi hutan yang belum dibuka. Asang ketika berumur 50-an bercadang untuk meluaskan dan meningkatkan ekonomi kawasan Bongkud dan memberi kemudahan kepada penduduk Ranau antaranya ialah membuka untuk kawasan perumahan, Maktab teologi, sekolah dan kemudahan lain. 

Selain itu, beliau telah membina tapak perkilangan kayu lalu mengajar penduduk menggunakan mesin kayu untuk mendirikan rumah. 

Beliau juga mengajar kepada penduduk tentang agama kerana belum ada kepercayaan pada masa ketika itu. Selain itu beliau menyediakan sekolah rendah supaya kanak-kanak dapat belajar membaca, mengira dan membuka fikiran luas.

Oleh sebab ambil berat mengenai kampung ini, Asang berusaha mendapatkan permohonan dari kerajaan untuk menambah lagi kemudahan kampung ini. Beliau berjaya mendapatkan peralatan untuk membina tapak pembinaan di kawasan tersebut. Selain itu, buah-buahan terutama durian juga disalurkan kepada penduduk di situ atas usaha beliau setelah rayuan diluluskan. 

Ketua Kampung Bongkud, Bindang Mantakag yang sempat bertemu dengan Asang menceritakan hubungan penduduk kampung di sini sangat rapat dengannya. Bindang juga pernah menjadi anak didik kepada Asang di Maktab Teologi dahulu. Perpaduan kampung sini sangat kuat dan saling bantu-membantu hasil bimbingan Asang. 

"Ketika beliau menetap di sini, dia selalu mengajak penduduknya untuk bergotong-royong beramai-ramai membersihkan kawasan kampung ini, beliau sangat mengambil berat dan serius ketika bekerja," kata Bindang kepada New Sabah Times. 

Kata BIndang lagi, Asang sangat fasih bercakap Bahasa Dusun dan Bahasa Melayu, beliau bergaul dengan penduduk sangat baik dan seolah-olah dia juga penduduk tempatan di sini. Asang juga suka bergurau-senda dengan penduduk lagi. 

"Cara kehidupannya seperti kami dan kelihatan seperti Orang Dusun juga, dia selalu mengikuti aktiviti kami dan budaya kami," kata Bindang. 

Isteri Asang, Konih merupakan penduduk tempatan di sini dan mereka mempunyai tiga orang anak iaitu Lidia White, Delia White dan Rosmi White. Delia dan Rosmi kini menetap di Australia, Lidia sahaja yang masih menetap di sini. 

"Banyak pelancong dari United Kingdom (UK) sangat terkejut setelah tahu peneroka kampung juga berasal dari sana dan mereka sangat bangga tentang sejarah kampung ini," katanya. 

Bindang berharap sejarah kampung ini dapat diperluaskan lagi kepada orang ramai kerana sejarah kampung ini sangat unik mengisahkan sejarah selepas perang dunia kedua.

"Kami bercadang akan membuat hari memperingati Asang supaya penduduk di sini mahupun seluruh daerah tidak melupakan usaha luar biasanya," tambah Bindang.

Pengurus Perlancongan Bongkud Camp dan penduduk Kampung Bongkud, Evelyn Thomas berkata generasi sekarang harus tahu tentang sejarah kampung tersebut, ini merupakan sejarah paling penting di Ranau. 

"Aktiviti ini sama seperti dilakukan oleh Asang dan, saya harap banyak pelancong datang untuk membantu penduduk di sini," ujar Evelyn yang kini mengurus Bongkud Camp bagi pelancong menjadi sukarelawan untuk melakukan aktiviti komuniti penduduk di sini. 

Asang telah meninggal dunia pada 29 Mei 2006 pada usia 96 tahun di Taginambur, Kota Belud. Kini balai raya Kampung Bongkud di naik taraf dan diberi atas nama penghormatan Pusat Pentadbiran Asang. Penduduk kampung pada masa ini telah mencapai lebih 1,000 orang. 

(Diambil daripada artikel New Sabah Times bertajuk "Orang British Berjiwa Dusun" penulisan Izham Waidi bertarikh 24 Julai 2015)